Al-Quran Menjelaskan Perkara yang Diperselisihkan oleh Bani Israil dan Petunjuk bagi Orang yang Beriman
Surah 27: An-Naml (76 – 81)
Ayat 76
إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَقُصُّ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَكْثَرَ ٱلَّذِى هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Sesungguhnya Al-Quran ini menjelaskan kepada Bani lsrail sebahagian besar daripada (perkara-perkara) yang mereka perselisihkan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya Al-Quran yang diwahyukan melalui malaikat Jibril as kepada Nabi Muhammad saw ini bukan sahaja membongkar banyak perkara kepada kaum musyrik Mekah tetapi juga kepada Bani Israil.
Ini adalah kerana banyak perkara yang telah disembunyikan daripada umat Bani Israil oleh ahli-ahli agama mereka sehingga menjadi perbezaan pendapat antara mereka. Oleh itu, Al-Quran diturunkan untuk memberitahu kedudukan perkara sebenar.
Antara perselisihan itu adalah tentang kedudukan Nabi ‘Isa as. Orang-orang Yahudi membuat berita bohong terhadap baginda dengan mengatakan mereka telah membunuh baginda sedangkan yang mereka bunuh itu adalah orang lain. Sementara orang-orang Nasrani pula berlebih-lebihan dalam mengagungkannya sehingga dijadikan sebagai anak Allah Swt.
Lalu Allah Ta’ala menjelaskan perselisihan mereka dalam firman-firman-Nya yang lain, antaranya:
“Dan kerana ucapan mereka, “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, ‘Isa putera Maryam, Rasul Allah,” padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan ‘Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) ‘Isa benar-benar dalam keadaan ragu-ragu tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikut persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah ‘Isa.”
An-Nisa’ 4:157
“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman, ‘Wahai ‘Isa putera Maryam, engkaukah yang mengatakan kepada manusia, jadikanlah aku dan ibuku sebagai dua tuhan selain Allah?’ Dia (‘Isa) menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau telah mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib.’”
Al-Ma’idah 5:116
Ayat 77
وَإِنَّهُۥ لَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya, Al-Quran itu benar-benar menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar. Ia merupakan satu rahmat yang amat besar faedahnya kepada orang-orang mukmin yang mahu mempercayainya dan mengamalkan ajarannya.
Ayat 78
إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِى بَيْنَهُم بِحُكْمِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْعَلِيمُ
Sesungguhnya Rabbmu akan menyelesaikan (perkara) di antara mereka dengan hukum-Nya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya di akhirat kelak, Allah Ta’ala akan memberikan keputusan terhadap perselisihan di kalangan kaum Bani Israil. Dia akan memberikan hukuman dengan adil. Sesiapa yang berada di pihak yang benar akan diberikan balasan yang baik. Sebaliknya sesiapa yang berada di pihak yang batil akan menerima hukuman yang selayaknya. Ini kerana Dia-lah Zat Yang Maha Perkasa, Yang Mengalahkan, tidak ada seorang pun yang dapat menghalang keputusan-Nya. Dia juga Zat Yang Maha Mengetahui segala perbuatan dan pertuturan hamba-hamba-Nya. Oleh itu hukuman-Nya adalah bersesuaian dengan pengetahuan-Nya.
Ayat 79
فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۖ إِنَّكَ عَلَى ٱلْحَقِّ ٱلْمُبِينِ
Maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di atas kebenaran.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw agar bertawakkal dan yakin kepada-Nya. Dia-lah yang akan menolong baginda dalam seluruh perkara. Sesungguhnya baginda benar-benar berada di atas kebenaran meskipun baginda selalu menghadapi tentangan daripada orang-orang kafir.
Ayat 80
إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ
Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati dapat mendengar dan (tidak juga) menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling membelakang.
Ayat 81
وَمَآ أَنتَ بِهَـٰدِى ٱلْعُمْىِ عَن ضَلَـٰلَتِهِمْ ۖ إِن تُسْمِعُ إِلَّا مَن يُؤْمِنُ بِـَٔايَـٰتِنَا فَهُم مُّسْلِمُونَ
Dan engkau sekali-kali tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang buta daripada kesesatan mereka. Engkau tidak dapat menjadikan (seorang pun) mendengar, kecuali orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, lalu mereka berserah diri.
Dalam ayat 80-81 ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Rasulullah saw tidak akan mampu memberi hidayah kepada orang-orang yang memilih kesesatan kerana pada mata mereka ada penutup yang menghalang mereka untuk melihat kebenaran yang baginda bawa.
Allah Ta’ala juga menegaskan bahawa Rasulullah saw tidak berupaya menjadikan mereka dapat mendengar kebenaran kecuali orang-orang yang telah diketahui-Nya bahawa mereka akan mengimani ayat-ayat-Nya. Ini kerana tidak ada yang menyambut seruan baginda kecuali orang-orang yang dapat menggunakan penglihatan dan pendengaran mereka untuk mengetahui kebenaran dan bersedia untuk menerimanya. Ini kerana mereka ikhlas untuk beriman kepada Allah Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Al-Qasas 28:56
“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki……….”
Al-Baqarah 2:272