Kisah Nabi Musa as – Nabi Musa as Bertemu dengan Firaun
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (10 – 35)
Ayat 10
وَإِذْ نَادَىٰ رَبُّكَ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱئْتِ ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan (ingatlah) ketika Rabbmu menyeru Musa (dengan firman-Nya), “Datangilah kaum yang zalim itu,
Ayat 11
قَوْمَ فِرْعَوْنَ ۚ أَلَا يَتَّقُونَ
(iaitu) kaum Firaun, mengapa mereka tidak bertakwa?”
Dalam ayat- ayat ini, Allah Ta’ala memberitahu kepada Rasulullah saw dan umatnya tentang perintah yang Dia tugaskan kepada hamba dan Rasul-Nya iaitu Nabi Musa as ketika Dia menyeru Nabi Musa as di sebelah kanan Gunung Sinai di lembah suci Tuwa.
Allah Ta’ala berbicara dengan Nabi Musa as serta mengutus dan memilihnya sebagai Rasul. Baginda bermunajat kepada-Nya dan kemudian Allah memerintahkan baginda pergi berdakwah kepada Firaun dan pembesar-pembesar yang menzalimi diri sendiri dengan mensyirikkan-Nya dan memperhambakan kaum Bani Israil serta membunuh anak-anak lelaki mereka.
Ayat 12
قَالَ رَبِّ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ
Dia (Musa) berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku takut mereka akan mendustakan aku.
Ayat 13
وَيَضِيقُ صَدْرِى وَلَا يَنطَلِقُ لِسَانِى فَأَرْسِلْ إِلَىٰ هَـٰرُونَ
Sehingga dadaku terasa sempit dan lidahku tidak lancar, maka utuskanlah Harun (bersama denganku).
Manakala ayat-ayat di atas ini pula merupakan kerisauan Nabi Musa as dan baginda memohon kepada Allah Ta’ala supaya masalah yang dihadapinya dapat diatasi. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dia (Musa) berkata, ‘Wahai Rabbku, lapangkanlah dadaku. Dan mudahkan untukku urusan ini. Dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku. Agar mereka mengerti perkataanku. Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku. (Iaitu) Harun, saudaraku. Teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia. Dan jadikanlah dia teman dalam urusanku. Agar kami banyak bertasbih kepada-Mu. Dan banyak mengingati-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan) kami.’ Dia (Allah) berfirman, ‘Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa!’”
Taha 20:25-36
Ayat 14
وَلَهُمْ عَلَىَّ ذَنۢبٌ فَأَخَافُ أَن يَقْتُلُونِ
Sebab aku berdosa terhadap mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.”
Kerisauan ini adalah kerana Nabi Musa as pernah membunuh seorang Mesir yang menyebabkan keluarnya baginda dari negeri Mesir.
Nabi Musa as sebenarnya tidak berdosa terhadap orang-orang Mesir kerana perbuatan baginda membunuh seorang rakyat Mesir adalah dengan tidak sengaja sebagaimana firman Allah:
“Dan dia (Musa) masuk ke kota ketika penduduknya sedang leka, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi, seorang daripada golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) daripada musuhnya (kaum Firaun). Maka lelaki daripada golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk (mengalahkan) lelaki daripada musuhnya lalu Musa menumbuknya, dan matilah musuhnya itu. Dia (Musa) berkata, ‘Ini adalah perbuatan syaitan, sungguh dia (syaitan itu) adalah musuh yang jelas menyesatkan.’”
Al-Qasas 28:15
Ayat 15
قَالَ كَلَّا ۖ فَٱذْهَبَا بِـَٔايَـٰتِنَآ ۖ إِنَّا مَعَكُم مُّسْتَمِعُونَ
(Allah) berfirman, “Jangan takut, (mereka tidak akan dapat membunuhmu). Maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat), sesungguhnya Kami bersamamu mendengar (apa yang mereka katakan).”
Lalu Allah Ta’ala menenangkan Nabi Musa as agar tidak berasa gentar untuk berhadapan dengan Firaun dan sesungguhnya Firaun tidak akan mampu melakukan sesuatu terhadapnya. Kemudian Dia memperkenankan permintaan baginda. Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:
“Allah berfirman, ‘Kami akan membantumu dengan saudaramu, dan Kami berikan kepadamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu, (berangkatlah kamu berdua) dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.’”
Al-Qasas 28:35
“Dia (Allah) berfirman, ‘Janganlah kamu berdua bimbang, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku mendengar dan melihat.’”
Taha 20:46
Ayat 16
فَأْتِيَا فِرْعَوْنَ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولُ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Maka datanglah kamu berdua kepada Firaun dan katakanlah, “Sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul Rabb seluruh alam.”
Ayat 17
أَنْ أَرْسِلْ مَعَنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ
Lepaskanlah Bani Israil (pergi) bersama dengan kami.”
Ayat 18
قَالَ أَلَمْ نُرَبِّكَ فِينَا وَلِيدًا وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ
Dia (Firaun) menjawab, “Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun daripada umurmu.
Ayat 19
وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ ٱلَّتِى فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Dan engkau (Musa) telah melakukan (kesalahan daripada) perbuatan yang telah engkau lakukan itu dan engkau termasuk golongan orang-orang yang tidak tahu berterima kasih.”
Ayat-ayat di atas adalah kisah dan dialog antara Nabi Musa as dengan Firaun. Baginda diperintahkan oleh Allah Ta’ala untuk membebaskan Bani Israil daripada penindasan Firaun yang bertindak zalim dan kejam ke atas mereka.
Lalu Firaun menjawab dengan menghina dan mencelanya dengan dua perkara:
Pertama
▪️ Mengingatkan tentang kebaikan-kebaikannya terhadap Nabi Musa as kerana telah mengasuh dan memeliharanya sejak kecil serta tidak dibunuh seperti anak-anak lelaki yang lain.
Kedua
▪️ Baginda membunuh seorang Qibti yang merupakan pengikutnya dan kemudian baginda melarikan diri.
Ayat 20
قَالَ فَعَلْتُهَآ إِذًا وَأَنَا۠ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ
Berkata (Musa), “Aku telah melakukannya, dan ketika itu aku termasuk orang-orang yang belum mendapat petunjuk.
Nabi Musa as menjawab celaan dan penghinaan Firaun terhadapnya dengan mengatakan bahawa baginda memukul lelaki Qibti tersebut tanpa niat membunuhnya dan tidak menyangka bahawa pukulan tersebut boleh membawa kepada kematian, padahal baginda memukulnya dengan tujuan untuk memberikan pelajaran kepadanya. Ketika itu, baginda belum lagi diutus sebagai Nabi dan Rasul serta belum diberikan wahyu.
Ayat 21
فَفَرَرْتُ مِنكُمْ لَمَّا خِفْتُكُمْ فَوَهَبَ لِى رَبِّى حُكْمًا وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Rabbku memberikan kepadaku ilmu serta Dia menjadikanku salah seorang di antara Rasul-rasul.
Setelah kejadian itu, Nabi Musa as melarikan diri ke Madyan kerana takut kepada Firaun akan pembalasannya.
Kemudian Allah Ta’ala yang memelihara baginda dan menganugerahkan ilmu yang bermanfaat kepadanya serta menjadikannya salah seorang di antara para Rasul sebagaimana para Rasul yang lain sebelumnya.
Ayat 22
وَتِلْكَ نِعْمَةٌ تَمُنُّهَا عَلَىَّ أَنْ عَبَّدتَّ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ
Budi yang kamu limpahkan kepadaku itu adalah (disebabkan) kamu telah memperhambakan Bani Israil.”
Kemudian Nabi Musa as membandingkan antara kebaikan yang dia terima daripada Firaun dengan kekejaman Firaun terhadap Bani Israil. Baginda mengatakan itulah kebaikan yang telah Firaun berikan kepadanya dengan memelihara dirinya sejak bayi sehingga dewasa. Sementara itu, Firaun telah memperhambakan kaum baginda iaitu Bani Israil. Firaun telah memperlakukan mereka dengan tidak berperi kemanusiaan.
Oleh itu, kebaikan yang diberikan kepada Nabi Musa as tidak cukup untuk menebus kezaliman Firaun terhadap Bani Israil.
Ayat 23
قَالَ فِرْعَوْنُ وَمَا رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Firaun bertanya, “Siapa Rabb semesta alam itu?”
Ayat 24
قَالَ رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ ۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ
Dia (Musa) menjawab, “Rabb Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara kedua-duanya (Itulah Rabbmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya.”
Ayat-ayat ini merupakan perdebatan antara Nabi Musa as dengan Firaun tentang tuhan. Tatkala Nabi Musa dan Nabi Harun as menyatakan mereka diutus oleh Allah Ta’ala untuk menyampaikan kebenaran dan tauhid kepada-Nya, Firaun bertanya kepada Nabi Musa as apakah hakikat Tuhan semesta alam yang mengutus mereka berdua. Lalu baginda menjawab dengan tiga jawapan:
Pertama
▪️ Tuhan yang mengutusnya adalah Tuhan Pencipta, Pengurus, Pemelihara langit dan bumi serta yang ada di antara kedua-duanya. Ini berbeza dengan diri Firaun yang hanya menguasai negeri Mesir dengan kekuatannya.
Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh Nabi Musa as merupakan hal yang sebenar-benarnya, jika dia mempercayai Allah Ta’ala. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia (Firaun berkata, ‘Maka siapakah Rabbmu berdua, wahai Musa?’ Dia (Musa) berkata, ‘Rabb kami adalah (Rabb) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.’”
Taha 20:49-50
Ayat 25
قَالَ لِمَنْ حَوْلَهُۥٓ أَلَا تَسْتَمِعُونَ
Dia (Firaun) berkata kepada orang-orang sekelilingnya, “Apakah kamu tidak mendengar (apa yang dikatakannya)?”
Firaun bertanya kepada orang-orang di sekelilingnya, iaitu para pembesar kerajaan adakah mereka tidak berasa pelik dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Musa as bahawa ada tuhan lain yang wajib mereka sembah selain dirinya.
Ayat 26
قَالَ رَبُّكُمْ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ
Dia (Musa) berkata, “(Dia) Rabbmu dan juga Rabb nenek moyangmu terdahulu.”
Kedua
▪️ Nabi Musa as mengatakan bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb Firaun dan juga merupakan Rabb nenek moyangnya yang terdahulu, sesungguhnya tiada Ilah selain-Nya.
Ayat 27
قَالَ إِنَّ رَسُولَكُمُ ٱلَّذِىٓ أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ لَمَجْنُونٌ
Dia (Firaun) berkata, “Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar orang gila.”
Jawapan Nabi Musa as menyebabkan Firaun menjadi bingung lalu dia menuduh baginda as seorang yang tidak mempunyai akal, tidak memahami pertanyaan dan benar-benar sudah gila kerana baginda mengatakan ada Ilah selain dirinya.
Ayat 28
قَالَ رَبُّ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَمَا بَيْنَهُمَآ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ
Dia (Musa) berkata, “(Dia-lah) Rabb (yang menguasai) timur dan barat dan apa yang ada di antara kedua-duanya, jika kamu menggunakan akal.”
Seterusnya, Nabi Musa as menjawab dengan jawapan berikut yang merupakan jawapan yang sukar bagi Firaun, iaitu:
Ketiga
▪️ Sesungguhnya Allah Ta’ala, Dia-lah Rabb yang menerbitkan matahari lalu menampakkan siang. Dia juga yang menenggelamkan matahari lalu menghilangkan siang. Dia-lah yang memiliki barat dan timur dan apa yang ada di antara kedua-duanya. Itulah Rabb mereka sekiranya mereka benar-benar memiliki akal yang masih digunakan untuk berfikir.
Allah Ta’ala juga menceritakan hal ini dalam ayat yang lain bagaimana orang kafir berdebat dengan Nabi Ibrahim as:
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebati Ibrahim tentang Rabbnya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, “Rabbku ialah yang menghidupkan dan mematikan,” orang itu berkata, “Saya dapat menghidupkan dan mematikan.” Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat,” lalu terdiamlah orang kafir itu, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”
Al-Baqarah 2:258
Ayat 29
قَالَ لَئِنِ ٱتَّخَذْتَ إِلَـٰهًا غَيْرِى لَأَجْعَلَنَّكَ مِنَ ٱلْمَسْجُونِينَ
Firaun berkata, “Sungguh jika kamu menyembah Ilah selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan.”
Jawapan Nabi Musa as benar-benar membuat Firaun marah. Dia berkata dengan nada mengancam iaitu sekiranya baginda menyembah tuhan selain dirinya, pasti dia akan masukkan baginda ke dalam penjara sebagaimana yang dilakukannya terhadap orang-orang yang telah dia penjarakan dan baginda akan diseksa dengan seksaan yang amat pedih.
Ayat 30
قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكَ بِشَىْءٍ مُّبِينٍ
Dia (Musa) berkata, “Apakah (engkau akan melakukan itu) sekalipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (bukti) yang nyata?”
Nabi Musa as sama sekali tidak berasa takut dan gentar dengan ancaman tersebut. Ini kerana baginda yakin Allah Ta’ala sentiasa bersamanya.
Oleh itu dengan hati yang tenang, Nabi Musa as mengatakan kepada Firaun bahawa adakah dia akan tetap memenjarakannya sekalipun baginda mampu tunjukkan kepadanya sesuatu bukti yang nyata sebagai tanda bahawa baginda adalah benar-benar utusan Allah Ta’ala.
Ayat 31
قَالَ فَأْتِ بِهِۦٓ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
Dia (Firaun) berkata, “Tunjukkan sesuatu (bukti yang nyata) itu, jika engkau termasuk orang-orang yang benar!”
Maka Firaun meminta Nabi Musa as membuktikan kebenaran dakwah kenabian baginda.
Ayat 32
فَأَلْقَىٰ عَصَاهُ فَإِذَا هِىَ ثُعْبَانٌ مُّبِينٌ
Maka dia (Musa) melemparkan tongkatnya, tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata.
Ayat 33
وَنَزَعَ يَدَهُۥ فَإِذَا هِىَ بَيْضَآءُ لِلنَّـٰظِرِينَ
Dan dia menarik tangannya (dari dalam bajunya), tiba-tiba tangan itu menjadi putih (bercahaya) bagi orang-orang yang melihatnya.
Lalu Nabi Musa as menunjukkan mukjizat-mukjizat yang menunjukkan kenabiannya:
▪️ Nabi Musa as melemparkan tongkat, lalu tongkatnya bertukar menjadi ular yang sangat besar.
▪️ Nabi Musa as memasukkan tangannya ke dalam saku dan kemudian mengeluarkannya dan tangannya bercahaya.
Ayat 34
قَالَ لِلْمَلَإِ حَوْلَهُۥٓ إِنَّ هَـٰذَا لَسَـٰحِرٌ عَلِيمٌ
Dia (Firaun) berkata kepada pembesar-pembesar yang berada di sekelilingnya, “Sesungguhnya dia (Musa) ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai.
Ayat 35
يُرِيدُ أَن يُخْرِجَكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِۦ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ
Dia hendak mengusir kamu dari negerimu sendiri dengan sihirnya, oleh itu apakah yang kamu anjurkan?”
Walaupun telah terbukti kehebatan dan kebenaran Nabi Musa as, Firaun segera mendustakan dan menampakkan keingkarannya dengan menuduh bahawa apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah tergolong sebagai sihir dan bukan mukjizat.
Firaun mendorong para pembesar agar membuat perancangan untuk mengalahkan Nabi Musa as dan saudaranya sehingga baginda berdua tidak mengambil alih kekuasaan negara daripada tangan mereka.