Surah 22: Al-Hajj (75 – 76)

Allah Ta’ala Memilih Para Utusan-Nya daripada Kalangan Malaikat dan Manusia

Surah 22: Al-Hajj (75 – 76)


Ayat 75

ٱللَّهُ يَصْطَفِى مِنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ ٱلنَّاسِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌۢ بَصِيرٌ

Allah memilih para utusan-(Nya) daripada malaikat dan daripada manusia, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memilih malaikat tertentu untuk menyampaikan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Begitu juga, Dia memilih orang-orang tertentu daripada kalangan manusia untuk menyampaikan risalah-Nya.

Allah Maha Mendengar perkataan-perkataan hamba-hamba-Nya, melihat mereka dan mengetahui siapa yang berhak diutus oleh-Nya. Firman-Nya:

 “…………….Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan-Nya………..”

Al-An’am 6:124

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dia mendengar segala ucapan sama ada yang baik atau yang buruk. Dia juga melihat segala perbuatan hamba-hamba-Nya. Pengetahuan-Nya meliputi segala keadaan dan keperluan mereka.

Ayat 76

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan semua urusan.

Allah Ta’ala mengetahui apa yang dilakukan oleh para Rasul-Nya ketika mereka menjalankan tugas masing-masing, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:

“(Dia adalah Rabb) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di hadapan dan dibelakangnya. Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya Rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Rabbnya, sedangkan (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.”

Al-Jin 72:26-28

Allah Ta’ala sentiasa mengawasi dan menyaksikan apa yang disampaikan oleh para Rasul dan Dia sentiasa menjaga dan menolong mereka, sebagaimana firman-Nya:

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia…………….”

Al-Mai’dah 5:67