Surah 26: Asy-Syu’ara’ (221 – 227)

Syaitan Turun kepada Para Pendusta (Bomoh) dan Para Penyair

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (221 – 227)


Ayat 221

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَـٰطِينُ

Mahukah Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun?

Ayat 222

تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

Mereka (syaitan) turun kepada setiap pendusta yang banyak dosa.

Ayat 223

يُلْقُونَ ٱلسَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَـٰذِبُونَ

Mereka menyampaikan hasil pendengaran mereka, sedangkan kebanyakan mereka adalah pendusta.

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Ta’ala menyatakan syaitan-syaitan itu diturunkan kepada dua golongan iaitu:

Pertama

▪️  Orang yang banyak berdusta dan jahat perbuatannya seperti dukun atau bomoh.

Syaitan-syaitan mencuri pendengaran daripada para malaikat yang paling tinggi (kedudukannya) lalu mereka melontarkan kepada para dukun dan orang-orang yang serupa dengan mereka daripada kalangan orang-orang yang fasik. Apa yang disampaikan oleh syaitan itu ada yang benar namun kebanyakannya dusta, bohong dan prasangka sahaja.

Ayat 224

وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلْغَاوُۥنَ

Dan para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.

Ayat 225

أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِى كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ

Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di setiap lembah.

Ayat 226

وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ

Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)?

Kedua

▪️   Syaitan-syaitan diturunkan kepada penyair-penyair yang mana syair-syair mereka berasaskan pada kebatilan dan kebohongan.

Mereka diikuti oleh orang-orang sesat dan menyimpang yang serupa dengan mereka.

Daripada ‘Aisyah ra, beliau berkata, sekumpulan orang bertanya kepada Rasulullah tentang bomoh, (iaitu adakah boleh dipercayai perkataannya?) Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya mereka itu, perkataannya tidak boleh dijadikan sandaran.’ Mereka bertanya lagi, “Wahai Rasulullah! Mereka menceritakan sesuatu dan terkadang ucapannya itu terbukti?” Baginda bersabda, “Ramalan mereka yang (kebetulan) benar itu berasal daripada (jin) yang mencuri-curi berita. Kemudian jin tersebut menyampaikan berita itu ke telinga kekasihnya (bomoh), mirip seperti ayam jantan yang sedang berkokok. Berita itu mereka campur dengan lebih seratus jenis kebohongan.”

(HR. Imam Al-Bukhari)

Ayat 227

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا وَٱنتَصَرُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ ۗ وَسَيَعْلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَىَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ

Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut (mengingati) Allah serta membela (Rasul dan kaum muslimin dengan syair-syair mereka) setelah dizalimi (oleh penyair-penyair kafir). Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

Sebahagian sahabat berasa sedih dan menangis apabila Allah Ta’ala menyatakan tentang kesesatan penyair dalam firman-Nya sebelum ini. Maka Nabi saw pun membaca firman Allah ayat 227 di atas.

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengecualikan para penyair dengan menyatakan bahawa syair dan penyair yang baik dan bermanfaat mempunyai empat sifat iaitu:

▪️  Beriman kepada Allah Ta’ala.

▪️  Beramal soleh.

▪️  Menyebut dan mengagungkan nama Allah Ta’ala sehingga menambahkan keimanan terhadap kebesaran dan keesaan-Nya.

▪️  Mendorong orang-orang beriman agar berjihad dan menegakkan agama Allah Ta’ala.

Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Ka’ab bin Malik, beliau berkata kepada Rasulullah saw, “Sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat Al-Quran berkaitan dengan para penyair.” Baginda bersabda:

“Sesungguhnya seorang mukmin itu berjihad dengan pedang dan lidahnya. Demi Rabb yang diriku ada di tangan-Nya! Syair yang kamu ucapkan kepada mereka laksana tusukan anak panah yang meluncur daripada busurnya.”

(HR. Imam Ahmad)

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang zalim yang melakukan kesyirikan kepada Allah dan kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali, mereka pasti akan kembali ke tempat (padang mahsyar) yang agung dan hisab yang sangat terperinci.

Imam Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis, Rasulullah saw bersabda:

“Jauhilah oleh kamu perbuatan zalim kerana perbuatan zalim akan menjadikan kegelapan pada Hari Kiamat kelak.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)