Surah 23: Al-Mu’minun (117 – 118)

Orang yang Melakukan Syirik Tidak Akan Mendapat Kebahagiaan di Dunia dan di Akhirat

Surah 23: Al-Mu’minun (117 – 118)


Ayat 117

وَمَن يَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ لَا بُرْهَـٰنَ لَهُۥ بِهِۦ فَإِنَّمَا حِسَابُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Dan sesiapa menyembah ilah yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya (adalah) di sisi Rabbnya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan beruntung.

Allah Swt mencela dan mengancam orang-orang yang menyembah-Nya dengan disertakan pula menyembah ilah yang lain. Padahal tidak ada dalil atau hujjah yang menunjukkan ilah yang mereka sekutukan dengan-Nya itu adalah ilah yang layak disembah. Sesuatu yang tidak memiliki dalil atau hujjah maka ia adalah batil dan tertolak.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang akan menghitung dan memberi balasan atas segala kesesatan mereka. Pada Hari Kiamat kelak mereka ini betul-betul akan mengalami kerugian atas kekafiran mereka dengan dijauhkan daripada syurga dan dimasukkan ke dalam neraka.

Pada pembukaan surah Al-Mu’minun, Allah Ta’ala menyampaikan berita gembira tentang kebahagiaan dan keuntungan orang-orang mukmin. Sedangkan dalam ayat ini pula yang menjadi bahagian penutup surah ini, Dia menerangkan tentang kerugian, kegagalan dan kesengsaraan orang-orang yang kufur kepada-Nya.

Ayat 118

وَقُل رَّبِّ ٱغْفِرْ وَٱرْحَمْ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Dan katakanlah, “Wahai Rabbku, berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat yang paling baik.”

Allah Swt memberi petunjuk kepada Rasullullah saw dan orang-orang yang beriman agar memohon dengan doa ini.

Doa ini mengandungi perkataan ٱغْفِرْ yang bermaksud memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia menghapuskan dosa dan menutup kesalahan daripada diketahui oleh orang lain. Manakala perkataan وَٱرْحَمْ pula bermaksud memohon kepada-Nya agar diberikan bimbingan dan taufik oleh-Nya dalam semua ucapan dan perbuatan.

Daripada Abu Bakar As-Siddiq ra, dia berkata, “Ya Rasulullah, ajarilah aku sebuah doa yang aku baca dalam solatku.” Rasulullah saw pun menjawab, bacalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيم

“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan sesungguhnya tiada yang mengampuni melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan pengampunan yang sebenar-benarnya di sisi-Mu, dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Hibban)