Surah 27: An-Naml (89 – 90)

Balasan di Akhirat Kelak

Surah 27: An-Naml (89 – 90)


Ayat 89

مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ خَيْرٌ مِّنْهَا وَهُم مِّن فَزَعٍ يَوْمَئِذٍ ءَامِنُونَ

Sesiapa yang membawa kebaikan, maka dia memperoleh (balasan) yang lebih baik daripadanya, sedang mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram daripada kejutan yang dahsyat pada hari itu.

Allah Ta’ala menyatakan sesiapa bertemu dengan-Nya dalam keadaan beriman dan beribadah hanya kepada-Nya, maka di sisi-Nya pahala yang besar, yang lebih baik dan lebih utama iaitu syurga. Mereka juga akan berasa aman pada hari ketakutan yang paling dahsyat.

Menurut Qatadah yang dimaksudkan dengan kebaikan dalam ayat di atas adalah ikhlas dalam beribadah.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Kejutan yang dahsyat tidak membuat mereka berasa sedih dan para malaikat akan menyambut mereka (dengan ucapan), ‘Inilah hari yang telah dijanjikan kepadamu.’”

Al-Anbiya’ 21:103

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka mendapat pahala yang tidak putus-putus.”

Fussilat 41:8

Ayat 90

وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِى ٱلنَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan sesiapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka. Kamu tidak diberi balasan, melainkan (setimpal) dengan apa yang telah kamu lakukan.

Namun sesiapa yang bertemu Allah Ta’ala dengan membawa kesyirikan dan perbuatan-perbuatan buruk lagi keji, maka balasan bagi mereka adalah mereka akan diheret dengan wajah-wajah mereka ke neraka pada Hari Kiamat. Ini kerana mereka diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“……….Dan kami akan mengumpulkan mereka pada Hari Kiamat dengan wajah tersungkur, dalam keadaan buta, bisu, dan tuli. Tempat kediaman mereka adalah Neraka Jahannam. Setiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi nyalaannya bagi mereka.”

Al-Isra’ 17:97

“Pada hari (ketika) wajah mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, kiranya dahulu kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’”

Al-Ahzab 33:66