Kisah Nabi Ibrahim as – Doa Nabi Ibrahim as
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (83 – 89)
Ayat 83
رَبِّ هَبْ لِى حُكْمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
(Ibrahim berdoa), “Wahai Rabbku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh.
Ayat ini menyatakan bahawa Nabi Ibrahim as berdoa agar Allah Swt menganugerahkan hikmah kepadanya. Ibnu ‘Abbas ra mengatakan hikmah dalam ayat ini bermaksud ilmu.
Nabi Ibrahim as juga memohon agar Allah Swt memasukkan baginda dalam golongan orang-orang yang soleh. Doa ini hampir sama dengan doa yang dipanjatkan oleh Rasulullah saw ketika sakaratul maut yang diucapkan oleh baginda sebanyak tiga kali iaitu:
“Ya Allah! Tempatkanlah aku bersama dengan orang-orang yang tinggi kedudukannya.”
(HR. Al-Bukhari)
Golongan yang tinggi kedudukannya adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah:
“Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu, para Nabi, para siddiqin (pencinta kebenaran), orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh……..”
An-Nisa’ 4:69
Ayat 84
وَٱجْعَل لِّى لِسَانَ صِدْقٍ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ
Dan jadikanlah aku buah mulut yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian.
Allah Swt menyatakan doa Nabi Ibrahim as yang seterusnya iaitu baginda memohon agar dirinya dijadikan bahan pembicaraan yang baik oleh orang-orang yang hidup selepas baginda. Baginda mengharapkan agar sejarah hidup dan kebaikannya yang diceritakan itu akan diteladani oleh orang ramai.
Allah Ta’ala memperkenankan doa baginda sebagaimana dalam firman-Nya:
“Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim.” Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”
As-Saffat 37:108-110
Ayat 85
وَٱجْعَلْنِى مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ ٱلنَّعِيمِ
Dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mewarisi syurga yang penuh kenikmatan.
Nabi Ibrahim as memohon agar baginda termasuk dalam golongan orang-orang yang mewarisi syurga penuh kenikmatan.
Ayat 86
وَٱغْفِرْ لِأَبِىٓ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ
Dan ampunilah ayahku, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang sesat.
Doa ini sama seperti yang disebutkan dalam firman Allah Ta’ala pada ayat yang lain:
“Wahai Rabb kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (Hari Kiamat).”
Ibrahim 14:41
Kemudian Nabi Ibrahim as menarik kembali doa memohon keampunan bagi bapanya setelah Allah Ta’ala melarang baginda berbuat demikian sepertimana firman-Nya:
“Dan permintaan ampun Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, ketika jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, Ibrahim pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim itu seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”
At-Taubah 9:114
Ayat 87
وَلَا تُخْزِنِى يَوْمَ يُبْعَثُونَ
Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan.
Seterusnya, Nabi Ibrahim as berdoa memohon kepada Allah Ta’ala agar baginda diselamatkan daripada kehinaan ketika dibangkitkan seluruh makhluk pada Hari Kiamat kelak.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis yang berkaitan erat dengan ayat ini, iaitu daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh, Ibrahim melihat ayahnya pada Hari Kiamat nanti dengan wajah yang tertutup debu dan kegelapan (kehinaan dan kesusahan).”
(HR. Al-Bukhari)
“Ibrahim dipertemukan dengan ayahnya. Baginda berkata, ‘Wahai Rabbku! Sesungguhnya Engkau telah berjanji kepadaku bahawa engkau tidak akan menghinakan aku pada Hari Kebangkitan.’ Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku haramkan syurga kepada orang-orang yang kafir.’”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 88
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ
Iaitu pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna.
Ayat 89
إِلَّا مَنْ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
Pada Hari Akhirat kelak, harta dan anak-anak serta keturunan tidak dapat melindungi manusia daripada seksaan Allah meskipun mereka ingin menebus diri dengannya, kecuali mereka menginfakkan harta ke jalan yang diredhai Allah Ta’ala dan mendidik anak-anak jadi anak yang soleh.
Ini kerana tidak ada yang berguna pada hari itu selain beriman kepada Allah, ikhlas menyembah-Nya dan bebas daripada syirik.