Surah 24: An-Nur (35)

Perumpamaan Cahaya Allah Swt

Surah 24: An-Nur (35)


Ayat 35

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشْكَوٰةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ ٱلْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَـٰرَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىٓءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَـٰلَ لِلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti misykat, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak di sebelah barat(nya), yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Misykat ialah ruangan yang melengkung di bahagian dinding khusus untuk menempatkan pelita bagi tujuan memantulkan cahaya disekitarnya. Biasanya ini digunakan pada zaman dahulu untuk memaksimakan cahaya pelita itu. Dengan cara itu maka cahaya dapat difokuskan dan dilantunkan dengan lebih berkesan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa jika bukan kerana-Nya, tidak adalah cahaya di alam ini dan tidak ada petunjuk di langit mahupun di bumi. Ini kerana Dia-lah yang menyinari kedua-duanya. Kitab dan Rasul-Nya juga adalah cahaya dan kedua-duanya merupakan petunjuk dalam gelapnya kehidupan seseorang sebagaimana cahaya yang menerangi kegelapan.

‘Ali bin Abi Talhah menyatakan, Ibnu ‘Abbas ra berkata maksud ayat “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi,” ialah Allah memberikan petunjuk kepada penduduk langit dan bumi.

Ibnu Juraij pula mengatakan Mujahid mentafsirkan ayat “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi,” sebagai Allah Ta’ala mengatur segala urusan di langit dan bumi termasuk bintang-bintang, matahari dan bulan.

Allah Ta’ala memberikan petunjuk dengan cahaya-Nya iaitu cahaya iman, Islam dan ihsan kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki, iaitu yang mengharapkan hidayah dengan berusaha mencarinya.

Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra maksud ayat, “Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis)” ialah Allah Ta’ala menggambarkan iman dan amal soleh orang-orang mukmin sama seperti cahaya di atas cahaya yang berlapis-lapis.

Setelah menyebut perumpamaan cahaya dan hidayah-Nya dalam hati seseorang mukmin, Allah Ta’ala menutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat hidayah dan siapa pula yang berhak disesatkan.