Surah 25: Al-Furqan (12 – 15)

Keadaan Orang Musyrik apabila Dilemparkan ke Neraka

Surah 25: Al-Furqan (12 – 15)


Ayat 12

إِذَا رَأَتْهُم مِّن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ سَمِعُوا۟ لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا

Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar kegeramannya dan suara nyalanya.

Ayat 13

وَإِذَآ أُلْقُوا۟ مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُّقَرَّنِينَ دَعَوْا۟ هُنَالِكَ ثُبُورًا

Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan.

Ayat 14

لَّا تَدْعُوا۟ ٱلْيَوْمَ ثُبُورًا وَٰحِدًا وَٱدْعُوا۟ ثُبُورًا كَثِيرًا

(Akan dikatakan kepada mereka), “Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak.”

Dalam ayat sebelum ini, Allah Ta’ala mengancam orang-orang yang mendustakan Hari Kiamat dan Hari Pembalasan bahawa Dia menyediakan azab yang pedih dan sangat panas di Neraka Jahannam, manakala dalam ayat-ayat ini pula Allah Ta’ala menyatakan:

▪️  Apabila Neraka Jahannam itu melihat mereka dari jauh, mereka mendengar suara gemuruh lantaran besarnya kemarahannya terhadap mereka. Firman Allah dalam surah yang lain:

“Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya, mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak, hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah………….”

Al-Mulk 67:7-8

▪️  Mereka akan dilemparkan ke dalam neraka yang sempit dengan kasar lagi terhina dan dalam keadaan tangan mereka dibelenggu ke leher-leher mereka. Mereka pun terpekik terlolong meratapi nasib mereka sambil mengatakan, alangkah baiknya jika mereka mati (ثُبُورًا) ketika ini. Jika mati tentulah akan terlepas daripada seksaan.

Kemudian dikatakan kepada mereka, tidak usahlah meratap dengan mengharapkan kematian sekali sahaja. Sebaliknya merataplah dengan mengharapkan kematian dan kebinasaan berkali-kali. Mereka bukanlah dibinasakan hanya sekali tetapi berkali-kali kerana seksaan kepada mereka itu ada pelbagai bentuk dan setiap seksaan itu sangat pedih. Di akhirat mereka tidak akan mati dan seksaan yang diterima akan kekal abadi.

Ayat-ayat ini adalah untuk menakut-nakutkan dan juga sebagai peringatan kepada mereka yang ingkar agar mereka tidak menyesal dan mendapat kerugian yang besar di akhirat kelak.

Ayat 15

قُلْ أَذَٰلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ ٱلْخُلْدِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۚ كَانَتْ لَهُمْ جَزَآءً وَمَصِيرًا

Katakanlah (wahai Muhammad), “Apakah (azab) yang demikian itu yang baik? Atau syurga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa sebagai balasan dan tempat kembali bagi mereka?”

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw meminta orang-orang kafir membuat perbandingan sama ada keadaan azab di dalam neraka itu lebih baik daripada nikmat syurga ataupun sebaliknya.

Malahan penghuni neraka akan mendapat pelbagai azab seksaan yang lain termasuklah makanan yang di hidangkan di dalamnya sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya pohon zaqqum itu makanan orang yang berdosa, ia seperti kotoran minyak yang mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang sangat panas.”

Ad-Dukhan 44:43-46