Surah 26: Asy-Syu’ara’ (36 – 51)

Kisah Nabi Musa as – Pertandingan Sihir

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (36 – 51)


Ayat 36

قَالُوٓا۟ أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَٱبْعَثْ فِى ٱلْمَدَآئِنِ حَـٰشِرِينَ

Mereka menjawab, “Tangguhkanlah (urusan) dia dan saudaranya dan utuslah ke seluruh negeri orang-orang yang akan mengumpulkan (ahli sihir).

Ayat 37

يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَحَّارٍ عَلِيمٍ

Nescaya mereka akan mendatangkan semua ahli sihir yang pandai kepadamu.”

Para pembesar memberi cadangan kepada Firaun agar mengumpulkan ahli sihir yang pandai daripada seluruh penjuru negeri agar menentang ilmu sihir yang ada pada Nabi Musa as.

Ayat 38

فَجُمِعَ ٱلسَّحَرَةُ لِمِيقَـٰتِ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir pada waktu (yang ditetapkan) pada hari yang telah ditentukan.

Lalu dikumpulkanlah para tukang sihir dari setiap penjuru negeri Mesir pada waktu yang telah ditetapkan, iaitu waktu dhuha dan pada hari perayaan. Waktu ini telah ditentukan oleh Nabi Musa as sebagaimana dalam firman Allah dalam surah yang lain:

“Dia (Musa) berkata, “(Perjanjian) waktu (untuk pertemuan kami dengan kamu itu) ialah pada hari raya dan hendaklah dikumpulkan manusia pada pagi hari (waktu dhuha).””

Taha 20:59

Ayat 39

وَقِيلَ لِلنَّاسِ هَلْ أَنتُم مُّجْتَمِعُونَ

Dan diumumkan kepada orang ramai, “Berkumpullah kamu semua.”

Firaun dan para pembesar pula berkeyakinan para tukang sihir dapat mengalahkan Nabi Musa as. Lalu diumumkan berita pertandingan sihir itu kepada orang ramai agar hadir beramai-ramai dan menyaksikan kekalahan Nabi Musa as dalam pertandingan sihir itu, supaya tidak ada seorang pun yang akan beriman dengan risalah yang dibawanya.

Ayat 40

لَعَلَّنَا نَتَّبِعُ ٱلسَّحَرَةَ إِن كَانُوا۟ هُمُ ٱلْغَـٰلِبِينَ

Semoga kita mengikuti ahli-ahli sihir jika mereka adalah orang-orang yang menang.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa para pembesar Firaun mengharapkan para tukang sihir menang dan mereka akan terus mengikuti agama mereka iaitu agama ahli sihir dan bukannya agama Nabi Musa as.

Ayat 41

فَلَمَّا جَآءَ ٱلسَّحَرَةُ قَالُوا۟ لِفِرْعَوْنَ أَئِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَـٰلِبِينَ

Maka tatkala ahli-ahli sihir datang, mereka pun bertanya kepada Firaun, “Apakah Kami sungguh-sungguh mendapat upah yang besar jika Kami adalah orang-orang yang menang?”

Ketika para tukang sihir yang memiliki ilmu sihir yang hebat itu sampai ke tempat berkumpulnya Firaun, para pembesar tentera dan rakyatnya, mereka bertanyakan tentang habuan yang akan mereka peroleh sekiranya mereka dapat mengalahkan Nabi Musa as.

Ayat 42

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ إِذًا لَّمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ

Dia (Firaun) menjawab, “Ya, kalau demikian, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan menjadi orang yang didekatkan (kepadaku).”

Lalu Firaun menyatakan bahawa para ahli sihir itu akan mendapat upah dan mereka akan dijadikan orang-orang yang dekat kedudukan dengannya.

Ayat 43

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰٓ أَلْقُوا۟ مَآ أَنتُم مُّلْقُونَ

Berkatalah Musa kepada mereka, “Lemparkanlah apa yang hendak kamu lemparkan.”

Lalu mereka melemparkan tali-temali dan tongkat-tongkat mereka dan berkata, “Demi kekuasaan Firaun, Sesungguhnya Kami benar-benar akan menang.”

Allah Swt telah menjelaskan pertarungan antara Nabi Musa as dengan para tukang sihir negeri Mesir dalam beberapa surah yang lain sebelum ini, antaranya sebagaimana firman-Nya:

“(Setelah mereka berkumpul) mereka berkata, ‘Wahai Musa (pilihlah), apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?’”

Taha 20:65

“Dia (Musa) menjawab, ‘Lemparkanlah (lebih dahulu)!’ Maka tatkala mereka melemparkan, mereka menyihir mata orang dan menjadikan orang ramai itu takut, serta mereka mendatangkan sihir yang besar (menakjubkan).’”

Al-A’raf 7:116

Setelah para tukang sihir itu dipersilakan oleh Nabi Musa as untuk memulakan pertandingan, mereka segera menunjukkan kepakaran sihir mereka. Tali-temali dan tongkat-tongkat dilemparkan sambil mengatakan demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya mereka benar-benar akan menang.

Ahli-ahli sihir itu telah menyihir dan mengaburi penglihatan manusia sehingga tali-temali dan tongkat-tongkat yang dilemparkan itu kelihatan berubah menjadi ular yang menakutkan. Seluruh kawasan itu dipenuhi dengan ular yang bergerak dan merayap.

Ayat 45

فَأَلْقَىٰ مُوسَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ

Kemudian Musa melemparkan tongkatnya, maka tiba-tiba ia menelan benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu.

Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as melemparkan tongkatnya. Setelah baginda melemparkan tongkatnya, tiba-tiba tongkat itu berubah menjadi ular yang besar. Lalu dengan ganas dan cepat ular itu memakan semua tali-temali dan tongkat-tongkat yang dilemparkan oleh para tukang sihir tersebut. Maka mukjizat Nabi Musa as telah menghancurkan segala tipudaya dan kepalsuan para penyihir itu.

Ayat 46

فَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سَـٰجِدِينَ

Maka tersungkurlah ahli-ahli sihir sambil bersujud (kepada Allah).

Ayat 47

قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Mereka berkata, “Kami beriman kepada Rabb semesta alam,

Ayat 48

رَبِّ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ

(iaitu) Rabb Musa dan Harun.”

Para tukang sihir itu begitu kagum dengan apa yang mereka lihat lalu terus tersungkur bersujud kerana mereka mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi Musa as adalah di luar kemampuan manusia.

Mereka sedar semuanya itu adalah kekuasaan Allah Ta’ala, Rabb semesta alam, Rabb yang didakwahkan oleh Nabi Musa as dan Nabi Harun as. Kemudian dengan penuh keyakinan dan ketundukan, mereka menzahirkan apa yang ada dalam hati mereka dengan mengatakan mereka beriman kepada Rabb baginda berdua. Ini merupakan peristiwa yang menjadi hujjah yang sangat kuat kerana disaksikan oleh ramai orang. Firaun mengalami kekalahan yang menyakitkan dan memalukan yang dia tidak pernah terduga dalam fikirannya sama sekali. Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Kerana itu nyatalah yang benar dan batallah yang selalu mereka kerjakan. Maka mereka dikalahkan di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta merta merebahkan diri dengan bersujud. Mereka berkata, ‘Kami beriman kepada Rabb semesta alam, (iaitu) Rabb Musa dan Harun.’”

Al-A’raf 7:118-122

“Firaun berkata, ‘Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya (perbuatan ini) adalah suatu muslihat yang telah kamu rencanakan di dalam kota ini, untuk mengeluarkan penduduknya darinya. Maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini).’”

Al-A’raf 7:123

Ayat 49

قَالَ ءَامَنتُمْ لَهُۥ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّهُۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحْرَ فَلَسَوْفَ تَعْلَمُونَ ۚ لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَـٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ

Dia (Firaun) berkata, “Apakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya Dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu). Sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kakimu dengan bersilang dan aku akan menyalib kamu semuanya.”

Walaupun Firaun telah dikalahkan dengan nyata, namun dia adalah manusia yang tidak memiliki perasaan malu. Dia kemudiannya dengan sikap sombongnya mengalihkan perhatian dan memberi ancaman kepada para ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa as.

Ayat 50

قَالُوا۟ لَا ضَيْرَ ۖ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ

Mereka berkata, “Tidak ada kemudharatan (bagi kami), sesungguhnya kami akan kembali kepada Rabb kami.

Ayat 51

إِنَّا نَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لَنَا رَبُّنَا خَطَـٰيَـٰنَآ أَن كُنَّآ أَوَّلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya kami amat menginginkan Rabb kami mengampuni segala kesalahan kami, kerana kami menjadi orang-orang yang pertama beriman.”

Namun para tukang sihir menjawab dengan ungkapan yang menunjukkan keteguhan dan kekuatan keimanan mereka. Mereka langsung tidak mempedulikan ugutan dan ancaman Firaun. Apa yang mereka harapkan hanyalah keampunan dan keredhaan Allah Ta’ala.

Mereka rela dipotong kaki dan tangan, kemudian disalib dan mati daripada kembali kepada kegelapan sihir, kekufuran, kesombongan dan keingkaran kepada Allah Ta’ala.