Janji Allah Ta’ala kepada Orang Beriman bahawa Mereka Akan Berkuasa di Muka Bumi
Surah 24: An-Nur (55)
Ayat 55
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
At-Tabari meriwayatkan daripada Al-Bara’ bin ‘Azib, dia mengatakan ayat ini diturunkan tatkala mereka sedang mengalami ketakutan yang amat sangat pada awal mereka memeluk Islam.
Maka dalam ayat ini, Allah Swt menjanjikan kemenangan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, dengan mewariskan kepada mereka tanah kekuasaan kaum musyrikin dan menjadikan mereka penguasa padanya.
Ini sebagaimana yang pernah dilakukan kepada orang-orang terdahulu daripada kalangan orang-orang yang beriman kepada Allah dan para Rasul-Nya, dan mereka menjadikan agama mereka yang diredhai-Nya iaitu Islam sebagai agama mulia lagi kuat.
Allah Ta’ala juga menggantikan keadaan mereka daripada ketakutan kepada keadaan yang aman, apabila mereka beribadah kepada-Nya semata-mata dan istiqamah di atas ketaatan kepada-Nya, serta tidak menyekutukan sesuatu pun bersama dengan-Nya.
Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan bahawa sesiapa yang kufur setelah berkuasa ke atas kaum musyrikin dan berada dalam keadaan aman, serta mengingkari nikmat-nikmat-Nya, maka mereka itu adalah orang-orang yang telah keluar daripada ketaatan kepada-Nya. Dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala membentangkan bumi kepadaku sehingga aku dapat melihat belahan timur dan baratnya. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan mencapai belahan bumi yang dibentangkan kepadaku.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Allah Ta’ala telah menunaikan janji-Nya, segala puji hanya milik-Nya. Ini kerana Rasulullah saw dan para sahabat berjaya menakluk Mekah, Khaibar, Bahrain, seluruh Jazirah Arab sehingga ke Yaman. Baginda mengambil jizyah daripada kaum Majusi di daerah Hajar di Bahrain dan sebahagian kecil negeri Syam. Baginda juga pernah menerima hadiah hasil perdamaian daripada Heraklius (Raja Rom), Muqauqis (Raja Mesir), penguasa-penguasa Oman dan Najasyi (Raja Habsyah).
Setelah kewafatan Rasulullah saw, Abu Bakar As-Siddiq ra menggantikan baginda untuk meneruskan perkembangan dakwah Islam ke seluruh Jazirah Arab.
Seterusnya, setelah ‘Umar Al-Khattab ra menggantikan Abu Bakar As-Siddiq ra, beliau meneruskan penguasaan dan penaklukan ke atas Syam, Mesir dan sebahagian Parsi. Beliau juga berjaya menghancurkan kekuasaan Qaisar (Raja Rom) dan menakluk Istanbul.
Ketika Islam diterajui oleh ‘Uthman bin ‘Affan ra, daerah kekuasaan Islam tersebar sehingga Morocco, pesisir pantai Sepanyol, Cyprus dan juga China.
Terdapat beberapa kisah berkaitan kejayaan perkembangan Islam yang boleh dirujuk dalam Kitab Tafsir Ibnu Kathir.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa akan ada umat baginda yang tetap menyembah-Nya dengan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Sesiapa yang ingkar, mereka itulah orang-orang yang fasik.
Rasulullah saw bersabda:
“Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menghina dan yang menyalahi mereka, hingga datang Hari Kiamat.”
(HR. Muslim)