Surah 23: Al-Mu’minun (74 – 77)

Sifat Orang Kafir

Surah 23: Al-Mu’minun (74 – 77)


Ayat 74

وَإِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ عَنِ ٱلصِّرَٰطِ لَنَـٰكِبُونَ

Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada Negeri Akhirat benar-benar menyimpang dari jalan (yang lurus).

Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik ini telah menyimpang jauh daripada agama Islam. Ini kerana hati mereka tidak diisi dengan keimanan kepada Hari Akhirat dan tidak yakin akan bertemu dengan Allah. Oleh itu mereka tidak akan berada di jalan yang lurus.

Ayat 75

وَلَوْ رَحِمْنَـٰهُمْ وَكَشَفْنَا مَا بِهِم مِّن ضُرٍّۢ لَّلَجُّوا۟ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ

Dan seandainya Kami berikan belas kasihan kepada mereka dan Kami hilangkan bahaya yang mereka alami, nescaya mereka akan terus-menerus terumbang-ambing dalam sikap mereka yang keterlaluan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya dengan sifat belas kasihan daripada-Nya, Dia menghilangkan kemudaratan yang telah menimpa orang-orang musyrik seperti kemarau, kelaparan, penyakit dan memberikan pemahaman tentang Al-Quran, mereka tetap tidak mahu mengikuti ajaran Al-Quran dan tetap tidak mahu bersyukur kepada-Nya malahan terus menerus berada dalam kesesatan dan kezaliman. Firman-Nya:

“Jikalau Allah mengetahui kebaikan pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedangkan mereka memalingkan diri (daripada apa yang mereka dengar itu).”

Al-Anfal 8:23

Ayat 76

وَلَقَدْ أَخَذْنَـٰهُم بِٱلْعَذَابِ فَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ لِرَبِّهِمْ وَمَا يَتَضَرَّعُونَ

Dan sesungguhnya Kami pernah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia pernah menimpakan ujian kepada orang-orang musyrik dalam pelbagai bentuk musibah dan kesulitan hidup agar dijadikan pengajaran. Namun segala malapetaka dan bencana tersebut tidak dapat menyedarkan mereka daripada kekufuran dan penentangan yang selama ini mereka lakukan. Malah mereka masih sahaja tidak tunduk kepada Rabb mereka dan meneruskan kesesatan serta berpaling daripada kebenaran.

Mereka juga tidak mahu berdoa memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala kerana sifat sombong yang ada dalam diri mereka, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras…..”

Al-An’am 6:43

Ayat 77

حَتَّىٰٓ إِذَا فَتَحْنَا عَلَيْهِم بَابًا ذَا عَذَابٍ شَدِيدٍ إِذَا هُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ

Hingga apabila Kami bukakan untuk mereka suatu pintu yang ada azab yang amat sangat (pada waktu itulah) tiba-tiba mereka menjadi putus asa.

Apabila telah datang kepada mereka ketetapan Allah Ta’ala dan Hari Kiamat secara tiba-tiba, mereka pun merasakan pedihnya azab-Nya dengan perasaan yang tidak pernah mereka sangka sebelumnya. Pada saat ini mereka berputus asa daripada segala bentuk kebaikan dan kesenangan.