Surah 26: Asy-Syu’ara’ (1 – 9)

Berpalingnya Orang Kafir daripada Al-Quran

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (1 – 9)


Ayat 1

طسٓمٓ

Ta Sim Mim.

Ayat 2

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ

Inilah ayat-ayat kitab (Al-Quran) yang jelas.

Inilah ayat-ayat Al-Quran yang jelas, tegas dan nyata yang memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan serta antara petunjuk dan kesesatan.

Ayat 3

لَعَلَّكَ بَـٰخِعٌ نَّفْسَكَ أَلَّا يَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ

Boleh jadi engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu (dengan menanggung kesedihan), kerana mereka (penduduk Mekah) tidak beriman.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw iaitu adakah baginda akan membinasakan dirinya dengan kesedihan yang mendalam kerana penduduk Mekah tidak mahu beriman dengan risalah yang dibawanya, padahal baginda sangat menginginkan mereka beriman.

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan kepada utusan-Nya, Nabi Muhammad saw agar tidak bersedih terhadap orang-orang kafir yang tidak mahu beriman dengannya, sebagaimana firman-firman-Nya:

“……….Maka janganlah dirimu (Muhammad) binasa kerana kesedihan terhadap mereka……………”

Fatir 35:8

“Maka janganlah engkau (Muhammad) mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).”

Al-Kahfi 18:6

Ayat 4

إِن نَّشَأْ نُنَزِّلْ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ءَايَةً فَظَلَّتْ أَعْنَـٰقُهُمْ لَهَا خَـٰضِعِينَ

Jika Kami kehendaki nescaya Kami turunkan kepada mereka mukjizat dari langit, yang menjadikan leher-leher mereka tunduk kepadanya.

Allah Ta’ala menyatakan jika Dia menghendaki agar mereka beriman kepadanya, nescaya Dia akan turunkan kepada mereka suatu kejadiaan yang luar biasa, iaitu berupa mukjizat dari langit yang turun kepada mereka yang akan memaksa mereka sehingga membuat mereka tunduk dengan rendah hati kepadanya.

Namun Allah Ta’ala tidak menghendaki cara pemaksaan seperti itu. Apa yang Dia inginkan adalah mereka beriman dengan suka rela, tanpa ada satu paksaan apa pun kepada mereka. Ini kerana keimanan yang ikhlas akan membuahkan hasil yang baik dan berkekalan. Sebaliknya keimanan dengan secara terpaksa, akan menghasilkan sesuatu yang sebaliknya. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-firman Allah:

“Dan jika Rabbmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi adakah kamu (hendak) memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang beriman?”

Yunus 10:99

“Dan jika Rabbmu menghendaki, tentu dijadikan-Nya umat manusia yang menurut agama yang satu tetapi mereka sentiasa berselisih (pendapat).”

Hud 11:118

Ayat 5

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍ مِّنَ ٱلرَّحْمَـٰنِ مُحْدَثٍ إِلَّا كَانُوا۟ عَنْهُ مُعْرِضِينَ

Dan setiap kali disampaikan kepada mereka suatu peringatan baru (ayat Al-Quran yang diturunkan) daripada Rabb Yang Maha Pemurah, mereka selalu berpaling daripadanya.

Telah menjadi sunnatullah, Allah Ta’ala akan mengutuskan para Rasul kepada setiap umat supaya mereka benar-benar beriman dan berkeyakinan. Namun orang-orang kafir menolak dan tetap dalam kekufuran, hanyut dalam kesesatan, menentang dan berpaling.

Ayat 6

فَقَدْ كَذَّبُوا۟ فَسَيَأْتِيهِمْ أَنۢبَـٰٓؤُا۟ مَا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Sungguh, mereka telah mendustakan (Al-Quran), maka kelak akan datang kepada mereka (kebenaran) berita-berita mengenai apa (azab) yang dahulu mereka perolok-olokkan.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa orang-orang yang memperolok-olokkan Al-Quran akan mengetahui secara yakin setelah kehidupan yang sementara ini berakhir dan balasan azab akan ditimpakan atas segala pendustaan yang mereka telah lakukan di dunia ini sebagaimana firman-firman-Nya:

“Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al Quran setelah beberapa waktu lagi.”

Sad 38:88

“Alangkah besarnya penyesalan hamba-hamba itu, setiap kali datang seorang Rasul kepada mereka, mereka selalu memperolok-olokkannya.”

Yasin 36:30

Ayat 7

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَى ٱلْأَرْضِ كَمْ أَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ

Adakah mereka tidak memerhatikan bumi, berapa banyaknya Kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang baik?

Ayat 8

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Seterusnya, Allah Ta’ala mengingatkan tentang betapa agung kekuasaan-Nya kepada orang-orang yang berani menentang para Rasul-Nya kerana Dia-lah yang Maha Perkasa mencipta bumi dan menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan di atasnya.

Meskipun begitu jelas tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Swt, kebanyakan manusia tetap tidak mahu beriman, tidak mahu memikirkan tanda-tanda dan bukti-bukti kekuasaan-Nya yang dapat disaksikan.

Ayat 9

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sungguh Rabbmu, Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Berkuasa atas segala yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Penyayang terhadap makhluk-makhluk-Nya dengan tidak menyegerakan azab bagi sesiapa yang berdosa, bahkan menundanya agar mereka kembali kepada jalan yang benar. Sekiranya mereka masih sombong dan angkuh untuk kembali kepada-Nya maka barulah Dia mengazabnya dengan kekuasaan dan keperkasaan-Nya.