Surah 24: An-Nur (31)

Hukum Hijab dan Etika Berjalan bagi Seorang Wanita

Surah 24: An-Nur (31)


Ayat 31

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ ءَابَآئِهِنَّ أَوْ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَآئِهِنَّ أَوْ أَبْنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوْ نِسَآئِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيْرِ أُو۟لِى ٱلْإِرْبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفْلِ ٱلَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوْرَٰتِ ٱلنِّسَآءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat)nya, kecuali yang (biasa) terlihat daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung (selendang) hingga ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (aurat)nya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.

Ini adalah perintah Allah Swt kepada kaum wanita mukmin, sebagai ketetapan-Nya supaya terpelihara kehormatan suami-suami mereka yang terdiri daripada hamba-hamba-Nya yang beriman. Selain itu, perintah ini juga adalah untuk membezakan ciri-ciri wanita-wanita yang beriman dengan ciri-ciri wanita jahiliah.

Allah Ta’ala memerintahkan para wanita agar menundukkan pandangan mereka daripada hal-hal yang diharamkan oleh-Nya seperti memandang lelaki yang bukan mahram.

Walau bagaimanapun sebahagian ulama menetapkan kaum wanita dibolehkan melihat lelaki sekiranya tidak menimbulkan syahwat. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, bahawa Rasullullah saw melihat orang-orang Habsyi bermain permainan tombak di dalam masjid pada hari raya ‘Id. Sementara ‘Aisyah ra, Ummul Mukminin juga melihat mereka dari arah belakang baginda dan baginda melindunginya daripada pandangan mereka. ‘Aisyah ra pun melihat mereka bermain sehingga beliau berasa puas dan kembali ke rumah.

Allah Ta’ala juga memerintahkan kaum wanita mukmin agar menjaga kemaluan mereka daripada melakukan perbuatan zina dan tidak menampakkan satu pun aurat kepada lelaki yang bukan mahram, kecuali yang zahir sahaja. Ibnu Mas’ud mengatakan yang zahir itu ialah kain tudung dan pakaian luar yang dipakai oleh seseorang wanita kerana hal ini tidak dapat dielakkan.

Mereka juga diperintahkan melabuhkan kain tudung sehingga menutupi bahagian dada mereka seperti firman-Nya:

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Al-Ahzab 33:59

Allah menyatakan hanya golongan yang tertentu sahaja yang dibolehkan wanita-wanita mukmin mempamerkan atau dilihat aurat mereka. Mereka adalah mahram-mahram kepada wanita itu iaitu:

▪️  Suami

▪️  Bapa

▪️  Saudara-saudara lelaki mereka sama ada sebapa atau seibu dan seterusnya ke atas

▪️  Bapa mertua dan seterusnya ke atas

▪️  Anak dan seterusnya ke bawah

▪️  Anak-anak suami dan seterusnya ke bawah

▪️  Anak saudara lelaki daripada abangnya dan seterusnya ke bawah, baik daripada sebapa atau seibu

▪️  Anak lelaki daripada saudara perempuan kandung daripada saudara perempuan sebapa dan seibu

▪️  Wanita muslimah daripada wanita-wanita yang beriman

▪️  Budak lelaki yang dimilikinya secara penuh (hamba sahaya)

Isteri dibolehkan membuka auratnya di hadapan suaminya. Ini kerana semua perilaku isteri memang untuk berkhidmat kepada suami. Oleh itu, isteri boleh melakukan apa sahaja di hadapan suaminya dengan syarat tidak ada orang lain yang melihatnya.

Allah Ta’ala juga memberi keringanan kepada wanita-wanita mukmin menampakkan aurat mereka kepada lelaki tua yang sudah tiada nafsu. Begitu juga kepada kanak-kanak lelaki yang belum baligh kerana mereka belum mengetahui sama sekali tentang aurat wanita.

Allah Ta’ala melarang wanita-wanita mukmin yang memakai gelang kaki menghentakkan kakinya ke tanah agar didengari bunyi gemercingnya sama seperti yang dilakukan oleh wanita jahiliah. Mereka melakukannya supaya para lelaki mengetahui bahawa dia memiliki perhiasan di kakinya walaupun tidak bermaksud memperlihatkan auratnya. Daripada ayat inilah menjadi hujjah larangan wanita memakai wangi-wangian ketika hendak keluar rumah sehingga dapat dihidu oleh lelaki bukan mahram. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Isa At-Tirmizi daripada Abu Musa Al-Asy’ari, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Setiap mata (yang melihat wanita dengan syahwat yang tidak halal baginya), bererti mata tersebut melakukan perzinaan. Dan wanita, bila dia memakai wangi-wangian, kemudian dia melintasi suatu kumpulan, maka dia telah melakukan ini dan itu. (At-Tirmizi berkata) iaitu telah menyebabkan mata lelaki berzina kerana bau wangi-wangiannya itu menyebabkan lelaki tertarik memandangnya.”

(HR. At-Tirmizi)

Dalam ayat ini juga terdapat larangan bagi wanita mukmin yang berjalan di tengah-tengah jalan kerana terdapat unsur tabarruj (menampakkan aurat dan kecantikan tubuh badan). Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Abu Usaid Al-Ansari, ketika Rasulullah saw berada di luar masjid dan melihat sekumpulan lelaki dan wanita di jalan lalu baginda bersabda:

“Berjalanlah ke belakang, kerana kamu tidak boleh berjalan di tengah jalan. Kamu harus berjalan di tepi jalan.”

(HR. Abu Daud)

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan wanita-wanita mukmin agar bertaubat dengan meninggalkan perbuatan yang menyebabkan kemurkaan-Nya dan mengerjakan amalan yang telah disyariatkan-Nya. Mereka juga hendaklah memiliki sifat-sifat yang mulia dan berakhlak yang terpuji agar mereka beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.