Kelahiran Nabi Musa as dan Baginda Diasuh oleh Firaun
Surah 28: Al-Qasas (7 – 13)
Ayat 7
وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِى ٱلْيَمِّ وَلَا تَخَافِى وَلَا تَحْزَنِىٓ ۖ إِنَّا رَآدُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, “Susuilah dia (Musa), dan apabila kamu bimbang terhadapnya, maka hanyutkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) daripada para Rasul.
Setelah melihat anak yang dilahirkannya ternyata lelaki, ibu Nabi Musa as mula berasa takut dan bimbang terhadap ancaman Firaun untuk membunuh setiap bayi lelaki yang lahir, maka Allah Ta’ala mengilhamkannya sebagaimana ayat di atas dan juga firman-Nya dalam surah yang lain:
“(Iaitu) ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan (iaitu), ‘Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti, kemudian hanyutkanlah dia ke sungai (Nil), maka biarlah (arus) sungai itu membawanya ke tepi, supaya dia akan diambil oleh (Firaun) musuh-Ku dan musuhnya. Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripada-Ku dan agar engkau diasuh di bawah pengawasan-Ku.’”
Taha 20:38-39
Lalu ibu Nabi Musa as mengambil peti dan menyiapkan tempat bayi di dalamnya. Dia meletakkan Nabi Musa as yang masih bayi di dalamnya dan dihanyutkan di Sungai Nil. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai itu sehingga tiba di kawasan yang berdekatan dengan istana Firaun.
Ayat 8
فَٱلْتَقَطَهُۥٓ ءَالُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا ۗ إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا۟ خَـٰطِـِٔينَ
Maka dia dipungut oleh keluarga Firaun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Firaun dan Haman bersama-sama bala tentaranya adalah orang-orang yang bersalah.
Kemudian orang-orang Firaun menemui Nabi Musa as dan mengambilnya. Namun Firaun dan kaumnya tidak menyedari bahawa bayi yang dibesarkan dalam istana dan dijaga dengan penuh kasih sayang itu akan menjadi musuh yang menyebabkan kebinasaan mereka.
Sesungguhnya Firaun dan Haman serta para pengikut mereka adalah orang-orang yang berdosa lagi menyekutukan Allah Ta’ala.
Ayat 9
وَقَالَتِ ٱمْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِّى وَلَكَ ۖ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوْ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan berkatalah isteri Firaun, “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak,” sedang mereka tiada menyedarinya.
Apabila peti yang diletakkan Nabi Musa as di dalamnya, dibawa masuk ke dalam istana dan ditunjukkan kepada Asiah iaitu isteri Firaun, lalu dibukakan peti itu, ternyata di dalamnya terdapat seorang bayi lelaki yang membuatkan Asiah sangat tertarik hati padanya. Allah Ta’ala meletakkan rasa cinta dan sayang di hatinya sebaik sahaja dia melihat bayi tersebut.
Asiah memujuk Firaun agar tidak membunuh bayi itu kerana mungkin dia boleh memberi manfaat kepada mereka dan menjadikan bayi itu sebagai anak angkat mereka. Demikianlah kehendak Allah Ta’ala yang telah mentakdirkan isteri Firaun seorang yang bahagia manakala Firaun seorang yang celaka kerana kesombongan dan keangkuhannya.
Ayat 10
وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَىٰ فَـٰرِغًا ۖ إِن كَادَتْ لَتُبْدِى بِهِۦ لَوْلَآ أَن رَّبَطْنَا عَلَىٰ قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Hati ibu Musa menjadi kosong. Sesungguhnya hampir sahaja dia memberitahu (rahsia tentang Musa), namun Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).
Seterusnya, Allah Ta’ala menceritakan tentang keadaan ibu Nabi Musa as. Setelah ibu Nabi Musa as menghanyutkan baginda di Sungai Nil, maka timbullah penyesalan dan kesangsian dalam hatinya. Ibunya bimbang terhadap keselamatan baginda, bahkan hampir sahaja dia menjerit meminta tolong kepada orang untuk mengambil kembali anaknya.
Sekiranya Allah Ta’ala tidak meneguhkan hatinya dan membuatnya bersabar nescaya dia akan membuka rahsianya itu dan mengumumkan bahawa bayi itu adalah anaknya.
Ayat 11
وَقَالَتْ لِأُخْتِهِۦ قُصِّيهِ ۖ فَبَصُرَتْ بِهِۦ عَن جُنُبٍ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan dia (ibu Musa) berkata kepada saudara perempuan Musa, “Ikutilah dia (Musa).” Maka dilihatnya (Musa) dari jauh, sedang mereka tidak menyedarinya.
Kemudian Allah Ta’ala memberi ilham kepada ibu Nabi Musa as agar dia menyuruh anak perempuannya mengikuti dan melihat dari jauh ke mana Nabi Musa as dibawa oleh arus sungai.
Ayat 12
وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ ٱلْمَرَاضِعَ مِن قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰٓ أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُۥ لَكُمْ وَهُمْ لَهُۥ نَـٰصِحُونَ
Dan Kami cegah dia (Musa) daripada menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu, maka berkatalah dia (saudara Musa), “Mahukah aku tunjukkan kepadamu, keluarga yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”
Nabi Musa as menolak untuk menyusu dengan mana-mana wanita yang ditugaskan untuk memberikan susu kepadanya. Ketika itu saudara perempuan Nabi Musa as mencadangkan untuk membawa keluarga yang dapat menyusukannya. Ini merupakan perancangan Allah Ta’ala yang menjadikannya sebagai sebab untuk mengembalikan Nabi Musa as ke pangkuan ibunya.
Allah Ta’ala berfirman dalam ayat yang lain:
“(Iaitu) ketika saudara perempuanmu berjalan, lalu dia berkata (kepada keluarga Firaun), “Bolehkah saya tunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya?” Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati.”
Taha 20:40
Ayat 13
فَرَدَدْنَـٰهُ إِلَىٰٓ أُمِّهِۦ كَىْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maka kami kembalikan dia (Musa) kepada ibunya, agar senang hatinya dan tidak bersedih lagi, dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
Maka dengan cara menjadi ibu susuan itulah Nabi Musa as telah dikembalikan ke pangkuan ibunya supaya dia menjadi penyejuk hatinya. Sesungguhnya Allah Ta’ala menepati janji-Nya dengan mengembalikan Nabi Musa as kepadanya dalam keadaan selamat daripada dibunuh oleh Firaun dan dia tidak bersedih atas perpisahan dengan Nabi Musa as.
Seterusnya, Allah Ta’ala mengatakan bahawa janji-Nya itu benar iaitu berupa dikembalikannya Nabi Musa as kepada ibunya dan menjadikannya sebagai utusan-Nya. Sesungguhnya Dia tidak mengingkari janji-Nya tetapi kebanyakan orang musyrik tidak mengetahui bahawa janji Allah itu benar.
Apabila berlaku sesuatu peristiwa yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala, pasti terdapat hikmah-Nya. Walaupun pada hakikatnya sesuatu perkara yang berlaku itu pahit dan tidak disukai oleh jiwa seseorang, namun pada penghujungnya akan muncul kebaikan sebagaimana yang ditakdirkan-Nya.
Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“……….Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu, tetapi ia tidak baik buatmu……….”
Al-Baqarah 2:216
“……….boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.”
An-Nisa’ 4:19