Permintaan Izin apabila Ingin Memasuki Bilik Orang Tua
Surah 24: An-Nur (58 – 59)
Ayat 58
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِيَسْتَـْٔذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ وَٱلَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا۟ ٱلْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَـٰثَ مَرَّٰتٍ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَوٰةِ ٱلْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعْدِ صَلَوٰةِ ٱلْعِشَآءِ ۚ ثَلَـٰثُ عَوْرَٰتٍ لَّكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌۢ بَعْدَهُنَّ ۚ طَوَّٰفُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa, (iaitu) sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu pada tengah hari dan sesudah solat Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang beriman agar mendidik hamba sahaya mereka dan anak-anak mereka yang belum baligh supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan masuk ke bilik tuan mereka atau ibu bapa mereka. Mereka hendaklah dilarang masuk secara bebas pada tiga waktu yang berikut:
▪️ Pada waktu pagi sebelum solat Subuh kerana pada masa itu kebiasaannya orang baru bangun tidur dan melucutkan pakaian tidur.
▪️ Pada waktu tengah hari, kebiasaannya ramai orang menanggalkan pakaian luar untuk beristirahat.
▪️ Pada waktu malam selepas solat Isyak iaitu ketika kebanyakan orang mulai masuk tidur.
Selain tiga waktu yang disebutkan di atas, kanak-kanak dan hamba sahaya bebas keluar masuk untuk melayani mereka.
Ini adalah hukum dan syariat Allah. Dia Maha Mengetahui kebaikan untuk para makhluk-Nya lagi Maha Bijaksana dalam syariat-Nya.
Ayat 59
وَإِذَا بَلَغَ ٱلْأَطْفَـٰلُ مِنكُمُ ٱلْحُلُمَ فَلْيَسْتَـْٔذِنُوا۟ كَمَا ٱسْتَـْٔذَنَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Sebelum ini, Allah Ta’ala menerangkan hukum bagi hamba sahaya dan anak-anak yang belum baligh meminta izin ketika memasuki secara bebas ke dalam bilik tuan atau orang tua mereka pada tiga waktu. Dalam ayat ini pula Allah Ta’ala menerangkan tentang hukum meminta izin bagi mereka yang sudah baligh.
Maksud ayat, “Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin.” ialah anak-anak yang disebutkan dalam ayat sebelum ini, apabila telah baligh, mereka diwajibkan meminta izin untuk memasuki bilik orang tua mereka setiap kali berkeinginan untuk memasukinya.
Demikianlah Allah Ta’ala menjelaskan hukum-hukum dan adab-adab untuk para hamba-Nya. Segala puji bagi-Nya atas segala nikmat-Nya. Dia Maha Mengetahui keperluan para hamba-Nya lagi Maha Bijaksana terhadap apa yang disyariatkan kepada hamba-hamba-Nya.