Surah 25: Al-Furqan (4 – 6)

Tuduhan Palsu Orang Kafir terhadap Al-Quran

Surah 25: Al-Furqan (4 – 6)


Ayat 4

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ إِفْكٌ ٱفْتَرَىٰهُ وَأَعَانَهُۥ عَلَيْهِ قَوْمٌ ءَاخَرُونَ ۖ فَقَدْ جَآءُو ظُلْمًا وَزُورًا

Dan orang-orang kafir berkata, “Al-Quran ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh Muhammad, dan dia dibantu oleh kaum yang lain,” maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar.

Dalam ayat 4-5 ini, Allah Ta’ala menyebutkan dua tuduhan daripada beberapa tuduhan orang-orang musyrik yang keji yang menunjukkan kebodohan dan rendahnya pemikiran mereka, iaitu:

▪️  Al-Quran adalah satu pendustaan yang direka oleh Rasulullah saw dengan dibantu oleh kaum yang lain.

Maka Allah Ta’ala menjawab tuduhan mereka itu dengan mengatakan bahawa tuduhan mereka itu adalah batil. Mereka telah membuat suatu kezaliman dan pendustaan yang besar terhadap Rasulullah saw.

Ayat 5

وَقَالُوٓا۟ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ ٱكْتَتَبَهَا فَهِىَ تُمْلَىٰ عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Dan mereka berkata, “Dongengan-dongengan orang-orang dahulu dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang.”

▪️  Orang-orang musyrik juga mengatakan Al-Quran ini adalah kisah-kisah bohong dan dongengan belaka yang telah ditulis dalam kitab-kitab orang-orang terdahulu. Baginda dituduh menyampaikan isi kitab tersebut setelah ada orang lain membacakan kepadanya setiap pagi dan petang.

Semua tuduhan yang dilemparkan kepada baginda adalah pembohongan semata-mata. Firman Allah:

“Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan terhadapmu (Muhammmad), kerana itu mereka menjadi sesat dan tidak lagi menemukan jalan (yang benar).”

Al-Isra’ 17:48

Sebenarnya orang-orang musyrik ini mengenali Rasulullah saw lebih daripada anak-anak mereka sendiri. Baginda terkenal dengan sifat jujur, berjiwa bersih, bertanggungjawab dalam menunaikan amanah, berakhlak mulia dan digelar dengan Al-Amin iaitu seorang yang boleh dipercayai. Semua ini hilang setelah baginda menjadi utusan Allah. Namun baginda dimuliakan dan dijaga oleh-Nya di dunia dan juga di akhirat.

Ayat 6

قُلْ أَنزَلَهُ ٱلَّذِى يَعْلَمُ ٱلسِّرَّ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Katakanlah, “Al-Quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Kemudian Allah Ta’ala menjawab dakwaan mereka dengan memerintahkan Rasullullah saw menyatakan bahawa Al-Quran ini diturunkan oleh-Nya yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi. Dia Maha Mengetahui yang ghaib dan sentiasa melihat hal-hal yang tersembunyi.

Al-Quran mengandungi kisah orang-orang terdahulu dan orang-orang yang kemudian sebagai berita yang benar sama ada telah berlaku ataupun yang akan berlaku.

Sekiranya bukan kerana rahmat Allah Ta’ala mendahului kemurkaan-Nya, nescaya binasalah orang-orang yang mengingkari-Nya dan melemparkan kata-kata dusta lagi keji. Namun Dia Maha Pengampun lagi Penyayang kepada mereka yang ingin bertaubat daripada dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Dia juga menyatakan bahawa mereka yang tetap tidak mahu bertaubat atau berpaling daripada peringatan-Nya setelah diberi tempoh dan pilihan akan diberikan balasan sepertimana firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.”

Al-Buruj 85:10