Proses Penciptaan Manusia
Surah 23: Al-Mu’minun (12 – 16)
Ayat 12
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ مِّن طِينٍ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah.
Allah Swt menceritakan beberapa fasa kejadian manusia iaitu:
▪️ Permulaan kejadian manusia yang dibentuk adalah daripada saripati tanah.
Allah Ta’ala menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam as daripada tanah liat kering yang berasal daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak.”
Ar-Rum 30:20
Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abu Musa Al-Asy’ari ra, Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah menciptakan Adam daripada segenggam tanah yang diambil daripada seluruh bahagian-bahagian bumi, kemudian muncullah manusia dengan warna dan tabiat (masing-masing). Daripada merekalah muncul manusia yang berkulit merah, hitam, putih dan perpaduan antara warna-warna tersebut. Muncul pula manusia yang berperilaku jahat dan baik dan di antara keduanya.”
(HR. Ahmad)
Ayat 15
ثُمَّ جَعَلْنَـٰهُ نُطْفَةً فِى قَرَارٍۢ مَّكِينٍ
Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim).
▪️ Keturunan Nabi Adam as dijadikan daripada setitis air mani dan di simpan di tempat yang kukuh iaitu dalam rahim wanita.
Allah Ta’ala menyatakan dalam firman-firman-Nya:
“Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang hina (air mani).”
As-Sajdah 32:7-8
“Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani) kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim).”
Al-Mursalat 77:20-21
Air mani ialah air yang memancar keluar daripada tulang punggung lelaki dan daripada tulang dada wanita yang terletak antara tulang selangka dan tulang di bawah pusat.
Ayat 14
ثُمَّ خَلَقْنَا ٱلنُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا ٱلْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا ٱلْمُضْغَةَ عِظَـٰمًا فَكَسَوْنَا ٱلْعِظَـٰمَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَـٰهُ خَلْقًا ءَاخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحْسَنُ ٱلْخَـٰلِقِينَ
Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.
▪️ Kemudian daripada air mani Allah Ta’ala menjadikannya segumpal darah.
▪️ Kemudian menjadikannya segumpal daging yang tidak memiliki bentuk dan ukuran.
▪️ Seterusnya daripada segumpal daging tadi Allah Ta’ala membentuknya menjadi susuk tubuh yang mempunyai anggota-anggota badan seperti kepala, dua tangan dan dua kaki lengkap dengan tulang-tulang, otot-otot dan urat-uratnya.
▪️ Setelah itu ditiupkan ke dalam tubuhnya roh, sehingga dia dapat bergerak dan menjadi makhluk yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan dan pergerakan.
Allah Ta’ala menyebutkan kekuasaan dan kelembutan-Nya dalam proses penciptaan manusia bermula daripada air mani (nutfah) kepada bentuk-bentuk yang lain sehingga menjadi manusia yang sempurna. Oleh itu, Dia menyatakan bahawa Dia-lah Pencipta Yang Paling Baik.
Ayat 15
ثُمَّ إِنَّكُم بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ
Kemudian sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati.
▪️ Semua yang hidup akan mengalami kematian.
Allah Ta’ala menegaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menempuh saat kematian sebagaimana firman-firman-Nya:
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”
Az-Zumar 39:30
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh………….”
An-Nisa’ 4:78
Ayat 16
ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ تُبْعَثُونَ
Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) pada Hari Kiamat.
▪️ Kebangkitan pada Hari Kiamat.
Manusia akan dibangkitkan dari kubur setelah semua roh dikembalikan kepada jasad masing-masing. Lalu semua makhluk akan dihisab dan setiap orang yang beramal akan dibalas sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amalnya baik maka balasannya baik dan jika amalnya buruk, maka balasannya buruk pula. Firman Allah Swt:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu…..”
‘Ali Imran 3:185