Surah 23: Al-Mu’minun (23 – 30)

Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya

Surah 23: Al-Mu’minun (23 – 30)


Ayat 23

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۖ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, “Wahai kaumku, beribadahlah kepada Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengutus Nabi Nuh as agar menyeru kaumnya beribadah hanya kepada-Nya dan tidak menyembah selain-Nya.

Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Nuh as memberi peringatan kepada kaumnya tentang kemurkaan dan azab-Nya bagi mereka yang menyekutukan-Nya, menentang perintah-Nya dan mendustakan para Rasul-Nya.

Ayat 24

فَقَالَ ٱلْمَلَؤُا۟ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ مَا هَـٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً مَّا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِىٓ ءَابَآئِنَا ٱلْأَوَّلِينَ

Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab, “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

Para pembesar orang-orang kafir di kalangan kaum Nabi Nuh as mengatakan bahawa baginda hanyalah manusia biasa seperti kalian, lalu bagaimana Allah Ta’ala telah memberikan wahyu kepadanya sedangkan tidak kepada mereka. Mereka mengatakan lagi bahawa baginda hanya ingin menguasai dan memperdaya mereka, lalu mengaku sebagai utusan Allah Ta’ala, dengan itu dapatlah baginda menyeru mereka supaya tidak menyembah selain-Nya, padahal baginda adalah seorang manusia biasa, sama seperti mereka.

Mereka mendakwa sekiranya Allah ingin mengutus seorang Nabi, tentulah Dia mengutus malaikat dari sisi-Nya, bukan manusia. Mereka mengatakan bahawa mereka belum pernah mendengar seorang manusia pun daripada kalangan nenek moyang terdahulu yang menyeru mereka seperti ini.

Ayat 25

إِنْ هُوَ إِلَّا رَجُلٌۢ بِهِۦ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصُوا۟ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٍ

Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu.”

Seterusnya, kaum Nabi Nuh as mengatakan bahawa baginda adalah seorang yang terkena penyakit gila. Jika bukan demikian, tentu baginda tidak akan menghina tuhan-tuhan mereka.

Sungguh tercela tanggapan orang-orang musyrik ini kerana menyangka kecelakaan akan menimpa baginda sedangkan merekalah yang akan mendapat azab dan kecelakaan.

Ayat 26

قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى بِمَا كَذَّبُونِ

Nuh berdoa, “Wahai Rabbku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku.”

Nabi Nuh as berdakwah selama 950 tahun namun hanya sedikit sahaja yang beriman dengannya, manakala yang lain tetap ingkar dan menolak seruannya. Lalu baginda berdoa kepada Allah Ta’ala agar diberikan pertolongan bagi menghadapi kaumnya yang telah mendustakannya sebagaimana dalam ayat yang lain:

“Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, ‘Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah (aku).’”

Al-Qamar 54:10

Ayat 27

فَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ أَنِ ٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَآءَ أَمْرُنَا وَفَارَ ٱلتَّنُّورُ ۙ فَٱسْلُكْ فِيهَا مِن كُلٍّۢ زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ ٱلْقَوْلُ مِنْهُمْ ۖ وَلَا تُخَـٰطِبْنِى فِى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ ۖ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

Lalu Kami wahyukan kepadanya, “Buatlah bahtera di bawah pengawasan dan petunjuk Kami, maka apabila perintah Kami telah datang dan tannur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang daripada tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di antara mereka. Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim, kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.

Allah Ta’ala telah mengabulkan doa Nabi Nuh as dan Dia mewahyukan kepada baginda agar membina sebuah bahtera iaitu sebuah kapal yang besar dengan pembuatan yang kuat dan kukuh dengan bimbingan-Nya.

Allah Ta’ala memberitahu baginda, tanda-tanda hampirnya kebinasaan kepada kaumnya ialah apabila tannur iaitu alat memasak roti yang diperbuat daripada tanah liat dan diletakkan di dalam tanah telah memancarkan air. Ketika itu baginda hendaklah bersegera membawa masuk daripada jenis manusia, haiwan dan sebagainya berpasangan dan juga keluarganya ke dalam kapalnya kecuali sesiapa yang telah ditetapkan-Nya untuk dibinasakan.

Allah Ta’ala juga melarang Nabi Nuh as mengajak-Nya berbicara tentang orang-orang yang zalim yang telah ditakdirkan oleh-Nya akan binasa. Mereka adalah daripada kalangan keluarganya yang tidak beriman kepada Rabb Yang Esa, seperti anak dan isterinya. Sesungguhnya hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Ayat 28

فَإِذَا ٱسْتَوَيْتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى ٱلْفُلْكِ فَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى نَجَّىٰنَا مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.’”

Allah Ta’ala mengajar Nabi Nuh as dan orang-orang beriman supaya memuji-Nya apabila telah menaiki kapal kerana Dia telah menyelamatkan mereka daripada kaum yang zalim. Hal ini sebagai mengingati nikmat-nikmat-Nya sebagaimana firman-Nya:

“Dan yang menciptakan semua berpasang-pasangan dan menjadikan kapal untukmu dan binatang ternak yang kamu tunggangi. Agar kamu duduk di atas belakangnya, kemudian kamu ingat nikmat Rabbmu apabila kamu telah duduk di atasnya dan agar kamu mengucapkan, ‘Maha Suci (Allah) yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Rabb kami.’”

Az-Zukhruf 43:12-14

Nabi Nuh as melaksanakan perintah ini, seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya:

“Dan Nuh berkata, ‘Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah pada waktu berlayar dan berlabuhnya……….’”

Hud 11:41

Ayat 29

وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِى مُنزَلًا مُّبَارَكًا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْمُنزِلِينَ

Dan berdoalah, “Wahai Rabbku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.”

Mereka juga diajar berdoa dengan merendahkan diri agar ditempatkan di bumi yang diberkati kerana Allah Swt adalah sebaik-baik Yang Memberi tempat buat mereka.

Ayat 30

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ وَإِن كُنَّا لَمُبْتَلِينَ

Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda (kebesaran Allah), dan sesungguhnya Kami menguji hamba-hamba (dengan diutusnya para Rasul).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa pada peristiwa kebinasaan kaum Nabi Nuh as ini, orang-orang beriman diselamatkan daripada azab-Nya dan orang-orang kafir dibinasakan-Nya. Hal itu benar-benar terdapat tanda-tanda dan bukti-bukti yang jelas menunjukkan kebenaran ajaran-Nya yang disampaikan oleh para Nabi. Oleh itu menjadi kewajipan kepada setiap manusia untuk mengimani dan mentauhidkan-Nya dalam beribadah.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia benar-benar menguji hamba-hamba-Nya dengan mengutus para Rasul sebelum azab ditimpakan kepada mereka. Ini supaya dapat dikenal pasti siapa di antara mereka yang benar-benar beriman. Dia akan memberikan balasan yang sesuai dengan amalan mereka. Ini menunjukkan keadilan dan kasih sayang-Nya.