Kewajipan Kaum Muslimin apabila Memiliki Kekuasaan
Surah 22: Al-Hajj (41)
Ayat 41
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ
(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.
Ibn Hatim meriwayatkan, bahawa ‘Uthman bin ‘Affan ra mengatakan ayat ini diturunkan adalah kerana beliau dan para sahabat diusir dari kampung halaman yang sebelumnya dikuasai oleh orang-orang musyrikin yang memusuhi mereka. Kemudian mereka diberikan kedudukan dan kuasa untuk memimpin dan memerintah. Lalu mereka melaksanakan perintah Allah, melarang kemungkaran dan menyerahkan segala urusan hanya kepada Allah.
Abul ‘Aliyah mengatakan mereka dalam ayat ini ialah para sahabat Nabi Muhammad saw.
‘Atiyah Al-‘Aufi mengatakan ayat ini sebagaimana firman Allah Ta’ala:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa……………..”
An-Nur 24:55
Segala urusan dan pembalasan dikembalikan kepada Allah seperti firman-Nya:
“…….Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Al-Qasas 28:83
Zaid bin Aslam mengatakan ini bermaksud di sisi Allah-lah pahala atas apa-apa yang mereka kerjakan.