Etika Pergaulan Orang Mukmin terhadap Rasullullah saw
Surah 24: An-Nur (62)
Ayat 62
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَإِذَا كَانُوا۟ مَعَهُۥ عَلَىٰٓ أَمْرٍۢ جَامِعٍ لَّمْ يَذْهَبُوا۟ حَتَّىٰ يَسْتَـْٔذِنُوهُ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَـْٔذِنُونَكَ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ فَإِذَا ٱسْتَـْٔذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَن لِّمَن شِئْتَ مِنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمُ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad), mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ini merupakan pelajaran daripada Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, iaitu sebagaimana Dia telah memerintahkan mereka untuk meminta izin apabila masuk ke rumah orang lain, begitu jugalah Dia memerintahkan mereka supaya meminta izin apabila hendak keluar terutama apabila mereka berada dalam sebuah pertemuan bersama dengan Rasulullah saw.
Oleh itu, Allah Swt menerangkan tentang adab apabila bersama dengan Rasullullah saw dalam suatu pertemuan untuk urusan yang penting seperti solat Jumaat, solat ’Id, solat berjamaah, ketika berkumpul dalam mesyuarat atau pertemuan-pertemuan yang lain. Mereka tidak boleh meninggalkan Rasullullah saw sebelum meminta izin dan mendapat keizinan terlebih dahulu daripada baginda.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang melakukan etika yang mulia ini digolongkan sebagai orang-orang yang beriman dengan keimanan yang sempurna.
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Rasullullah saw mengizinkan sesiapa yang baginda kehendaki sekiranya ada di kalangan orang-orang yang beriman meminta izin untuk keluar daripada perhimpunan itu atas sesuatu urusan yang munasabah. Allah Ta’ala juga memerintahkan baginda memohon ampun bagi mereka. Hal ini memberi ketenangan kepada mereka atas ampunan yang dipanjatkan oleh baginda untuk mereka kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.