Sifat Orang Mukmin
Surah 23: Al-Mu’minun (1 – 11)
Ayat 1
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman.
Ayat 2
ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ
(iaitu) Orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.
Dalam ayat 1-11 ini, Allah Swt menyampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin yang memiliki sifat-sifat dan kriteria yang menyebabkan mereka benar-benar termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung, iaitu:
▪️ Khusyuk dalam solat.
Ketika solat, orang-orang mukmin ini takut, tenang, fokus dan khusyuk hatinya. Firman Allah Swt:
“(Orang-orang khusyuk iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.”
Al-Baqarah 2:46
‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra berkata, maksud “Orang-orang yang khusyuk,” ialah orang-orang yang takut kepada Allah serta memiliki hati yang tenang ketika melaksanakan solat. Mujahid, Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Az-Zuhri juga berpendapat seperti ini.
‘Ali bin Abi Talib ra dan Ibrahim An-Nakha’i mengatakan maksud khusyuk ialah khusyuk hati.
Al-Hasan Al-Basri berpendapat, kekhusyukan orang-orang yang beriman terletak pada hatinya sehingga mereka dapat menjaga pandangan mata daripada perkara-perkara yang haram serta dapat bersikap rendah hati. Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang menumpukan perhatiannya kepada solat dan mengosongkannya daripada hal-hal keduniaan. Dalam keadaan seperti ini barulah seseorang itu dapat merasakan ketenangan dan kenikmatan dalam solatnya sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam An-Nasa’i, daripada Anas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Aku dijadikan mencintai wangi-wangian dan wanita (isteri). Dan dijadikan sejuk mata hatiku di dalam solat.”
(HR. Ahmad dan An-Nasa’i)
Ayat 3
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.
▪️ Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tidak mendatangkan manfaat.
Pentafsiran ayat ini sesuai dengan firman-Nya:
“………dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan diri mereka.”
Al-Furqan 25:72
Ayat 4
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ
Dan orang-orang yang menunaikan zakat.
▪️ Menunaikan zakat berupa harta benda yang bergerak seperti haiwan-haiwan ternakan dan harta benda yang diam seperti mata wang (emas dan perak), biji-bijian serta buah-buahan.
Apabila orang-orang mukmin menunaikan zakat, mereka menyucikan jiwa sebagaimana firman-firman Allah Swt:
“……………dan tunaikanlah haknya pada hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin)………
”Al-An’am 6:141
“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)…..”
At-Taubah 9:103
Ayat 5
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ
Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya.
Ayat 6
إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak terceIa.
Ayat 7
فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ
Sesiapa mencari yang selain itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
▪️ Memelihara kemaluan daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta’ala sehingga tidak terjerumus dengan pergaulan bebas, perzinaan, homoseksual dan sebagainya.
▪️ Orang-orang mukmin hanya dihalalkan mendekati isteri-isteri atau hamba sahaya perempuan yang mereka miliki yang dihalalkan-Nya bagi mereka.
Sesiapa yang melakukan perkara yang dihalalkan oleh Allah, tidak akan mendapat celaan dan dosa. Sebaliknya sesiapa yang melakukan selain yang telah dihalalkan-Nya, dia termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim kerana telah melampaui batas yang telah ditetapkan-Nya.
Ayat 8
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ
Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.
▪️ Apabila diberikan kepercayaan, mereka tidak akan mengkhianatinya, bahkan menunaikan amanah itu dan menyampaikannya kepada yang berhak. Apabila berjanji, mereka menepatinya.
Gambaran sifat-sifat orang-orang beriman berlawanan dengan sifat-sifat orang-orang munafik yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya:
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu, apabila dia berbicara, dia selalu berdusta. Apabila berjanji, dia selalu mungkiri dan apabila diberikan amanah, dia selalu mengkhianatinya.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 9
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Dan orang-orang yang memelihara solatnya.
▪️ Mengerjakan solat secara istiqamah dan sentiasa tepat pada waktunya.
Daripada Ibnu Mas’ud ra, ketika beliau bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling disukai Allah?” Baginda menjawab, “Mengerjakan solat pada waktunya.” Aku bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Aku bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Berjihad di jalan Allah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Allah Ta’ala memulakan penjelasan tentang sifat-sifat orang-orang yang beriman dalam surah ini dengan ibadah solat, kemudian mengakhirinya juga dengan penyebutan ibadah solat. Ini benar-benar menunjukkan keistimewaan ibadah solat, sebagaimana sabda Rasulullah saw:
“Beristiqamahlah (dalam segala sesuatu) dan kamu tidak akan sanggup melakukannya. (Jika kamu tidak sanggup melakukannya), ketahuilah bahawa perbuatan yang paling baik ialah solat. Dan tidak ada yang dapat memelihara wudhuk (pada setiap waktunya) kecuali orang yang beriman.”
(HR. Ibnu Majah)
Ayat 10
أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi.
Ayat 11
ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
(iaitu) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.
Orang-orang beriman yang memiliki sifat-sifat seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini memang layak mendapat kedudukan yang tertinggi di syurga. Ini sebagaimana firman-firman-Nya:
“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.”
Maryam 19:63
“Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kalian disebabkan amal-amal yang dahulu kalian kerjakan.”
Az-Zukhruf 43:72