Larangan Mengikuti Langkah-langkah Syaitan
Surah 24: An-Nur (21)
Ayat 21
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأْمُرُ بِٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۚ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih (daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar menjauhi ajakan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata, sentiasa menyuruh manusia mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.
‘Ali bin Abi Talhah mengatakan maksud “langkah-langkah syaitan” ialah perbuatan syaitan. ‘Ikrimah mentafsirkannya sebagai pujuk rayu syaitan dan Qatadah pula menyatakan maksudnya ialah semua perbuatan maksiat. Manakala Abu Mijlaz mengatakan bernazar melakukan maksiat tergolong dalam langkah-langkah syaitan.
Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang beriman agar berhati-hati terhadap bisikan syaitan dan selalu meminta pertolongan serta perlindungan kepada-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dan hanya Dia yang dapat menyelamatkan manusia daripada syaitan.
Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan tentang kurniaan dan rahmat-Nya kepada orang-orang mukmin iaitu sekiranya Dia tidak membuka pintu taubat kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga tidak membersihkan hati manusia daripada syirik serta perbuatan dosa yang lain nescaya tidak ada seorang pun yang memiliki hati yang bersih.