Para Nabi Tidak Pernah Meminta Upah dan Mereka Selalu Menyeru ke Jalan yang Lurus
Surah 23: Al-Mu’minun (72 – 73)
Ayat 72
أَمْ تَسْـَٔلُهُمْ خَرْجًا فَخَرَاجُ رَبِّكَ خَيْرٌ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Atau kamu meminta upah daripada mereka? Maka upah daripada Rabbmu adalah lebih baik, dan Dia adalah Pemberi Rezeki yang paling baik.
Ayat 73
وَإِنَّكَ لَتَدْعُوهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan sesungguhnya kamu benar-benar menyeru mereka ke jalan yang lurus.
Kemudian Allah Ta’ala menegaskan tentang keikhlasan dan ketulusan Rasulullah saw dalam berdakwah.
Rasulullah saw dan para Rasul tidak pernah meminta hadiah atau apa sahaja sebagai upah kepada mereka atas usaha dakwah mengajak kepada petunjuk Allah. Walaupun begitu mereka pasti akan mendapat pahala yang besar di sisi-Nya kerana mereka benar-benar menyeru ke jalan yang lurus sebagaimana firman-Nya:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku, dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.’”
Sad 38:86
Sesungguhnya Rasulullah saw benar-benar telah membawa risalah Islam iaitu agama yang menuju kepada jalan kebahagiaan dan kesempurnaan di dunia dan akhirat.