Surah 26: Asy-Syu’ara’ (52 – 68)

Kisah Nabi Musa as – Nabi Musa as dan Bani Israil Dikejar Firaun dan Menyeberangi Laut Merah

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (52 – 68)


Nabi Musa membelah laut

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as memukul laut dengan tongkatnya, maka terbelahlah Laut Merah.

Ayat 52

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِىٓ إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa, “Pergilah pada malam hari dengan membawa hamba-hamba-Ku (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekalian akan dikejar.”

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as keluar dari Mesir dengan membawa seluruh Bani Israil kerana Firaun yang ingkar itu akan menimpakan hukuman.

Ayat 53

فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ

Kemudian Firaun mengirimkan orang ke kota-kota untuk mengumpulkan (bala tenteranya).

Ayat 54

إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ

(Firaun berkata), “Sesungguhnya mereka (Bani Israil) hanya sekelompok kecil.

Ayat 55

وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَآئِظُونَ

Dan sesungguhnya mereka telah membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita.

Ayat 56

وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَـٰذِرُونَ

Dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga.”

Apabila Firaun menyedari tiada seorang pun daripada kalangan Bani Israil yang masih berada di Mesir, dia menjadi tersangat marah. Lalu dia memerintahkan para pembesar dan pasukan khasnya mengumpulkan para tenteranya untuk mengejar mereka.

Ayat 57

فَأَخْرَجْنَـٰهُم مِّن جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

Kemudian Kami keluarkan mereka (Firaun dan kaumnya) dari taman-taman dan mata air.

Ayat 58

وَكُنُوزٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ

Dan (daripada) harta kekayaan dan kedudukan yang mulia.

Ayat-ayat di atas adalah tentang peristiwa Firaun dan bala tenteranya mengejar Nabi Musa as dan Bani Israil, menyebabkan mereka (Firaun dan bala tenteranya) telah keluar dari negeri mereka, meninggalkan kerajaan, kebesaran, kemewahan dan sebagainya.

Ayat 59

كَذَٰلِكَ وَأَوْرَثْنَـٰهَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

Demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israil.

Allah Ta’ala menyatakan demikianlah keadaannya, Dia akan memberikan Bani Israil kerajaan yang kuat, kerasulan dan sebagainya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami berkati. Dan telah sempurnalah firman Rabbmu yang baik itu (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dilakukan Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan oleh mereka.”

Al-A’raf 7:137

Ayat 60

فَأَتْبَعُوهُم مُّشْرِقِينَ

Lalu (Firaun dan bala tenteranya) dapat mengejar mereka pada waktu matahari terbit.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Firaun dan tenteranya berjaya menyusul Nabi Musa as dan Bani Israil ketika matahari terbit. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Kemudian Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, tetapi mereka digulungkan oleh ombak laut yang menenggelamkan mereka.”

Taha 20:78

Ayat 61

فَلَمَّا تَرَٰٓءَا ٱلْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ

Maka setelah kedua-dua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, “Sesungguhnya kita benar-benar akan diikuti.”

Setelah Firaun berserta bala tenteranya berjaya menyusul di belakang rombongan Nabi Musa as dan Bani Israil, kedua-dua pasukan saling melihat. Keadaan ini menyebabkan Bani Israil sangat takut dan berasa mereka sudah berada diambang kehancuran.

Ini kerana di hadapan mereka ada lautan dan di belakang mereka ada Firaun dengan pasukan tenteranya dan tidak ada jalan lain kecuali menyeberang lautan tersebut.

Ayat 62

قَالَ كَلَّآ ۖ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَهْدِينِ

Dia (Musa) menjawab, “Sekali-kali tidak akan (dapat dikejar). Sesungguhnya Rabbku bersamaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.”

Lalu Nabi Musa as menenangkan mereka dengan berkata bahawa Firaun dan tenteranya tidak akan dapat mengejar mereka. Ini kerana Allah Ta’ala sentiasa bersama dengannya dan akan menyelamatkan mereka. Dia-lah yang memerintahkan baginda menempuh perjalanan ini. Oleh itu tidak mungkin Dia memungkiri janji.

Ayat 63

فَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱضْرِب بِّعَصَاكَ ٱلْبَحْرَ ۖ فَٱنفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَٱلطَّوْدِ ٱلْعَظِيمِ

Lalu Kami wahyukan kepada Musa, “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu.” Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

Pada saat Firaun dan bala tenteranya sangat dekat dengan pasukan Nabi Musa as, Allah Ta’ala memerintahkan baginda memukul laut dengan tongkatnya. Setelah baginda melakukannya, terbelahlah laut menjadi dua belas jalan yang terpisah itu seperti gunung-gunung yang besar.

Menurut Ibnu Mas’ud ra, Ibnu ‘Abbas ra, Muhammad ibnu Ka’ab, Adh-Dhahhak, Qatadah, dan lain-lain, belahan itu seperti gunung yang besar-besar.

Manakala ‘Ata’ dan Al-Khurasani, mengatakan maksud tiap-tiap belahan itu ialah jalan besar antara dua bukit.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan laut itu berubah menjadi dua belas jalan, masing-masing jalan untuk setiap suku.

As-Saddi menambahkan bahawa pada setiap jalan terdapat lubang-lubang sehingga sebahagian daripada mereka dapat melihat sebahagian yang lain, sedangkan air laut pada ketika itu berkumpul di sekeling jalan dan tegak seperti dinding. Allah Ta’ala juga mengirimkan angin ke dasar laut, lalu meniupnya sehingga dasar laut kering seperti permukaan bumi. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa, ‘Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari, maka pukullah (buatlah) untuk mereka jalan yang kering di laut itu, (kamu) tidak perlu takut akan dikejar dan tidak perlu khuatir (akan tenggelam).’”

Taha 20:77

Ayat 64

وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ ٱلْـَٔاخَرِينَ

Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain.

Ibnu ‘Abbas ra, ‘Ata’, Al-Khurasani, Qatadah dan As-Saddi mengatakan maksud ayat ini ialah Allah Ta’ala dekatkan Firaun dan bala tenteranya ke laut.

Ayat 65

وَأَنجَيْنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُۥٓ أَجْمَعِينَ

Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersamanya semuanya.

Ayat 66

ثُمَّ أَغْرَقْنَا ٱلْـَٔاخَرِينَ

Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.

Allah Swt menyelamatkan Nabi Musa as berserta kaum Bani Israil dan tidak ada seorang pun yang tenggelam. Manakala Firaun dan tenteranya ditenggelamkan-Nya sehingga tiada seorang pun yang selamat.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat lain:

“Dan Kami selamatkan Bani Israil melintasi laut, kemudian Firaun dan bala tenteranya mengikuti mereka untuk menzalimi dan menindas (mereka). Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam, dia berkata, ‘Aku percaya bahawa tidak ada Ilah melainkan Ilah yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku termasuk orang-orang muslim (berserah diri). Mengapa baru sekarang (kamu beriman) padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang melakukan kerosakan.’”

Yunus 10:90-91

“Maka Kami seksa dia berserta bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut, dalam keadaan tercela.”

Az-Zariyat 51:40

Allah Swt menyelamatkan Nabi Musa as berserta kaum Bani Israil dan tidak ada seorang pun yang tenggelam. Manakala Firaun dan tenteranya ditenggelamkan-Nya sehingga tiada seorang pun yang selamat.

Ayat 67

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) akan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman.

Sesungguhnya kisah keajaiban-keajaiban yang berlaku di luar kemampuan manusia dan dinampakkan mukjizat-mukjizat dalam perisitiwa ini, benar-benar merupakan pelajaran dan nasihat serta merupakan tanda kekuasaan Allah Ta’ala serta bukti kebenaran Nabi Musa as.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu (Firaun) supaya kamu dapat menjadi pengajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mengendahkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami.”

Yunus 10:92

Peristiwa ini juga membuktikan bahawa Allah Swt akan memberi pertolongan dan kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin.

Ayat 68

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya Allah Ta’ala, Dia benar-benar Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, dengan sifat keperkasaan-Nya, Dia membinasakan orang-orang kafir yang mendustakan-Nya dan dengan sifat rahmat-Nya, Dia menyelamatkan Nabi Musa as dan orang-orang yang bersama-samanya semuanya.