Allah Swt Adakan bagi Setiap Nabi Musuh daripada Kalangan Orang yang Berdosa
Surah 25: Al-Furqan (30 – 31)
Ayat 30
وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا
Dan Rasul (Muhammad) berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran ini suatu yang diabaikan.”
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Rasulullah saw mengadu kepada-Nya tentang keburukan perilaku dan perkataan nista kaum musyrik yang tidak menerima Al-Quran. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan orang yang kafir berkata, ‘Janganlah kamu mendengar (bacaan)Al-Quran ini. Buatlah hiruk-pikuk terhadapnya (dengan nyanyian dan jeritan-jeritan riuh serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaannya, lalu dia menghentikan bacaannya).’”
Fussilat 41:26
Ayat 31
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا مِّنَ ٱلْمُجْرِمِينَ ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا
Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap nabi, musuh daripada kalangan orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong.
Ayat ini bermaksud sebagaimana dalam kalangan kaum Nabi Muhammad saw terdapat orang-orang yang mengabaikan dan menolak Al-Quran, demikian jugalah umat-umat terdahulu. Ini kerana Allah Swt menjadikan bagi setiap nabi memiliki musuh daripada kalangan orang-orang yang berdosa. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis manusia) dan (daripada jenis) jin, sebahagiannya membisikkan sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu manusia…..”
Al-An’am 6:112
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan bahawa cukuplah hanya Dia sebagai penolong Rasulullah saw dan orang-orang yang mengikuti baginda dalam menghadapi musuh-musuh mereka.