Sikap Orang Munafik dalam Berhukum kepada Rasul
Surah 24: An-Nur (47 – 50)
Ayat 47
وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۚ وَمَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan mereka berkata, “Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul-(Nya), dan kami mentaati (kedua-duanya).” Kemudian sebahagian daripada mereka berpaling sesudah itu. Sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
Dalam ayat 47-50, Allah Ta’ala menjelaskan sifat-sifat orang-orang munafik yang selalu menampakkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ada di dalam hati. Mereka selalu mengatakan bahawa mereka beriman sedangkan perbuatan mereka menunjukkan yang sebaliknya iaitu mereka mengatakan sesuatu yang tidak mereka lakukan. Oleh itu, mereka bukanlah termasuk orang-orang yang beriman.
Ayat di atas merupakan dalil yang jelas bahawa keimanan bukan hanya dengan ucapan sahaja. Sekadar mengaku beriman tidak bermakna orang-orang munafik itu sebenarnya orang-orang yang beriman.
Ayat 48
وَإِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُم مُّعْرِضُونَ
Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya, agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian daripada mereka menolak untuk datang.
Orang-orang munafik ini mengaku beriman tetapi apabila diajak mengikuti petunjuk Allah melalui Al-Quran yang disampaikan melalui Rasul-Nya, mereka mengingkarinya sebagaimana firman Allah Swt:
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengakui dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah kalian (tunduk) kepada hukum yang telah Allah turunkan dan kepada hukum Rasul,” nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu.”
An-Nisa’ 4:60-61
Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa hukum daripada Rasulullah saw adalah juga hukum Allah Ta’ala yang pasti berlandaskan pada kebenaran dan keadilan.
Ayat 49
وَإِن يَكُن لَّهُمُ ٱلْحَقُّ يَأْتُوٓا۟ إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ
Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, (maka) mereka datang kepada Rasul dengan patuh.
Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan apabila keputusan hukum menguntungkan orang-orang munafik, maka mereka akan datang kepada Rasulullah saw dengan patuh dan setia.
Namun apabila hukum tidak menguntungkan mereka iaitu mengganggu kepentingan mereka, maka mereka akan berpaling dan mengajak manusia mengikuti jalan yang tidak benar. Mereka lebih cenderung kepada keputusan yang dibuat oleh selain baginda agar kebatilan yang dibawa oleh mereka diikuti ramai dan tersebar luas.
Oleh itu, kepatuhan mereka selama ini bukanlah lahir daripada keyakinan bahawa apa yang mereka ikuti adalah satu kebenaran. Sebaliknya mereka menurutinya apabila sesuai dengan hawa nafsu mereka.
Ayat 50
أَفِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَمِ ٱرْتَابُوٓا۟ أَمْ يَخَافُونَ أَن يَحِيفَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُۥ ۚ بَلْ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit atau (kerana) mereka ragu-ragu atau apakah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan Rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim.
Alasan mereka tidak berhukum dengan perintah Allah dan Rasul-Nya adalah disebabkan oleh:
▪️ Hati yang dihinggapi penyakit.
▪️ Hati yang dipenuhi keraguan terhadap Islam.
▪️ Mereka khuatir Allah dan Rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka dalam menetapkan sesuatu hukum.
Hakikatnya merekalah orang-orang yang zalim. Allah dan Rasul-Nya bebas daripada apa yang mereka sangkakan iaitu berlaku zalim terhadap mereka. Maha Suci Allah dan Rasul-Nya daripada apa yang mereka perkatakan.