Ganjaran Pahala kepada Orang yang Berhijrah kerana Allah Ta’ala
Surah 22: Al-Hajj (58 – 60)
Ayat 58
وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوٓا۟ أَوْ مَاتُوا۟ لَيَرْزُقَنَّهُمُ ٱللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka dibunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Allah Ta’ala menerangkan tentang orang-orang yang berhijrah atau berpindah meninggalkan tanah air dan berpisah daripada keluarga semata-mata untuk mentaati-Nya serta mencari keredhaan-Nya.
Di samping berhijrah mereka ini juga berjuang menentang musuh, kemudian terbunuh semasa pertempuran ataupun meninggal dunia semasa penghijrahan mereka. Mereka ini akan diberi balasan oleh Allah Ta’ala dengan sebesar-besar pahala. Firman-Nya:
“Sesiapa berhijrah pada jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
An-Nisa’ 4:100
Sesungguhnya Allah Ta’ala adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki dan apa sahaja yang dianugerahkan-Nya sebagai balasan kepada hamba-hamba-Nya adalah sebaik-baik rezeki. Firman-Nya:
“Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang gugur pada jalan Allah itu mati, sebenarnya mereka itu hidup di sisi Rabbnya dengan mendapat rezeki.”
Ali-‘Imran 3:169
Ayat 59
لَيُدْخِلَنَّهُم مُّدْخَلًا يَرْضَوْنَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَعَلِيمٌ حَلِيمٌ
Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka sukai. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
Allah Ta’ala pasti memasukkan orang-orang yang mati terbunuh pada jalan-Nya dan juga orang-orang yang mati dalam masa berhijrah semata-mata kerana mentaati-Nya dan mempertahankan agama-Nya ke dalam syurga dan mendapat kemuliaan. Mereka tidak akan mengalami kesusahan atau perkara yang tidak menyenangkan sebagaimana firman Allah Swt:
“Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa, akan tetapi mereka mendengar ucapan salam.”
Al-Waqi’ah 56:25-26
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui maksud dan niat jahat serta segala perbuatan musuh-musuh-Nya. Dia Penyantun kepada hamba-hamba-Nya iaitu Dia tidak menyegerakan turunnya seksaan kepada orang-orang yang mendustakan dan menentang agama-Nya.
Ayat 60
ذَٰلِكَ وَمَنْ عَاقَبَ بِمِثْلِ مَا عُوقِبَ بِهِۦ ثُمَّ بُغِىَ عَلَيْهِ لَيَنصُرَنَّهُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ
Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu) dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian dia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Begitulah rezeki yang baik dan memasuki tempat yang mulia diperuntukkan kepada orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah ataupun mati bukan kerana terbunuh. Mereka mendapat pertolongan di dunia untuk mengalahkan musuh mereka.
Sesiapa daripada kalangan orang-orang mukmin yang mengambil tindakan serupa untuk membalas kejahatan orang-orang musyrik terhadapnya, lalu dia memerangi dan kemudiannya terpaksa berundur melarikan diri meninggalkan tanah airnya demi mempertahankan agamanya nescaya Allah akan menolongnya. Ini kerana Dia tidak dapat dikalahkan bahkan Dia akan mengalahkan orang-orang musyrik dan meneguhkan orang-orang mukmin atas kalimah-Nya.
Allah Ta’ala bersifat Pengampun kepada orang-orang mukmin, sekiranya mereka bertindak balas secara melampau kepada musuh. Dia juga memaafkan mereka sekiranya mereka enggan membalas kejahatan musuh. Ini kerana memaafkan musuh adalah suatu perbuatan yang baik dalam agama, sebagaimana firman-firman-Nya:
“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.”
Asy-Syura 42:43
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka sesiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”
Asy-Syura 42:40
Menurut Muqatil bin Hayyan dan Ibnu Juraij, ayat ini turun berkaitan dengan satu peperangan ketika kaum muslimin bertemu dengan sekelompok pasukan kaum musyrikin pada bulan Muharram. Ketika itu Rasulullah saw tidak menyertai mereka.
Oleh sebab bulan tersebut adalah bulan yang diharamkan berperang, orang-orang mukmin menyeru orang-orang musyrikin agar tidak memerangi mereka. Namun orang-orang musyrik tetap ingin berperang. Oleh itu kaum muslimin terpaksa menghadapi peperangan tersebut dan mereka mendapat pertolongan Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar ucapan hamba-hamba-Nya dan Maha Melihat segala perbuatan serta keadaan mereka. Dia juga Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya yang dicintai-Nya dan yang dizalimi.