Kedahsyatan Hari Kiamat
Surah 25: Al-Furqan (25 -29)
Ayat 25
وَيَوْمَ تَشَقَّقُ ٱلسَّمَآءُ بِٱلْغَمَـٰمِ وَنُزِّلَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ تَنزِيلًا
Dan (ingatlah) pada hari (ketika) langit pecah mengeluarkan kabut putih dan para malaikat diturunkan (secara berpasukan).
Pada ayat 25-29 ini, Allah Ta’ala mengingatkan Nabi Muhammad saw dan seluruh manusia akan kedahsyatan Hari Kiamat iaitu:
▪️ Terpecahnya langit dan segala yang di langit termasuk matahari dan planet-planet saling berantakan dengan sangat dahsyatnya, sehingga mengeluarkan kabut putih, kemudian semuanya menjadi debu yang berterbangan dan akhirnya menghilang.
▪️ Selepas itu para malaikat pun diturunkan secara bergelombang dalam jumlah yang sangat banyak. Mereka membawa catatan amal setiap manusia. Merekalah yang menjadi saksi atas semua tindakan manusia ketika di dunia dahulu. Firman Allah Ta’ala:
“Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya Allah dan malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan, dan diputuskanlah perkaranya. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan.”
Al-Baqarah 2:210
Ayat 26
ٱلْمُلْكُ يَوْمَئِذٍ ٱلْحَقُّ لِلرَّحْمَـٰنِ ۚ وَكَانَ يَوْمًا عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ عَسِيرًا
Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Rabb Yang Maha Pemurah. Dan itulah hari yang sulit bagi orang-orang kafir.
▪️ Pada saat itu semua kekuasaan yang mutlak hanya berada di sisi Allah Ta’ala. Kerajaan yang hak pada hari itu adalah hanya milik-Nya Yang Maha Pemurah. Kekuasaan itu kini berada dalam genggaman-Nya. Dia-lah yang menentukan nasib setiap manusia dengan seadil-adilnya, kerana Dia-lah Yang Maha Rahman.
▪️ Pada masa itu juga merupakan hari yang sangat sukar dan pedih bagi orang-orang kafir kerana tidak lagi bermanfaat kepada mereka harta benda, anak-anak dan sebagainya. Mereka akan menghadapi satu pengadilan yang sebenar-benarnya. Mereka tidak lagi didampingi oleh penolong atau pelindung sebagaimana ketika di dunia dahulu.
Ayat 27
وَيَوْمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى ٱتَّخَذْتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلًا
Dan (ingatlah) pada hari (ketika) orang-orang.yang zalim menggigit dua jarinya (menyesali perbuatannya) seraya berkata, “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul.”
▪️ Hari tersebut merupakan hari penyesalan bagi orang-orang kafir, juga bagi orang-orang yang mendustakan dan menentang risalah Rasulullah saw sehingga mereka menggigit dua tangan masing-masing lantaran penyesalan dan kekecewaan.
Ayat 28
يَـٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
Alangkah celakanya aku! Betapa baiknya kalau aku tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku).
Ayat 29
لَّقَدْ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَآءَنِى ۗ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِلْإِنسَـٰنِ خَذُولًا
Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku daripada peringatan (Al-Quran) setelah (Al-Quran) itu telah datang kepadaku. Dan syaitan memang pengkhianat manusia.
▪️ Penyesalan yang mendalam kerana tersalah memilih teman rapat yang diikuti dan dicintai. Ini kerana temannya itu telah memesongkannya daripada Al-Quran yang telah datang kepadanya.
Dalam ayat di atas maksud ‘si fulan’ ialah syaitan yang tujuannya hanyalah hendak memalingkan manusia daripada kebenaran dan mengajak mereka melakukan kebatilan. Setelah itu, ia meninggalkan dan tidak memberi manfaat bagi mereka saat terjadi musibah.
Setiap orang kafir dan zalim nescaya menyesal pada Hari Kiamat nanti kerana telah mengikut seruan syaitan dan memesongkan mereka dari petunjuk. Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Pada hari (ketika) wajah mereka dibalik-balikkan di dalam neraka, mereka berkata, “Kalaulah dahulu kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.” Dan mereka berkata, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati para pemimpin dan para pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan (yang benar).”
Al-Ahzab 33:66-67