Surah 24: An-Nur (51 – 52)

Sifat Orang Mukmin ialah Taat kepada Perintah Allah Swt dan Rasul-Nya

Surah 24: An-Nur (51 – 52)


Ayat 51

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Seterusnya dalam ayat 51-52 ini, Allah Ta’ala menyatakan sifat-sifat orang-orang mukmin yang memenuhi panggilan-Nya dan Rasul-Nya serta mengamalkan ajaran daripada kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya.

Allah Ta’ala menyifatkan orang-orang mukmin yang taat sebagai orang yang beruntung iaitu mereka yang mendapat apa yang diingini dan selamat daripada kejadian-kejadian yang menakutkan. Mereka tidak pernah mencari petunjuk selain Kitabullah dan Sunnah Rasulullah saw.

Berkaitan dengan ayat, “Kami mendengar dan kami patuh,” Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Qatadah, dia mengatakan bahawa ketika ‘Ubadah bin As-Samit menghadapi sakaratul maut, beliau telah berpesan kepada anak saudaranya Junadah bin Abi Umayyah supaya mendengar dan patuh (kepada pemimpin dalam ketaatan) sama ada pada waktu susah atau senang walaupun mereka menzaliminya. Dia juga berpesan supaya menghiasi lidah dengan keadilan, jangan berselisih dengan keluarga kecuali apabila disuruh melakukan kemaksiatan. Dia juga mengatakan bahawa dia sedikit pun tidak memerintahkan Junadah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Kitabullah sebaliknya menyuruh mengikutinya.

Ayat 52

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَخْشَ ٱللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

Orang-orang yang taat melakukan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya, adalah orang-orang yang menang dengan mendapat segala jenis kebaikan dan terhindar daripada segala keburukan di dunia dan di akhirat.