Surah 24: An-Nur (6 – 10)

Hukum Li’an (Sumpahan Laknat ketika Berlaku Tuduhan Zina oleh Suami kepada Isterinya)

Surah 24: An-Nur (6 – 10)


Ayat 6

وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَٰجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَآءُ إِلَّآ أَنفُسُهُمْ فَشَهَـٰدَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَـٰدَٰتٍ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.

Ayat 7

وَٱلْخَـٰمِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Dan (sumpah) yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.

Ayat ini memberikan jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri dalam permasalahan yang mereka hadapi. Apabila seorang suami menuduh isterinya berzina sedangkan dia tidak dapat menghadirkan saksi terhadap tuduhannya itu, dia hendaklah membawa isteri yang dituduh itu kepada pihak pengadilan syariah dan menjelaskan pertuduhan tersebut.

Kemudian hakim akan memerintahkan suami itu melakukan mula’anah iaitu bersumpah sebanyak empat kali dengan nama Allah sebagai ganti empat orang saksi bahawa dia adalah orang yang benar dan jujur terhadap tuduhan zina yang dibuat kepada isterinya itu. Sumpah yang kelima pula adalah laknat Allah kepadanya sekiranya dia berbohong. Laknat ertinya terusir daripada rahmat dan belas kasihan Allah Ta’ala.

Setelah suami selesai bersumpah, bererti isteri tersebut sudah diceraikan dan kedua-duanya haram bercampur buat selama-lamanya. Bekas suami wajib menyerahkan baki mas kahwin jika masih berhutang dan bekas isteri pula dikenakan hukuman zina iaitu rejam hingga mati.

Ayat 8

وَيَدْرَؤُا۟ عَنْهَا ٱلْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَـٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah, bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta.

Ayat 9

وَٱلْخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيْهَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Dan (sumpah) yang kelima bahawa murka Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.

Walaubagaimanapun, isteri itu dikecualikan daripada hukum rejam jika dia melakukan mula’anah iaitu bersumpah sebanyak empat kali dengan nama Allah bahawa tuduhan zina yang dibuat kepadanya itu adalah dusta. Sumpah yang kelima pula adalah murka Allah kepadanya sekiranya dia yang berbohong.

Allah Ta’ala menggunakan perkataan murka pada ayat ke sembilan sedangkan pada ayat ke tujuh digunakan laknat kerana biasanya seorang suami tidak akan mengaibkan isterinya dengan tuduhan berzina dan sebagai isteri, seharusnya dia mengetahui tuduhan itu benar atau palsu. Oleh itu, sumpahan yang kelima daripada isteri membuktikan dia sanggup ditimpa kemurkaan Allah jika dia berdusta.

Ayat 10

وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ

Dan seandainya tidak ada kurniaan Allah dan rahmat-Nya atas dirimu dan (seandainya) Allah bukan Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, (nescaya kamu akan mengalami banyak kesulitan).

Hukuman li’an ini menunjukkan terdapat kasih sayang dan kelembutan Allah Swt kepada para hamba-Nya dalam mencari penyelesaian yang terbaik dan keluar daripada permasalahan yang dihadapi dalam rumah tangga.

Allah Maha Penerima Taubat hamba-Nya yang bertaubat setelah melakukan sumpah yang berat. Dia juga Maha Bijaksana menentukan segala perintah dan larangan dalam syariat-Nya.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang sebab turunnya ayat hukum li’an ini. Kisah ini dihadapi oleh seorang sahabat bernama Hilal bin ‘Umayyah. Dia merupakan salah seorang yang telah diampuni Allah kerana tidak menyertai Perang Tabuk. Suatu hari Hilal datang kepada Rasulullah saw mengadu bahawa isterinya berzina dengan lelaki lain. Sebelum baginda sempat memberi hukuman sebatan kerana menuduh berzina tanpa saksi, Allah Swt menurunkan ayat-ayat di atas. Setelah proses mula’anah selesai dilakukan oleh Hilal dan isterinya, maka baginda menjatuhkan hukuman talak dan menetapkan bahawa anak yang lahir tidak dinasabkan kepada Hilal. Baginda juga menetapkan sesiapa menuduh wanita itu berzina dan menuduh anak dalam kandungan perempuan itu sebagai hasil zina, dia akan dikenakan hukuman sebatan. Hilal juga tidak diwajibkan menyediakan rumah dan makanan (dalam tempoh ‘iddah) kerana perempuan itu bukan ditalak dan bukan kematian suami. Rasulullah saw kemudiannya bersabda:

“Jika dia melahirkan bayi berkulit putih kemerah-merahan dan kecil kedua-dua betisnya, maka dia anak Hilal. Namun, jika bayi itu berkulit hitam, berambut kerinting, rupa elok, betisnya besar dan kedua pinggulnya panjang maka bayi itu anak kepada lelaki lain tersebut.”

Setelah lahir, didapati anak itu berkulit hitam, berambut kerinting, rupa elok, betisnya besar dan kedua pinggulnya panjang. Maka baginda bersabda:

“Seandainya tidak ada sumpah, nescaya ada urusan antara aku dengan wanita itu.”

Maksud baginda ialah sekiranya tidak ada hukum mula’anah, sudah pasti baginda akan menegakkan hukum rejam sehingga mati terhadap wanita tersebut.

(HR. Ahmad)