Surah 27: An-Naml (83 – 86)

Setiap Umat Dikumpulkan Mengikut Kelompok-Kelompok pada Hari Kiamat

Surah 27: An-Naml (83 – 86)


Ayat 83

وَيَوْمَ نَحْشُرُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ فَوْجًا مِّمَّن يُكَذِّبُ بِـَٔايَـٰتِنَا فَهُمْ يُوزَعُونَ

Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami mengumpulkan setiap umat, ada segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibahagi-bahagikan (dalam kelompok-kelompok).

Allah Ta’ala menjelaskan tentang Hari Kiamat dan hari dikumpulkan-Nya orang-orang zalim yang mendustakan ayat-ayat-Nya dan ajaran-ajaran para Rasul-Nya.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat lain:

“(Diperintahkan kepada malaikat), ‘Kumpulkanlah orang-orang yang zalim bersama-sama teman sejawat mereka dan apa yang dahulu mereka sembah.’”

As-Saffat 37:22

Ayat 84

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُو قَالَ أَكَذَّبْتُم بِـَٔايَـٰتِى وَلَمْ تُحِيطُوا۟ بِهَا عِلْمًا أَمَّاذَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Hingga apabila mereka datang, Dia (Allah) berfirman, “Mengapa kamu telah mendustakan ayat-ayat-Ku, padahal kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya atau apakah yang telah kamu lakukan?”

Mereka dikumpulkan di hadapan Allah Ta’ala untuk dipertanggungjawabkan tentang apa yang telah mereka lakukan ketika menjalani kehidupan di dunia.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (Al-Quran dan Rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat. Malah dia mendustakan (Rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).”

Al-Qiyamah 75:31-32

Ayat 85

وَوَقَعَ ٱلْقَوْلُ عَلَيْهِم بِمَا ظَلَمُوا۟ فَهُمْ لَا يَنطِقُونَ

Dan berlakulah perkataan (janji) azab ke atas mereka kerana kezaliman mereka, maka mereka tidak dapat lagi berkata (apa-apa).

Pada saat itu iaitu ketika azab ditimpakan kepada orang-orang yang mendustakan Allah Ta’ala kerana kezaliman mereka dan ditegakkan hujjah kepada mereka, mereka tidak dapat mengelak atau memberikan alasan yang dapat membela mereka kerana tidak mampu lagi berkata-kata.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Inilah hari, saat mereka tidak dapat berbicara, dan tidak diizinkan kepada mereka mengemukakan sebarang alasan agar mereka dimaafkan. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).”

Al-Mursalat 77:35-37

Ayat 86

أَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا جَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِيَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبْصِرًا ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Adakah mereka tidak memerhatikan, bahawa Kami telah menjadikan malam agar mereka boleh beristirahat padanya dan (menjadikan) siang yang menerangi? Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Kemudian Allah Ta’ala menyedarkan manusia tentang kekuasaan-Nya yang Maha Sempurna, dan yang Maha Agung dalam mengatur dan menguruskan malam dan siang mengikut kehendak-Nya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketetapan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Al-An’am 6:96