Surah 23: Al-Mu’minun (101 – 104)

Tiupan Sangkakala dan Timbangan Amal Perbuatan

Surah 23: Al-Mu’minun (101 – 104)


Ayat 101

فَإِذَا نُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَلَآ أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَآءَلُونَ

Apabila Sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab diantara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Allah Swt menjelaskan bahawa apabila Sangkakala ditiup sebagai tanda kebangkitan semua makhluk, manusia pun dibangkitkan daripada kubur mereka. Pada hari itu hubungan nasab tidak lagi bererti iaitu mereka tidak dapat saling menolong meskipun ada pertalian keluarga sesama mereka. Orang tua tidak lagi dapat memberikan pertolongan dan perlindungan kepada anak-anaknya sepertimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya, dan daripada ibu dan bapanya, dan daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya.”

‘Abasa 80:34-37

Seorang teman karib pula tidak akan bertanyakan temannya padahal mereka saling melihat. Meskipun di dunia dahulu mereka saling sayang menyayangi, namun saat mereka melihat temannya sedang menanggung dosa, mereka sedikit pun tidak mengambil tahu. Mereka enggan memikul dosa temannya walaupun hanya seberat sayap nyamuk. Mereka hanya memikirkan keselamatan diri sendiri. Firman Allah:

“Dan tidak ada seorang teman karib pun menanyakan temannya, sedangkan mereka saling melihat……….”

Al-Ma’arij 70:10-11

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata, “Bila Hari Kiamat datang, Allah mengumpulkan umat manusia daripada awal hingga akhir. Kemudian terdengar suara penyeru. ‘Ingatlah, sesiapa pernah dizalimi, datanglah ke sini dan ambillah haknya.’ Maka orang yang pernah memiliki hak yang tidak dipenuhi orang tua, anak atau isteri berasa gembira, meskipun hak itu ukurannya kecil. Kebenaran hal ini ada dalam firman Allah, “Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.” (Al-Mu’minun 23:101)

Ayat 102

فَمَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Sesiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya maka mereka itulah orang-orang yang mendapat keuntungan.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, sesiapa yang kebaikannya melebihi keburukan, walaupun hanya dengan satu kebaikan, mereka adalah orang-orang yang berbahagia, selamat dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Ayat 103

وَمَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فِى جَهَنَّمَ خَـٰلِدُونَ

Dan sesiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam Neraka Jahannam.

Allah Ta’ala menyatakan, orang-orang yang amalan buruknya melebihi amalan baiknya, mereka adalah termasuk golongan yang rugi. Mereka jauh daripada syurga dan akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam. Bagi orang-orang kafir, walaupun mereka telah berbuat kebaikan tetapi disebabkan mereka syirik kepada-Nya, segala kebaikan mereka itu tidak ada nilainya di sisi-Nya. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menetap di dalamnya buat selama-lamanya.

Ayat 104

تَلْفَحُ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ وَهُمْ فِيهَا كَـٰلِحُونَ

Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka didalam neraka itu dalam keadaan cacat.

Mereka benar-benar terbakar oleh api neraka. Api neraka mengelilingi mereka, sehingga membakar anggota tubuh yang paling mulia, iaitu menjadikan muka mereka cacat dan amat menakutkan. Firman-firman Allah:

“…..dan muka mereka ditutup oleh api neraka…..”

Ibrahim 14:50

“Seandainya orang-orang kafir itu mengetahui, ketika mereka itu tidak mampu mengelakkan api neraka daripada muka mereka dan (tidak pula) daripada belakang mereka, sedang mereka (tidak pula) mendapat pertolongan, (tentulah mereka tidak meminta disegerakan).”

Al-Anbiya’ 21:39