Surah 22: Al-Hajj (42 – 46)

Kesudahan Orang yang Mendustakan Rasul

Surah 22: Al-Hajj (42 – 46)


Ayat 42

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَثَمُودُ

Dan jika mereka (orang-orang musyrik) mendustakanmu, maka sesungguhnya telah mendustakan juga sebelum mereka kaum Nuh, ‘Aad dan Thamud.

Ayat 43

وَقَوْمُ إِبْرَٰهِيمَ وَقَوْمُ لُوطٍ

Dan kaum Ibrahim dan kaum Lut.

Ayat 44

وَأَصْحَـٰبُ مَدْيَنَ ۖ وَكُذِّبَ مُوسَىٰ فَأَمْلَيْتُ لِلْكَـٰفِرِينَ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Dan penduduk Madyan, dan telah didustakan Musa, lalu Aku tangguhkan (azab-Ku) untuk orang-orang kafir, kemudian Aku azab mereka, maka (lihatlah) bagaimana besarnya kebencian-Ku (kepada mereka itu).

Ayat-ayat di atas merupakan firman Allah Ta’ala untuk menenangkan hati Rasulullah saw dengan menyatakan bahawa sebagaimana kaum musyrik Mekah mendustakan baginda, begitu jugalah dengan kaum-kaum para Rasul terdahulu. Padahal para Rasul telah membawa tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memberi penangguhan kepada orang-orang musyrik dengan ancaman bahawa pengingkaran mereka akan mendapat seksaan yang pedih. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa Al-Asy’ari, Rasulullah saw bersabda,

“Sesungguhnya Allah benar-benar memberi tangguh kepada orang yang zalim hingga apabila Dia mengazabnya maka Dia tidak akan melepaskannya.” Kemudian baginda membaca firman Allah ayat 102 surah Hud yang bermaksud, “Dan begitulah seksaan Rabbmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang membuat zalim. Sungguh, seksaan-Nya sangat pedih, sangat berat.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 45

فَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـٰهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ فَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍۢ مَّشِيدٍ

Maka betapa banyak kota yang Kami telah binasakan, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (betapa banyak pula) perigi yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi.

Allah Ta’ala menjelaskan betapa banyak penduduk negeri yang telah Dia binasakan kerana mendustakan Rasul-rasul mereka.

Adh-Dhahhak mengatakan maksud “atap-atapnya” dalam ayat ini ialah rumah-rumah mereka telah hancur dan bandar-bandar mereka tidak lagi didiami. Manakala maksud “dan (betapa banyak pula) perigi yang telah ditinggalkan” ialah airnya tidak diambil lagi padahal dahulunya ramai orang berdesak-desakan datang mengambilnya.

Walau bagaimana teguh, kukuh dan tinggi bangunan sekali pun, semuanya itu masih tidak dapat melindungi pemiliknya. Malah tidak dapat menahan datangnya azab Allah kepada mereka sebagaimana firman-Nya:

“Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh…..”

An-Nisa’ 4:78

Ayat 46

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.

Ayat ini menyatakan manusia berjalan di atas muka bumi dengan jasad dan fikiran tetapi tidak menggunakan hati, telinga dan mata untuk mengambil pelajaran daripada apa yang dirasa, didengar dan dilihat.

Buta dalam ayat ini bukanlah bermaksud buta penglihatan tetapi buta mata hati kerana walaupun penglihatan masih baik tetapi tidak mampu melihat dan memahami sebarang pengajaran.