Surah 26: Asy-Syu’ara’ (176 – 191)

Kisah Nabi Syuaib as dan Penduduk Aikah

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (176 – 191)


Ayat 176

كَذَّبَ أَصْحَـٰبُ لْـَٔيْكَةِ ٱلْمُرْسَلِينَ

Penduduk Aikah telah mendustakan para Rasul.

Mengikut pendapat yang sahih, penduduk Aikah ialah penduduk Madyan, iaitu kaum Nabi Syu’aib as. Mereka juga telah mendustakan ajaran Rasul mereka seperti kaum-kaum sebelumnya.

Ayat 177

إِذْ قَالَ لَهُمْ شُعَيْبٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Ketika Syu’aib berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidak bertakwa?

Ayat 178

إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

Sesungguhnya aku adalah Rasul yang amanah (yang diutus) kepadamu.

Ayat 179

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Ayat 180

وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan aku tidak meminta balasan kepadamu atas ajakan ini, bayaranku hanyalah daripada Rabb seluruh alam.”

Nabi Syu’aib as menjalankan dakwahnya dengan mengajak kaumnya beriman dan mengesakan Allah Ta’ala serta mengikuti risalah yang dibawanya. Sesungguhnya baginda tidak mengharapkan sebarang upah daripada kaumnya tetapi mengharapkan balasannya daripada Allah yang telah mengutusnya kepada mereka.

Allah Ta’ala juga menceritakan tentang penduduk Aikah dalam firman-firman-Nya yang lain:

“Dan sesungguhnya adalah penduduk Aikah itu benar-benar kaum yang zalim.”

Al-Hijr 15:78

“Dan (begitu juga) Thamud, kaum Lut dan penduduk Aikah. Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu (menentang Rasul-rasul).”

Sad 38:13

Ayat 181

أَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ وَلَا تَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُخْسِرِينَ

Sempurnakanlah sukatan dan jangan kamu merugikan orang lain.

Ayat 182

وَزِنُوا۟ بِٱلْقِسْطَاسِ ٱلْمُسْتَقِيمِ

Dan timbanglah dengan timbangan yang benar.

Ayat 183

وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-hak mereka dan janganlah kamu bermaharaja lela dengan membuat kerosakan di bumi.”

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Syu’aib as menyeru penduduk Aikah mencukupkan sukatan dan timbangan ketika berjual beli.

Baginda diperintahkan agar melarang kaumnya mengurangi sukatan atau timbangan ketika menjual barang-barang mereka dan melebihkan timbangan atau sukatan ketika mereka membeli demi mendapatkan keuntungan sedangkan pihak lain mendapat kerugian. Jika mereka melakukan hal ini, bermaksud mereka telah mengambil harta orang lain.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dicukupkan, dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangkannya. Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Rabb seluruh alam?”

Al-Mutaffifin 83:1-6

Selain itu, Nabi Syu’aib as juga diperintahkan menasihati kaumnya agar tidak melakukan kejahatan dengan membuat bencana di muka bumi seperti mencuri, merompak, menculik, membunuh dan lain-lain bentuk keganasan. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalang orang yang beriman dari jalan Allah, dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok. Dan ingatlah di waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, lalu Allah memperbanyak jumlah kamu. Dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Al-A’raf 7:86

Ayat 184

وَٱتَّقُوا۟ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلْجِبِلَّةَ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang terdahulu.”

Nabi Syu’aib as memberi nasihat dan peringatan kepada kaumnya agar bertakwa kepada Allah Ta’ala. Sekiranya mereka tidak bertakwa kepada-Nya, nescaya mereka akan mendapat seksaan sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum-kaum terdahulu, kerana Dia-lah Rabb yang menciptakan mereka dan nenek moyang mereka dahulu.

Ayat 185

قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مِنَ ٱلْمُسَحَّرِينَ

Mereka berkata, “Sesungguhnya kamu adalah salah seorang daripada orang-orang yang terkena sihir.

Ayat 186

وَمَآ أَنتَ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَإِن نَّظُنُّكَ لَمِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Dan kamu hanyalah manusia seperti kami dan sesungguhnya kami yakin bahawa kamu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta.

Ayat 187

فَأَسْقِطْ عَلَيْنَا كِسَفًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Maka jatuhkanlah atas kami gumpalan dari langit, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”

Allah Swt menceritakan jawapan kaum Nabi Syu’aib as kepada baginda, yang sama bentuknya dengan jawapan kaum Thamud kepada Nabi Saleh as.

Segala nasihat Nabi Syu’aib as sedikit pun tidak dihiraukan oleh kaumnya malahan mereka mencemuh Nabi mereka dengan mengatakan bahawa Nabi Syu’aib as adalah seorang yang terkena sihir dan pemikirannya rosak sehingga kata-katanya tidak dapat mereka terima. Lagi pula baginda adalah manusia biasa seperti mereka juga, tidak ada kelebihannya daripada mereka. Mengapa baginda diutus sebagai Rasul dan bagi mereka Nabi Syu’aib as bukanlah utusan Allah sebaliknya baginda adalah seorang pendusta.

Kaum Nabi Syu’aib as juga mencabar baginda supaya menurunkan malapetaka dari langit sekiranya baginda benar-benar utusan Allah.

Ayat 188

قَالَ رَبِّىٓ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dia (Syu’aib) berkata, “Rabbku lebih mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Kemudian Nabi Syu’aib as menjawab cemuhan kaumnya dengan mengatakan bahawa Allah Swt Maha Mengetahui keadaan kaumnya dan apa yang mereka lakukan. Sekiranya Dia menghendakinya, nescaya Dia akan menimpakan azab kepada mereka disebabkan penderhakaan mereka. Namun Dia tidak bertindak zalim kepada mereka.

Ayat 189

فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمْ عَذَابُ يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Kemudian mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan gelap. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar (dahsyat).

Penduduk Aikah tetap membangkang dakwah yang dibawa oleh Nabi Syu’aib as. Oleh itu, baginda pun memohon kepada Allah Ta’ala agar diberikan keputusan terhadap kaumnya yang dilihatnya tetap tidak mahu beriman. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“……………….Wahai Rabb kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil). Engkaulah pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.”

Al A’raf 7:89

Allah Swt memperkenankan doa Nabi Syu’aib as, Dia benar-benar menimpakan azab dari langit kepada mereka sebagaimana yang mereka minta.

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa azab tersebut berupa panas yang membara selama tujuh hari berturut-turut dan tiada sesuatu pun yang terlindung daripada panas tersebut. Hawa panas itu juga tidak dapat dihilangkan oleh sesuatu apa pun.

Kemudian Allah Swt ciptakan gumpalan awan yang besar yang dapat mereka berteduh. Lalu mereka pun berbondong-bondong menuju ke arah awan itu untuk berteduh dari rasa panas.

Ketika mereka semua berkumpul di bawah awan besar itu, Allah Ta’ala menurunkan kepada mereka percikan api yang bergejolak, terang benderang dan sangat dahsyat. Bumi bergoncang dengan gempa bumi yang kuat diiringi pekikan suara yang keras sehingga roh mereka berpisah daripada badan, lalu binasalah mereka semuanya. Adapun Nabi Syu’aib as dan pengikutnya yang beriman telah diselamatkan oleh Allah Ta’ala daripada azab tersebut.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Maka ketika keputusan Kami datang, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-samanya dengan rahmat Kami. Dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh suara yang keras sehingga mereka mati bergelimpangan di rumah-rumah mereka. Seolah-olah mereka belum pernah tinggal di tempat itu. Ingatlah, binasalah penduduk Madyan sebagaimana kaum Thamud (juga) telah binasa.”

Hud 11:94-95

Kemudian Nabi Syu’aib as berpaling daripada mereka setelah mereka ditimpa azab, kebinasaan dan kehancuran. Baginda mengatakan bahawa tidak mungkin baginda bersedih atas apa yang berlaku terhadap kaumnya yang kufur kerana mereka telah mengingkari keesaan Allah Ta’ala dan mendustakannya sebagai utusan-Nya sebagaimana dalam firman-Nya:

“Maka Syu’aib meninggalkan mereka sambil berkata, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku telah menyampaikan risalah Rabbku kepada kamu dan aku telah menasihati kamu. Maka bagaimana aku akan bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir?‘”

Al-A’raf 7:93

Ayat 190

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Ayat 191

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya dalam kisah-kisah para Nabi ada pelajaran bagi orang-orang yang ingin memikirkannya. Allah Ta’ala akan membalas musuh-musuhnya dengan balasan yang pedih dan Dia Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin dan bertaubat.