Surah 25: Al-Furqan (63 – 74)

Penjelasan tentang Sifat-sifat ‘Ibadurrahman (Hamba-hamba Allah yang Maha Pemurah)

Surah 25: Al-Furqan (63 – 74)


Ayat 63

وَعِبَادُ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى ٱلْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمًا

Dan hamba-hamba Allah yang Maha Pengasih itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

Ayat 63-74 ini menjelaskan sifat-sifat hamba Allah yang beriman iaitu:

Pertama

▪️  Orang-orang yang berjalan dengan langkah yang tenang dan tenteram tanpa menampakkan kesombongan dan keangkuhan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”

Al-Isra’ 17:37

Kedua

▪️  Orang-orang yang tidak membalas ucapan kotor daripada orang jahil dengan ucapan yang sama sebaliknya memaafkan, menyambutnya dengan santun dan tidak mengucapkan sesuatu melainkan perkataan yang baik. Hal seperti inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Baginda tidak pernah melawan kekerasan orang-orang jahil melainkan dengan kesabaran dan kesantunan. Firman Allah:

“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata, ‘Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil.’”

Al-Qasas 28:55

Ayat 64

وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَـٰمًا

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Rabb mereka.

Ketiga

▪️  Orang-orang yang mendirikan solat pada waktu malam (tahajjud) dengan penuh ketaatan dan penghambaan yang tulus kepada Rabb-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya sebagaimana firman-firman-Nya:

“Di dunia mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah).”

Az-Zariyat 51:17-18

“Rusuk mereka jauh dari tempat tidurnya, sedangkan mereka berdoa kepada Rabb mereka dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

As-Sajdah 32:16

Ayat 65

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

Dan orang-orang yang berkata, “Wahai Rabb Kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal.”

Ayat 66

إِنَّهَا سَآءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا

Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

Keempat

▪️  Orang-orang yang sentiasa meminta perlindungan daripada azab Jahannam yang azabnya adalah berterusan dan selama-lamanya.

Ayat 67

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Kelima

▪️  Orang-orang yang berhemah dan bersikap sederhana dalam membelanjakan harta mereka.

Firman Allah dalam ayat yang lain:

“Dan janganlah kamu menjadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kedekut) dan jangan (pula) kamu terlalu menghulurkannya (sangat pemurah) kelak kamu akan tercela dan menyesal.”

Al-Isra’ 17:29

Ayat 68

وَٱلَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا

Dan orang-orang yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak (jalan yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Sesiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya).

Ayat 69

يُضَـٰعَفْ لَهُ ٱلْعَذَابُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِۦ مُهَانًا

(Iaitu) akan dilipatgandakan azab untuknya pada Hari Kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina.

Keenam

▪️  Orang-orang yang hanya mengesakan Allah Ta’ala, tidak menyeru dan tidak menyembah selain-Nya.

Ketujuh

▪️  Mereka tidak membunuh jiwa manusia dengan sengaja kecuali dengan alasan atau perintah agama yang benar seperti kafir setelah beriman, berzina setelah menikah dan membunuh manusia tanpa alasan. Perlaksanaan hukuman bunuh ini berdasarkan keputusan negara (hakim) dan tidak berdasarkan keputusan seseorang.

Kelapan

▪️  Mereka juga tidak berzina dan mereka menjaga kemaluan kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba perempuan yang mereka miliki.

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud ra, beliau berkata, Rasullullah saw ditanya tentang dosa apa yang paling besar? Baginda menjawab:

“Kamu menjadikan sekutu bagi Allah, sedangkan Dia telah menciptakanmu.” Seorang lelaki bertanya, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Kamu membunuh anakmu kerana kamu takut tidak dapat makan bersama dengan mereka.” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Kamu berzina dengan isteri jiranmu.” Ibnu Mas’ud berkata, “Allah menurunkan ayat di atas untuk membenarkan apa yang baginda sabdakan.”

(HR. Ahmad)

Sesiapa yang memiliki sifat yang tercela dan melakukan perbuatan seperti yang disebutkan di atas, maka bagi mereka azab yang berat dan akan dilipatgandakan. Mereka kekal di dalam azab itu dalam keadaan terhina.

Ayat 70

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَـٰلِحًا فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِهِمْ حَسَنَـٰتٍ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kemudian Allah Ta’ala membuka pintu taubat dengan menjelaskan di dalam ayat ini bahawa bagi orang-orang yang menginginkan kebaikan dan kembali kepada jalan yang benar, Dia akan menerima taubat dan mengampuni mereka.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa taubat seorang pembunuh dan pelaku dosa-dosa besar itu diterima oleh Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa menyekutukan (sesuatu) dengan-Nya, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya……..”

An-Nisa’ 4:116

Daripada Abu Dzar ra, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh aku mengetahui penghuni neraka yang paling akhir keluar dari neraka (daripada kalangan mukminin) dan paling akhir masuk ke dalam syurga. Kelak ketika seorang lelaki akan didatangkan, lalu Allah berfirman, ‘Sembunyikan dahulu daripadanya dosa-dosa besar dan tanyakan tentang dosa-dosa kecilnya.’ Lalu dikatakan kepadanya, ‘Pada hari kamu melakukan perbuatan dosa ini dan itu, dan pada hari yang lain kamu melakukan dosa ini dan itu.’ Maka lelaki itu menjawab, ‘Benar.’ Sedikitpun dia tidak dapat memungkirinya. Lalu dikatakan kepadanya, ‘Kamu mendapatkan sesuatu kebaikan daripada setiap suatu keburukan.’ Beliau pun berkata, ”Wahai Rabb, aku telah banyak melakukan dosa, tetapi aku tidak ketemui dalam buku catatan ini.’ Maka baginda tertawa sehingga nampak gigi geraham baginda.”

(HR. Ahmad)

Ayat 71

وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَإِنَّهُۥ يَتُوبُ إِلَى ٱللَّهِ مَتَابًا

Dan sesiapa yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa seseorang yang ikhlas dalam bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya (nasuha) iaitu dengan meninggalkannya dan menyesalinya, maka sesungguhnya Dia akan menerima taubatnya. Betapa luasnya rahmat Allah Swt yang dicurahkan kepada hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-firman-Nya:

“Tidakkah mereka mengetahui, bahawa Allah menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya) dan bahawa Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?”

At-Taubah 9:104

“Katakanlah, ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”

Az-Zumar 39:53

Ayat 72

وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًا

Dan orang-orang yang tidak memberikan kesaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu (pergi) dengan menjaga kehormatan diri.

Kesembilan

▪️  Orang-orang yang tidak menjadi saksi atas persaksian yang batil atau berbicara dusta (bohong).

‘Amr bin Qais mengatakan maksudnya ialah mereka tidak pernah menyaksikan tempat-tempat maksiat dan majlis-majlis yang terdapat banyak ucapan dusta.

Manakala ada pendapat lain mengatakan maksudnya ialah mereka tidak memberikan kesaksian palsu iaitu sengaja berkata dusta kepada pihak lain. Ini sesuai dengan sebuah hadis iaitu daripada Abu Bakrah, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Mahukah aku ceritakan kepada kamu tentang dosa yang paling besar?” (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali). Maka kami menjawab, “Wahai Rasulullah, kami mahu.” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah dan menyakiti kedua orang tua.” Pada mulanya baginda bersandar, lalu duduk tegak dan bersabda, “Hati-hatilah perkataan dusta dan kesaksian palsu!” Baginda mengulang-ulang sabda terakhirnya ini, sehingga kami berkata (dalam hati) bahawa seandainya baginda diam.

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Kesepuluh

▪️  Apabila secara kebetulan mereka berada di tempat-tempat yang ada ucapan-ucapan dusta, mereka berlalu pergi untuk menjaga kehormatan diri supaya tidak terpalit dengan dosa.

Ayat 73

وَٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا۟ عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Kesebelas

▪️  Orang-orang yang beriman mengambil iktibar dan pelajaran apabila diberikan peringatan, sebagaimana firman Allah Swt:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah (kuat) iman mereka dan hanya kepada Rabb mereka, mereka bertawakkal.”

Al-Anfal 8:2

Sikap orang-orang kafir berbeza dengan sifat orang-orang beriman. Apabila mendengar ayat-ayat Allah orang-orang kafir sedikit pun tidak terpengaruh seolah-olah mereka itu buta dan tuli. Mereka tetap tidak mahu mengambil pelajaran lalu terus berada dalam kesombongan, kekafiran, kejahilan dan kesesatan. Firman-Nya:

“Dan apabila diturunkan sesuatu surah (daripada Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek), “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang sedia ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

At-Taubah 9:124-125

Ayat 74

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan orang-orang yang berkata, “Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

Kedua belas

▪️  Orang-orang yang memohon kepada Allah Ta’ala dengan sepenuh hati agar Dia menganugerahkan kepada mereka isteri-isteri yang solehah dan daripada keturunan mereka akan lahir hamba-hamba yang taat kepada perintah-Nya dan selalu menyembah-Nya, Rabb Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-Nya.

Ketiga belas

▪️  Hamba-hamba-Nya yang sentiasa berdoa semoga mereka dijadikan sebagai orang-orang yang mendapat petunjuk kemudian membimbing dan mengajak orang lain kepada kebaikan.

Doa ini menunjukkan bahawa mereka ingin agar amalan soleh mereka diteruskan oleh anak-anak dan keturunan mereka. Mereka juga menginginkan agar orang-orang lain juga meneladani mereka sehingga bermanfaat buat kehidupan mereka.

Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, Rasullullah saw bersabda:

“Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amal perbuatannya kecuali tiga perkara, iaitu anak soleh yang mendoakan (orang tua)nya, ilmu yang bermanfaat yang diamalkan setelah kematiannya, dan sedekah jariah.”

(HR. Muslim)