Surah 28: Al-Qasas (29 – 32)

Nabi Musa as Diutuskan Menjadi Rasul serta Dikurniakan Mukjizat

Surah 28: Al-Qasas (29 – 32)


Ayat 29

فَلَمَّا قَضَىٰ مُوسَى ٱلْأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِۦٓ ءَانَسَ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ نَارًا قَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

Maka ketika Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan itu, lalu dia (Musa) berangkat bersama keluarganya, dia melihat api di lereng gunung. Dia berkata kepada keluarganya, “Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu daripada (tempat) api itu atau (membawa) sepercik api, agar kamu dapat menghangatkan badan.”

Setelah Nabi Musa as menyempurnakan perjanjiannya dengan Nabi Syu’aib as, baginda berangkat ke Mesir bersama keluarganya iaitu isterinya dengan membawa sejumlah ternakan yang diberikan oleh bapa mertuanya.

Dalam perjalanan itu apabila tiba waktu malam yang sangat gelap, Nabi Musa as dan keluarganya telah tersesat jalan. Tiba-tiba terlihat oleh baginda cahaya api yang terang dari sebuah gunung. Lalu baginda berpesan kepada ahli keluarganya agar tinggal di situ sementara baginda pergi ke tempat tersebut dengan harapan ada manusia di sana untuk memberitahu arah jalan ke Mesir atau baginda dapat membawa pulang sedikit api untuk menghangatkan badan pada malam yang sangat dingin itu.

Firman Allah Ta’ala di dalam ayat yang lain:

“Ketika dia (Musa) melihat api, lalu berkatalah dia kepada keluarganya, ‘Tinggallah kamu (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit daripadanya kepadamu atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu.’”

Taha 20:10

Ayat 30

فَلَمَّآ أَتَىٰهَا نُودِىَ مِن شَـٰطِئِ ٱلْوَادِ ٱلْأَيْمَنِ فِى ٱلْبُقْعَةِ ٱلْمُبَـٰرَكَةِ مِنَ ٱلشَّجَرَةِ أَن يَـٰمُوسَىٰٓ إِنِّىٓ أَنَا ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maka ketika dia (Musa) sampai ke (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan(nya) pada tempat yang diberkati, dari sebatang pohon kayu, iaitu, “Wahai Musa, sesungguhnya aku adalah Allah, Rabb semesta alam.

Apabila Nabi Musa as tiba di tempat tersebut, baginda diseru dari sisi sebelah kanan baginda di tempat yang diberkati dari arah sebatang pokok. Baginda diseru oleh Allah Ta’ala, Rabb sekalian alam untuk berbicara dengan-Nya secara langsung.

Firman-firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka apabila dia sampai ke (tempat) api itu, (kedengaran) dia diseru, “Keberkatan yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang berada di sekitarnya, dan Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.” (Allah berfirman), “Wahai Musa, sesungguhnya, Aku-lah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.””

Al-Naml 27:8-9

“Maka ketika dia mendatanginya (ke tempat api itu) dia dipanggil, ‘Wahai Musa, sesungguhnya, Aku adalah Rabbmu, maka lepaskan kedua-dua terompahmu. Kerana sesungguhnya engkau berada di lembah suci Tuwa. Dan Aku telah memilih engkau, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya, Aku ini Allah, tiada (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati-Ku.’”

Taha 20:11-14

Ayat 31

وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَـٰمُوسَىٰٓ أَقْبِلْ وَلَا تَخَفْ ۖ إِنَّكَ مِنَ ٱلْـَٔامِنِينَ

Dan lemparkanlah tongkatmu.” Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seolah-olah dia seekor ular yang liar, larilah dia berbalik ke belakang tanpa menoleh. (Kemudian Musa diseru), “Wahai Musa datanglah kepada-Ku dan janganlah kamu takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang selamat.

Kemudian Allah Ta’ala menguatkan Nabi Musa as dengan dua mukjizat iaitu:

▪️  Tongkat bertukar menjadi ular yang sebenar.

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as melemparkan tongkat yang ada di tangan kanannya. Pada zaman itu, tongkat amat penting bagi sesiapa yang melakukan perjalanan jauh.

Apabila tongkat itu dilemparkan, tiba-tiba tongkat itu menjelma menjadi seekor ular yang menjalar. Ketika baginda melihat ular itu bergerak-gerak dengan cepat, undurlah baginda ke belakang dan melarikan diri kerana ketakutan. Lalu Allah Ta’ala menenangkan baginda dengan menyerunya agar kembali ke tempat ular dan tidak perlu berasa takut kerana sesungguhnya baginda adalah termasuk orang yang aman daripada gangguan ular tersebut.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dia (Allah) berfirman, ‘Lemparkanlah ia, wahai Musa.’ Lalu (Musa) melemparkan tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat. Dia (Allah) berfirman, ‘Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula.’”

Taha 20:19-21

Ayat 32

ٱسْلُكْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ وَٱضْمُمْ إِلَيْكَ جَنَاحَكَ مِنَ ٱلرَّهْبِ ۖ فَذَٰنِكَ بُرْهَـٰنَانِ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ

Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia keluar putih (bercahaya) tidak cacat bukan kerana penyakit, dan dekapkanlah kedua-dua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan, maka yang demikian itu adalah dua mukjizat daripada Rabbmu (yang akan kamu tunjukkan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik.”

▪️  Tangannya bercahaya apabila dikeluarkan dari saku atau leher bajunya sebelah atas.

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as memasukkan tangan baginda ke dalam bajunya. Dia menyatakan bahawa apabila tangannya dikeluarkan dari leher bajunya nescaya tangannya itu dalam keadaan putih bercahaya tanpa ada sedikit pun kecacatan.

Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as meletakkan tangannya ke dadanya agar hilang segala ketakutan yang ada pada dirinya.

Kedua-dua mukjizat ini iaitu tongkat bertukar menjadi ular dan tangan baginda bercahaya apabila dikeluarkan daripada bajunya merupakan dalil yang jelas menunjukkan kekuasaan Allah Ta’ala dan menguatkan kebenaran kenabian Nabi Musa as kepada Firaun dan para pengikutnya yang tidak mahu taat kepada-Nya, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang menentang agama-Nya.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat yang lain:

“Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia akan keluar menjadi putih (bersinar) tanpa kecacatan. (Kedua-dua mukjizat ini) termasuk sembilan bentuk mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Firaun dan kaumnya. Mereka benar-benar orang-orang yang fasik.”

An Naml 27:12