Surah 26: Asy-Syu’ara’ (160 – 175)

Kisah Nabi Lut as dan Kaumnya

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (160 – 175)


Ayat 160

كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ ٱلْمُرْسَلِينَ

Kaum Lut telah mendustakan Rasul-rasul.

Ayat 161

إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ لُوطٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Ketika saudara mereka, Lut berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidak bertakwa?

Ayat 162

إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

Sesungguhnya aku adalah seorang Rasul yang amanah (yang diutus) kepadamu.

Ayat 163

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Ayat 164

وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku tidak lain hanyalah daripada Rabb seluruh alam.

Kelima-lima ayat di atas mempunyai susunan yang sama seperti ayat-ayat sebelum ini, iaitu ketika Allah Swt menceritakan kisah Nabi Hud as dan Nabi Saleh as berdakwah kepada kaum mereka.

Namun dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menceritakan kisah Nabi Lut as dengan kaumnya yang juga mengandungi ibrah dan pelajaran sebagaimana kisah Nabi-nabi sebelumnya.

Nabi Lut as adalah anak saudara Nabi Ibrahim as. Baginda diutus oleh Allah Ta’ala berdakwah kepada satu umat yang cukup besar bilangannya semasa Nabi Ibrahim as masih lagi hidup. Umat tersebut tinggal di Sodom dan kawasan-kawasan berhampiran dengannya.

Nabi Lut as mengajak kaumnya menyembah Allah Swt Yang Maha Esa yang tidak ada sekutu bagi-Nya dan melarang mereka melakukan tindakan yang menyimpang iaitu berbuat homoseks yang belum pernah dilakukan oleh seseorang pun di muka bumi.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, ‘Mengapa kamu melakukan perbuatan keji, yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu (di dunia ini)?’”

Al-A’raf 7:80

Ayat 165

أَتَأْتُونَ ٱلذُّكْرَانَ مِنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki daripada kalangan manusia (berbuat homoseks).

Ayat 166

وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Rabb untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu (memang) orang-orang yang melampaui batas.”

Nabi Lut as mencela, mengecam dan mengingkari perbuatan maksiat kaumnya yang keji lagi jijik dengan mengatakan mengapa mereka mendatangi kaum sejenis mereka iaitu kaum lelaki dan meninggalkan apa yang diciptakan oleh Allah Ta’ala untuk mereka iaitu kaum perempuan untuk dijadikan isteri-isteri supaya mereka dapat bersenang-senang dengan mereka mengikut fitrah kejadian manusia.

Allah Ta’ala menyatakan kata-kata Nabi Lut as kepada kaumnya dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya kamu telah melepaskan nafsumu kepada sesama lelaki, bukan kepada wanita. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.”

Al-A’raf 7:81

Ayat 167

قَالُوا۟ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ يَـٰلُوطُ لَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُخْرَجِينَ

Mereka menjawab, “Wahai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir.”

Namun kaum Nabi Lut as membalas dakwah baginda dengan mengatakan sekiranya baginda tidak berhenti daripada berdakwah dan terus menghalang mereka melakukan perbuatan terkutuk tersebut, mereka akan mengusir baginda dari kampung halamannya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan jawapan kaumnya tidak lain hanya berkata, ‘Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari negerimu ini, mereka adalah orang-orang yang menganggap diri mereka suci.’”

Al-A’raf 7:82

Ayat 168

قَالَ إِنِّى لِعَمَلِكُم مِّنَ ٱلْقَالِينَ

Dia (Lut) berkata, “Aku sesungguhnya sangat benci kepada perbuatanmu.”

Ketika Nabi Lut as melihat kaumnya tidak sedikit pun tergerak hati mereka untuk meninggalkan perbuatan keji tersebut, baginda pun berlepas diri daripada mereka.

Nabi Lut as mengatakan sesungguhnya baginda tidak suka dan tidak redha terhadap perbuatan kaumnya itu.

Ayat 169

رَبِّ نَجِّنِى وَأَهْلِى مِمَّا يَعْمَلُونَ

(Lut berdoa), “Wahai Rabbku selamatkanlah aku dan keluargaku daripada (akibat) perbuatan yang mereka lakukan.”

Kemudian Nabi Lut as berdoa agar diselamatkan dirinya, keluarga dan kaumnya yang beriman daripada keburukan perbuatan kaumnya yang kufur.

Ayat 170

فَنَجَّيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ أَجْمَعِينَ

Lalu Kami selamatkan dia bersama-sama keluarganya semua.

Ayat 171

إِلَّا عَجُوزًا فِى ٱلْغَـٰبِرِينَ

Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang tinggal.

Lalu Allah Ta’ala memperkenankan doa Nabi Lut as dengan menyelamatkan dirinya, keluarga dan para pengikutnya yang beriman kecuali isterinya yang tidak beriman. Oleh itu, isterinya itu tinggal bersama kaumnya yang ingkar dan turut binasa.

Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat-ayat lain:

“Para utusan (malaikat) berkata, ‘Wahai Lut, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Rabbmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun di antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka kerana sesungguhnya saat terjadinya azab kepada mereka ialah pada waktu subuh, bukankah subuh itu sudah dekat?’”

Hud 11:81

“Kemudian Kami selamatkan dia dan pengikutnya, kecuali isterinya. Dia (isterinya) termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).”

Al-A’raf 7:83

Ayat 172

ثُمَّ دَمَّرْنَا ٱلْـَٔاخَرِينَ

Kemudian Kami binasakan yang tinggal.

Ayat 173

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَسَآءَ مَطَرُ ٱلْمُنذَرِينَ

Dan Kami hujani mereka (dengan hujan batu), maka betapa buruk hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.

Ayat 174

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah) tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Ayat 175

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan Dia membinasakan kaum Nabi Lut as yang ingkar yang masih tinggal di situ. Mereka dihujani batu daripada tanah yang terbakar bertubi-tubi. Firman-Nya dalam ayat lain:

“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami terbalikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi.”

Hud 11:82

Sesungguhnya dalam kisah-kisah para Nabi ada pelajaran bagi orang-orang yang ingin memikirkannya. Allah Ta’ala akan membalas musuh-musuhnya dengan balasan yang pedih dan Dia Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin dan bertaubat.