Penjelasan tentang Masa di Dunia Berbanding dengan Masa di Akhirat
Surah 23: Al-Mu’minun (112 – 114)
Ayat 112
قَـٰلَ كَمْ لَبِثْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ عَدَدَ سِنِينَ
Allah bertanya, “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?”
Pertanyaan Allah Ta’ala ini ditujukan kepada orang-orang kafir yang mensyirikkan-Nya dan mengingkari Hari Kebangkitan pada waktu kiamat nanti, sedangkan Dia Maha Mengetahui berapa lama mereka tinggal di dunia dahulu.
Ayat 113
قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ فَسْـَٔلِ ٱلْعَآدِّينَ
Mereka menjawab, “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.”
Sebahagian pendapat mengatakan oleh sebab keadaan Hari Kiamat itu tersangat dahsyat, mereka lupa berapa lama mereka berada di dunia dan di alam kubur. Mereka merasakan sekejap sahaja jika dibandingkan dengan hari-hari mereka berada pada ketika itu. Firman Allah:
“Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa, mereka tidak berdiam (dalam kubur) melainkan sesaat (sahaja)…………..”
Ar-Rum 30:55
Ayat 114
قَـٰلَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا ۖ لَّوْ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Allah berfirman, “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.”
Allah Ta’ala menyatakan bahawa jikalau diukur dengan ukuran waktu dunia, lamanya kehidupan mereka di dunia dan mati hinggalah ke waktu dibangkitkan hanyalah sebentar sahaja.
Seandainya mereka bersabar mengerjakan perintah Allah selama berada di dunia yang waktunya sangat pendek itu, tentulah mereka memperoleh keuntungan yang sama sebagaimana kekasih-kekasih-Nya yang bertakwa iaitu dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.