Surah 22: Al-Hajj (47 – 48)

Orang Kafir Meminta agar Azab Disegerakan

Surah 22: Al-Hajj (47 – 48)


Ayat 47

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلْعَذَابِ وَلَن يُخْلِفَ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥ ۚ وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Dan mereka meminta kepadamu agar azab disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya. Sesungguhnya sehari di sisi Rabbmu adalah seperti seribu tahun daripada tahun-tahun yang kamu hitung.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang orang-orang kafir Quraisy memperolok-olokkan tentang kedatangan azab-Nya dengan meminta Rasulullah saw azab itu disegerakan, sebagaimana firman-firman-Nya:

“Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata, ‘Wahai Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.’”

Al-Anfal 8:32

“Dan mereka berkata, ‘Wahai Rabb kami, cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan kepada kami sebelum hari perhitungan.’”

Sad 38:16

Allah Ta’ala sekali-sekali tidak akan memungkiri janji-Nya kerana apa yang dijanjikan-Nya berupa Hari Kiamat pasti akan terjadi. Pada hari tersebut musuh-musuh-Nya akan menerima hukuman manakala hamba-hamba-Nya yang bertakwa akan mendapat kemuliaan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ukuran seribu tahun menurut makhluk-Nya itu telah ditetapkan-Nya seperti satu hari sahaja bagi-Nya. Dia Maha Berkuasa untuk memberikan balasan, tidak ada sesuatu pun yang terluput daripada-Nya, walaupun ditangguhkan seperti firman-Nya dalam ayat seterusnya.

Ayat 48

وَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Dan berapa banyak kota yang Aku tangguhkan (azab-Ku) kepadanya, yang penduduknya berbuat zalim, kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Ku-lah kembalinya (segala sesuatu).

Allah Ta’ala menguatkan lagi kenyataan-Nya bahawa telah ramai orang-orang terdahulu yang ditangguhkan azab dengan memanjangkan tempoh untuk mereka tinggal di dunia. Namun mereka tetap melakukan syirik dan kemaksiatan. Akhirnya Dia menamatkan penangguhan tersebut dan mereka dikembalikan kepada-Nya.

Oleh itu, permintaan orang-orang musyrik untuk disegerakan azab kepada mereka tidaklah berguna. Ini kerana sama ada mereka diazab di dunia atau tidak, mereka tetap akan mendapat balasan yang adil dan kekal di akhirat kelak terhadap usaha yang telah mereka lakukan.