Perintah Nikah
Surah 24: An-Nur (32 – 34)
Ayat 32
وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala memerintahkan supaya menikahkan orang-orang muslimin yang belum memiliki pasangan hidup sama ada lelaki atau perempuan, yang masih bujang atau yang telah berpisah dengan pasangan masing-masing. Ini adalah sebagai salah satu cara memelihara kesucian nasab.
Sebahagian ulama berpendapat, nikah adalah hukumnya wajib kepada setiap orang yang berkemampuan. Mereka berdalil dengan hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda:
“Wahai sekalian pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mampu mengeluarkan perbelanjaan pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu lebih menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa merupakan penawar nafsu syahwat.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, Allah Ta’ala mendorong manusia untuk menikah. Dia memerintahkan orang-orang yang merdeka dan juga hamba sahaya supaya menikah. Dia juga menjanjikan kecukupan dan kemampuan kepada mereka untuk menikah.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka: (1) orang yang menikah dengan tujuan menjaga kesucian, (2) hamba sahaya yang ingin membebaskan diri dengan membayar secara ansuran dan (3) orang yang berperang di jalan Allah.”
(HR. Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasa-i dan Ibnu Majah)
Ayat 33
وَلْيَسْتَعْفِفِ ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱلَّذِينَ يَبْتَغُونَ ٱلْكِتَـٰبَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا ۖ وَءَاتُوهُم مِّن مَّالِ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ ءَاتَىٰكُمْ ۚ وَلَا تُكْرِهُوا۟ فَتَيَـٰتِكُمْ عَلَى ٱلْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِّتَبْتَغُوا۟ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَمَن يُكْرِههُّنَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ مِنۢ بَعْدِ إِكْرَٰهِهِنَّ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan budak-budak yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa budak-budak wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri menginginkan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa (itu).
Dalam ayat ini terdapat perintah Allah Ta’ala kepada orang yang tidak mampu membiayai pernikahan supaya menjaga kehormatan diri dengan bersabar dan berpuasa.
‘Ikrimah menyatakan bahawa jika seorang lelaki melihat wanita lain dengan penuh syahwat dan dia mempunyai isteri, hendaklah dia menggauli isterinya. Namun jika tidak beristeri, maka hendaklah dia menunggu ketentuan Allah Ta’ala iaitu sehingga Dia memberikan kemampuan kepadanya.
Dalam ayat ini juga terdapat perintah daripada Allah Ta’ala kepada pemilik hamba apabila hambanya memintanya melakukan perjanjian mukatabah (hamba yang menginginkan kebebasan dengan melakukan pembayaran atas dirinya secara ansuran) hendaklah dia memberi peluang kebebasan itu.
Syarat yang dikenakan kepada hamba ialah dia hendaklah berkemampuan untuk bebaskan dirinya dan juga berkemampuan untuk membayar mukatabah dan boleh hidup berdikari. Tuannya pula menyetujui akad mukatabah itu dan membantunya dengan melunasi salah satu syarat mukatabah.
Al-Hasan Al-Basri dan beberapa orang mufassir berpendapat maksud ayat, “Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu,” ialah diberikan zakat kepada mereka.
Manakala Ibrahim An-Nakha’i pula berpendapat memberikan sebahagian harta kepada mereka sama ada harta tuannya sendiri atau orang lain untuk menolong hamba sahaya yang sedang berusaha untuk membebaskan diri.
Allah Ta’ala melarang memaksa hamba-hamba perempuan melakukan perzinaan. Ini kerana telah menjadi tradisi bagi orang-orang Arab jahiliyah, hamba-hamba perempuan disuruh menjadi pelacur sebagai sumber pendapatan kepada tuannya. Anak-anak hasil perzinaan itu pula nanti akan menjadi miliknya juga.
Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba sahaya yang dipaksa melacurkan diri. Menurut sebahagian besar para ulama tafsir, ayat ini turun adalah berkaitan dengan ‘Abdullah bin Ubay bin Salul. Dia memiliki ramai hamba sahaya yang dipaksanya untuk melacur kerana mengharapkan upah hasil pelacuran dan anak daripada hamba sahayanya. Anak-anak hasil pelacuran itu pula diharapkan akan menjadi hambanya juga.
Ayat 34
وَلَقَدْ أَنزَلْنَآ إِلَيْكُمْ ءَايَـٰتٍ مُّبَيِّنَـٰتٍ وَمَثَلًا مِّنَ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penerangan dan contoh-contoh daripada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
Allah Ta’ala telah menurunkan Al-Quran yang mengandungi kisah-kisah umat-umat terdahulu sebagai peringatan dan pengajaran kepada umat kemudian. Firman-Nya:
“Dan Kami jadikan mereka sebagai pengajaran dan contoh bagi orang-orang kemudian.”
Az-Zukhruf 43:56
Walau bagaimanapun peringatan dan pengajaran ini hanya memberi kesan kepada orang-orang yang bertakwa iaitu mereka yang takut kepada Allah.