Surah 23: Al-Mu’minun (45 – 49)

Kisah Nabi Musa as, Nabi Harun as dan Firaun

Surah 23: Al-Mu’minun (45 – 49)


Ayat 45

ثُمَّ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ وَأَخَاهُ هَـٰرُونَ بِـَٔايَـٰتِنَا وَسُلْطَـٰنٍۢ مُّبِينٍ

Kemudian Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa tanda-tanda (kebesaran) Kami, dan bukti yang nyata.

Ayat 46

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوْمًا عَالِينَ

Kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutus Rasul-rasul-Nya iaitu Nabi Musa as dan Nabi Harun as dengan membawa mukjizat-mukjizat dan hujjah-hujjah yang jelas sebagai tanda kekuasaan-Nya agar Firaun dan pengikut-pengikutnya mentauhidkan-Nya. Firman-firman-Nya:

“Pergilah kamu kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Firaun), ‘Adakah keinginan bagimu untuk membersihkan diri (daripada kesesatan). Dan kamu akan kupimpin ke jalan Rabbmu agar supaya kamu takut kepada-Nya?’”

An-Nazi’at 79:17-19

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Al-Qasas 28:4

Walau bagaimanapun, Firaun dan pengikut-pengikutnya tetap bersikap angkuh, sombong dan enggan menerima dakwah baginda berdua. Ini kerana mereka adalah kaum yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam urusan keduniaan atau dalam hal jumlah dan kekuatan.

Ayat 47

فَقَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ لِبَشَرَيْنِ مِثْلِنَا وَقَوْمُهُمَا لَنَا عَـٰبِدُونَ

Dan mereka berkata, “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”

Ayat 48

فَكَذَّبُوهُمَا فَكَانُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْلَكِينَ

Maka (tetaplah) mereka mendustakan kedua-duanya, sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.

Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia telah mengutus Rasul-Nya, Nabi Musa as dan juga saudaranya, Nabi Harun as kepada Firaun dan para pemuka kaumnya dengan membawa tanda-tanda kenabiannya, hujjah-hujjah yang kuat, dan bukti-bukti yang pasti yang tidak dapat dibantah.

Namun Firaun dan para pengikutnya (berlaku) sombong. Mereka menolak untuk mengikuti dan tunduk kepada ajaran yang dibawa oleh kedua-duanya, kerana mereka berdua hanyalah manusia biasa. Alasan yang sama juga digunakan oleh umat-umat terdahulu yang telah mengingkari para Rasul daripada kalangan manusia. Jadi hati mereka sama dengan kaum-kaum terdahulu. Oleh itu, Allah Ta’ala membinasakan Firaun dan para pengikutnya serta Dia menenggelamkan mereka semua dalam masa yang sama.

Ayat 49

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al-Kitab (Taurat) kepada Musa, agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.

Allah Ta’ala menyatakan setelah Dia menghancurkan Firaun berserta kaumnya dan menyelamatkan Bani Israil yang mengikuti Nabi Musa as dan Nabi Harun as, Dia memberikan Nabi Musa as kitab Taurat supaya Bani Israil diberikan hidayah.

Kitab ini mengandungi petunjuk buat mereka dan merupakan nikmat daripada Allah Ta’ala serta tanda-tanda kebesaran-Nya kepada makhluk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.”

Al-Qasas 28:43