Setiap Umat Memiliki Syariat Tertentu
Surah 22: Al-Hajj (67 – 69)
Ayat 67
لِّكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ ۖ فَلَا يُنَـٰزِعُنَّكَ فِى ٱلْأَمْرِ ۚ وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ إِنَّكَ لَعَلَىٰ هُدًى مُّسْتَقِيمٍ
Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syariat tertentu yang (wajib) mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syariat) ini dan serulah kepada (agama) Rabbmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menetapkan syariat tertentu untuk diikuti kepada tiap-tiap umat dan bersesuaian dengan zaman syariat itu diturunkan. Oleh itu, orang-orang musyrik sekali-kali tidak boleh membantah syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw agar jangan terpengaruh dengan sikap mereka yang menentang syariat-Nya dan jangan pula hal itu memalingkannya daripada kebenaran yang disampaikan. Ini kerana baginda memang telah berada di atas jalan yang lurus.
Rasulullah saw juga diingatkan agar terus mengajak mereka mengesakan Allah Ta’ala dan beribadah kepada-Nya, sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalang engkau (Muhammad) daripada (menyampaikan) ayat-ayat Allah, sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu, dan serulah mereka kepada (jalan) Rabbmu, dan janganlah sekali-sekali engkau termasuk orang-orang yang musyrik.”
Al-Qasas 28:87
“Maka kerana itu serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah sebagaimana diperintahkan kepadamu (Muhammad) dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan katakanlah, ‘Aku beriman kepada kitab yang diturunkan Allah……’”
Asy-Syura 42:15
Ayat 68
وَإِن جَـٰدَلُوكَ فَقُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka membantah maka katakanlah, “Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan.”
Sekiranya kaum musyrik berpaling daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw dan memilih untuk berdebat secara batil, maka Allah Ta’ala menyuruh baginda meninggalkan perdebatan tersebut. Ini kerana mereka adalah golongan yang suka berbantah dan mereka juga termasuk orang-orang yang jahil lagi tidak mengetahui. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan jika mereka (tetap) mendustakan kamu (Muhammmad), maka katakanlah, ‘Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaan kamu. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu kerjakan.’”
Yunus 10:41
Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan dan Dia akan membalas segala perbuatan baik dan buruk makhluk-makhluk-Nya. Firman-Nya:
“………..Dia lebih mengetahui apa-apa yang kamu perkatakan tentang Al-Quran itu. Cukuplah Dia menjadi saksi antara aku dan kamu.”
Al-Ahqaf 46:8
Ayat 69
ٱللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Allah akan mengadili di antara kamu pada Hari Kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya.
Pada Hari Kiamat nanti, Allah Ta’ala akan mengadili apa yang mereka perselisihkan dalam perkara-perkara syariat semasa berada di dunia dahulu. Ketika itu orang-orang musyrik akan sedar mana yang hak dan mana yang batil tetapi semuanya sudah tidak berguna lagi.