Surah 28: Al-Qasas (38 – 42)

Kesombongan Firaun dan Hukuman Allah Swt kepadanya

Surah 28: Al-Qasas (38 – 42)


Ayat 38

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَـٰهَـٰمَـٰنُ عَلَى ٱلطِّينِ فَٱجْعَل لِّى صَرْحًا لَّعَلِّىٓ أَطَّلِعُ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّى لَأَظُنُّهُۥ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Dan Firaun berkata, “Wahai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Ilah (sesembahan) bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat, kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Ilah Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang yang berdusta.”

Lalu Firaun mengumpulkan seluruh kaumnya dan berpidato dengan suara yang lantang, kemudian dia menyeru mereka agar mengakui dirinya sebagai tuhan. Mereka pun membenarkan pengakuan sesatnya dengan penuh ketaatan, akibat daripada akal mereka yang lemah yang tidak dapat melihat kebenaran. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru memanggil kaumnya. (Seraya) berkata, ‘Akulah tuhanmu yang paling tinggi.’”

An-Nazi’at 79:24

“Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.”

Az-Zukhruf 43:54

Kemudian dengan sombongnya Firaun menyuruh menterinya Haman membina sebuah bangunan yang tinggi semata-mata ingin membuktikan kepada rakyatnya bahawa Nabi Musa as berdusta dalam pengakuan baginda yang mengatakan terdapat Ilah iaitu Tuhan yang hanya berhak disembah selain dirinya.

Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat-ayat lain:

“Dan Firaun berkata, ‘Wahai Haman, buatkanlah untukku sebuah bangunan yang tinggi agar aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit agar aku dapat melihat Tuhan Musa, tetapi aku tetap memandangnya sebagai seorang pendusta.’ Dan demikianlah dijadikan Firaun memandang baik perbuatan yang buruk itu, dan dia terhalang dari jalan (yang benar), dan tipu daya Firaun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian.”

Al-Mu’min 40:36-37

Ayat 39

وَٱسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لَا يُرْجَعُونَ

Dan dia (Firaun) dan bala tenteranya berlaku sombong di bumi (Mesir) tanpa alasan yang benar dan mereka mengira bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.

Allah Ta’ala menyatakan Firaun dan para pengikutnya telah melampaui batas, berbuat sewenang-wenangnya dan banyak melakukan kerosakan di bumi serta tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Hari Pembalasan.

Ayat 40

فَأَخَذْنَـٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maka Kami hukum dia (Firaun) dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim.

Mereka tidak mengetahui bahawa Allah Ta’ala mengawasi mereka dan memberi balasan dengan apa yang mereka berhak menerimanya. Oleh itu, Dia mengatakan hukuman mereka yang segera terjadi di dunia dengan ditenggelamkan mereka kesemuanya di laut dan tiada seorang pun yang terselamat, sementara hukuman yang lebih berat menanti mereka di akhirat.

Begitulah kesudahan bagi orang-orang yang zalim. Mereka menganiayai diri sendiri dengan meningkari Allah Ta’ala. Oleh itu, mereka akan ditimpakan kecelakaan di dunia dan akhirat. Semua ini merupakan pengajaran dan pelajaran bagi sesiapa yang mahu merenungkan kekuasaan, keagungan dan kebesaran ayat-ayat-Nya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Kerana itu Rabbmu menimpakan cemeti azab kepada mereka. Sesungguh-nya Rabbmu benar-benar mengawasi.”

Al-Fajr 89:13-14

Ayat 41

وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا يُنصَرُونَ

Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada Hari Kiamat mereka tidak akan ditolong.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menjadikan Firaun dan para pembesarnya sebagai pemimpin kesesatan dalam mendustakan para Rasul dan mengingkari kewujudan-Nya. Mereka bukan sahaja sesat tetapi juga menyesatkan orang lain. Oleh itu, mereka mendapat dua balasan iaitu balasan kerana memilih kesesatan dan balasan kerana menyesatkan orang lain.

Pada Hari Akhirat kelak, mereka tidak mempunyai penolong dan tiada pula yang dapat menolong mereka daripada hukuman Allah Ta’ala.

Ayat 42

وَأَتْبَعْنَـٰهُمْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ هُم مِّنَ ٱلْمَقْبُوحِينَ

Dan Kami susuli dengan laknat kepada mereka di dunia ini, dan pada Hari Kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan (daripada rahmat Allah).

Kemudian Allah Ta’ala mengatakan mereka akan terus dilaknat di dunia melalui lisan orang-orang mukmin, para Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat mereka termasuk orang-orang yang terusir dan dijauhkan daripada rahmat-Nya.

Firman Allah yang lain:

“Dan mereka diikuti dengan laknat di sini (dunia) dan (begitu juga) pada Hari Kiamat. (Laknat) itulah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.”

Nuh 11:99