Surah 23: Al-Mu’minun (91 – 92)

Tiada Sekutu bagi Allah Swt

Surah 23: Al-Mu’minun (91 – 92)


Ayat 91

مَا ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ مِن وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُۥ مِنْ إِلَـٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلَـٰهٍ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلَا بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya, kalau ada ilah berserta-Nya, masing-masing ilah itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada ilah-ilah itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.

Allah Ta’ala menafikan dan mensucikan Zat-Nya daripada memiliki anak dan sekutu. Sekali-kali Dia tidak mengadakan anak bagi-Nya seperti yang dinyatakan oleh sebahagian daripada orang-orang musyrik ketika mereka mengatakan bahawa malaikat adalah anak perempuan Allah. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ungkapkan.

Begitu juga sekali-kali tidak ada ilah lain yang bersekutu dengan-Nya dalam peribadahan dan penciptaan serta pengurusan makhluk-makhluk-Nya.

Sekiranya jumlah ilah itu berbilang-bilang bukan satu, nescaya tiap-tiap ilah itu menciptakan makhluk masing-masing bersendirian dan sudah pasti makhluk ciptaan ilah-ilah itu akan berbeza-beza mengikut penciptanya. Setiap ilah akan bersama dengan hasil ciptaannya dan sebahagian yang lain akan berusaha untuk mengalahkan satu sama lain sehingga alam ini dan semua kehidupan di dalamnya menjadi huru-hara.

Sedangkan apa yang kita dapat saksikan sekarang ialah alam ini saling berfungsi dengan begitu teratur seperti firman-Nya:

“……Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan (Rabb) Yang Maha Pengasih sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat (tidak seimbang?)”

Al-Mulk 67:3

Ayat 92

عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Yang mengetahui semua yang ghaib dan semua yang nampak, maka Maha Tinggi-lah Dia daripada apa yang mereka persekutukan.

Allah Ta’ala Maha Mengetahui segala perkara yang tidak terlihat oleh makhluk-Nya. Maha Suci Allah daripada tuduhan orang-orang zalim yang ingkar terhadap-Nya.