Mukjizat Nabi Musa as dan Balasan kepada Firaun
Surah 27: An-Naml (7 – 14)
Ayat 7
إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ
(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya, “Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu berita tentang itu, atau aku membawa kepadamu suluh api (obor) supaya kamu dapat berdiang (memanaskan badan).”
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw menceritakan kepada kaumnya tentang Nabi Musa as iaitu ketika baginda sedang dalam perjalanan menuju ke Mesir bersama-sama isterinya. Mereka berdua tersesat jalan, pada malam yang gelap dan dingin.
Nabi Musa as berkata kepada keluarganya bahawa baginda melihat dari jauh ada api yang menyala dan bercahaya. Baginda mengarahkan keluarganya tinggal di situ sementara baginda mendapatkan api tersebut untuk mereka sekeluarga.
Ibnu ‘Abbas ra dan ulama lain berkata, “Itu bukanlah api, akan tetapi cahaya yang benderang.”
Ayat 8
فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Maka apabila dia sampai ke (tempat) api itu, (kedengaran) dia diseru, “Keberkatan yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa yang berada di sekitarnya, dan Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.”
Ketika Nabi Musa as tiba di tempat api tersebut, baginda terpaku kerana takjub dengan apa yang dilihatnya. Kemudian kedengaran suara, “Keberkatan yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini, dan sesiapa yang berada di sekitarnya, dan Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.”
Ibnu ‘Abbas ra, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair, Al-Hasan dan Qatadah mengatakan maksud, “Keberkatan yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini,” ialah disucikan. Manakala maksud, “dan sesiapa yang berada di sekitarnya” ialah para malaikat.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah Rabb yang melakukan apa yang dikehendaki-Nya, tidak ada satu makhluk pun yang menyerupai-Nya serta tidak satu pun makhluk-Nya yang dapat meliputi ilmu-Nya. Dia-lah Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar yang mengawasi seluruh makhluk-Nya, bahkan Dia-lah Yang Maha Esa, segala sesuatu bergantung kepada-Nya.
Ayat 9
يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
(Allah berfirman), “Wahai Musa, sesungguhnya, Aku-lah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala memberitahu Nabi Musa as bahawa yang mengajak berbicara dan berdialog dengannya adalah Rabbnya, Allah Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Menundukkan segala sesuatu serta Maha Bijaksana dalam setiap perkataan dan perbuatan-Nya.
Ayat 10
وَأَلْقِ عَصَاكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَـٰمُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّى لَا يَخَافُ لَدَىَّ ٱلْمُرْسَلُونَ
Dan lemparkanlah tongkatmu.” Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya seperti seekor ular (yang paling ganas dan bergerak-gerak dengan cepat), larilah dia berbalik ke belakang tanpa menoleh. “Wahai Musa, janganlah kamu takut. Sesungguhnya Rasul-rasul itu tidak takut di hadapan-Ku.
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as melemparkan tongkat dari tangannya untuk menampakkan suatu bukti nyata bahawa Dia adalah Allah Yang Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu. Ketika Nabi Musa as melemparkan tongkat tersebut dari tangannya, seketika itu juga tongkat itu berubah menjadi ular sangat besar, sangat mengerikan dan sangat cepat pergerakannya.
Ketika Nabi Musa as menyaksikan kejadian itu, baginda berpatah balik untuk melarikan diri. Kemudian Allah Ta’ala menyerunya dengan menyatakan bahawa baginda tidak perlu takut dengan apa yang dilihatnya. Ini kerana Dia hendak memilih baginda sebagai Nabi dan Rasul serta menjadikannya orang yang terkemuka.
Ayat 11
إِلَّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًۢا بَعْدَ سُوٓءٍ فَإِنِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kecuali orang yang melakukan kezaliman, kemudian dia mengubah kezalimannya dengan kebaikan (Allah akan mengampuninya), maka sesungguhnya Aku Maha Pangampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini mengandungi berita gembira yang sangat besar kepada manusia. Ini kerana sesiapa yang dahulunya melakukan amal yang buruk, kemudian dia kembali bertaubat dan berserah diri, maka Allah Ta’ala pasti menerima taubatnya, sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
An-Nisa 4:110
“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.”
Taha 20:82
Ayat 12
وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايَـٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya akan keluar putih (bersinar) bukan kerana penyakit. (Kedua-dua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.”
Ini merupakan tanda kenabian yang lain dan menakjubkan bagi Nabi Musa as. Ini juga menunjukkan dalil yang kuat tentang kekuasaan Allah Ta’ala yang berbuat dan menentukan pilihan-Nya dan Maha Benarnya Allah menganugerahkan mukjizat kepada baginda.
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as memasukkan tangannya ke leher bajunya dan mengeluarkannya kembali. Ketika itu keluar cahaya putih bersinar seakan-akan kepingan bulan yang memiliki cahaya bersinar seperti sambaran kilat.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa dua tanda atau mukjizat yang disebutkan ini merupakan sebahagian daripada sembilan mukjizat yang akan dikemukakan-Nya kepada Firaun dan pengikut-pengikutnya sebagaimana firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata…………”
Al-Isra’ 17:101
Ayat 13
فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايَـٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا۟ هَـٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada Firaun dan kaumnya, berkatalah mereka, “Ini adalah sihir yang nyata.”
Tatkala mukjizat-mukjizat Nabi Musa as telah ditunjukkan kepada Firaun dan kaumnya dengan nyata lagi jelas yang dengannya, orang-orang yang menyaksikannya dapat mengetahui kebenaran kandungan yang ditunjukkan oleh mukjizat-mukjizat tersebut, mereka menuduh dengan mengatakan bahawa itu adalah sihir yang nyata lagi jelas.
Ayat 14
وَجَحَدُوا۟ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
Firaun dan kaumnya mendustakan kebenaran Nabi Musa as sebagai Rasul itu hanya pada zahirnya sahaja. Hati mereka meyakini bahawa mukjizat-mukjizat tersebut adalah kebenaran yang nyata dari sisi Allah Ta’ala. Sikap mereka itu hanyalah disebabkan oleh kesombongan mereka yang tidak mahu beriman. Oleh itu, mereka kesemuanya dibinasakan dan ditenggelamkan serentak dalam satu waktu sahaja sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersama dengannya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain.”
Asy-Syu’ara’ 26:65-66
“………..Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia, ‘Aku percaya bahawa tidak ada Ilah melainkan Ilah yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku termasuk orang-orang muslim (berserah diri).’”
Yunus 10:90
Kemudian Allah Ta’ala menyuruh Nabi Muhammad saw memerhatikan bagaimana kesudahan nasib orang-orang yang berbuat kerosakan. Ini merupakan ancaman kepada kaum musyrikin bahawa mereka juga akan ditimpakan bencana sebagaimana yang menimpa Firaun dan kaumnya disebabkan mereka mendustakan Rasulullah saw.