Kekufuran Orang Kafir Sangat Keterlaluan
Surah 25: Al-Furqan (21 – 23)
Ayat 21
وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَوْ نَرَىٰ رَبَّنَا ۗ لَقَدِ ٱسْتَكْبَرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ وَعَتَوْ عُتُوًّا كَبِيرًا
Berkatalah orang-orang yang tidak menanti-nanti pertemuan (mereka) dengan Kami, “Mengapakah tidak diturunkan kepada kita malaikat atau (mengapa) kita (tidak) melihat Rabb kita?” Sesungguhnya mereka memandang besar tentang diri mereka dan mereka benar-benar telah melampaui batas (dalam melakukan) kezaliman.
Allah Ta’ala menyatakan kekufuran orang-orang kafir yang sangat keterlaluan. Mereka tidak mahu beriman kepada Nabi Muhammad saw, tidak berharap perjumpaan dengan-Nya setelah kematian dan keingkaran mereka terhadap adanya Hari Akhirat.
Hal ini menyebabkan mereka mempersoalkan mengapa tidak diturunkan malaikat kepada mereka untuk memberitahu sesungguhnya Nabi Muhammad saw adalah seorang Nabi atau mereka dapat menyaksikan Allah Ta’ala dengan mata mereka sendiri, lalu Dia memberitahu kepada mereka tentang kebenaran baginda dalam mengembangkan risalah-Nya.
Sesungguhnya kaum kafir ini telah menyombongkan diri mereka kerana berani mengeluarkan ucapan tersebut. Mereka menganggap bahawa merekalah yang lebih mulia dan lebih baik kerana mereka memiliki kekayaan atau kedudukan dalam masyarakat. Mereka sebenarnya telah melampaui batas dalam penentangan dan kekafiran mereka. Ini sebagaimana firman-firman-Nya:
“…………Atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.”
Al-Isra’ 17:92
“Sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka, nescaya mereka tidak akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
Al-An’am 6:111
Ayat 22
يَوْمَ يَرَوْنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ لَا بُشْرَىٰ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُجْرِمِينَ وَيَقُولُونَ حِجْرًا مَّحْجُورًا
(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya) dan mereka akan berkata, “Semoga kita dijauhkan (daripada sebarang keadaan yang buruk).”
Kemudian Allah Ta’ala memberitahu seraya mengancam orang-orang kafir bahawa mereka akan melihat malaikat pada hari yang tidak ada sedikit pun berita gembira buat mereka. Hari tersebut adalah ketika mereka masing-masing menghadapi sakaratul maut.
Pada saat itu, malaikat memberikan khabar buruk berupa seksaan neraka dan kemurkaan Allah. Roh-roh enggan keluar, lalu lari berselerakan kerana ketakutan akan dipukul oleh malaikat sepertimana firman-firman-Nya:
“Kalau kamu melihat ketika para malaikat itu mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata), ‘Rasakanlah oleh kalian seksa neraka yang membakar,’ (tentulah kamu akan berasa ngeri).”
Al-Anfal 8:50
“……………….Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada waktu orang-orang yang zalim (berada) dalam tekanan-tekanan sakaratul maut sedangkan para malaikat memukul dengan tangannya; (sambil berkata), “Keluarkanlah nyawamu!” Pada hari ini kamu dibalas dengan seksaan yang sangat menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.”
Al-An’am 6:93
Terdapat beberapa maksud bagi perkataan حِجْرًا مَحْجُورًا iaitu:
▪️ Kaum kafir berkata semoga Allah menghindarkan bahaya ini daripada mereka. Mereka berkata demikian kerana para malaikat akan berkata kepada mereka iaitu mereka tidak akan mendapat khabar gembira dan tidak pula mendapat kebaikan.
▪️ Manakala jumhur ulama tafsir mengatakan bahawa perkataan ini merupakan perkataan para malaikat kepada kaum kafir iaitu mereka sama sekali tidak akan mendapat kebaikan, pengampunan dan syurga. Pada hari itu mereka tidak mendapatkan keselamatan.
Ayat 23
وَقَدِمْنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُوا۟ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَـٰهُ هَبَآءً مَّنثُورًا
Dan Kami dapati segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa amalan kaum kafir yang mereka lakukan selama di dunia dahulu seperti berbuat baik sesama makhluk, bersedekah, menolong atau menggembirakan orang yang ditimpa kesedihan dan kesusahan, memberi perlindungan, mengurus Baitul Haram serta membantu para jemaah haji adalah tidak bernilai sama sekali.
Pada Hari Kiamat, Allah Ta’ala akan menghitung semua amal perbuatan manusia dan menyatakan bahawa semua amal perbuatan orang-orang musyrik tidak bernilai sama sekali dan tidak dapat menyelamatkan mereka daripada seksa neraka. Ini kerana amal-amal tersebut tidak memenuhi syarat yang sesuai dengan syarak, maka semuanya tertolak.
Syarat amalan seseorang itu diterima:
▪️ Beriman.
▪️ Ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah.
▪️ Ittiba’ iaitu mengikut tuntutan syarak dan petunjuk Rasulullah saw.
Oleh itu semua amalan-amalan baik orang-orang kafir itu tertolak, menjadi hancur lebur sehingga tidak bermanfaat buat mereka seperti firman Allah:
“Orang-orang yang kafir kepada Rabb mereka, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun daripada apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.”
Ibrahim 14:18