Keizinan Berperang bagi Orang Mukmin
Surah 22: Al-Hajj (39 – 40)
Ayat 39
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا۟ ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa untuk menolong mereka itu.
Ayat 40
ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَٰتٌ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ
(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, “Rabb kami hanyalah Allah.” Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Ini adalah ayat yang pertama dalam Al-Quran yang mengizinkan orang-orang beriman memerangi orang-orang musyrik. Allah Ta’ala memberi keizinan kepada mereka untuk berperang setelah orang-orang musyrik terlebih dahulu menganiayai dan memerangi mereka. Mujahid, Ad-Dhahak, ‘Abbas ra, Qatadah dan lain-lain mengatakan ini adalah ayat pertama yang turun tentang jihad.
Ibnu ‘Abbas ra juga mengatakan, ayat ini adalah berkaitan dengan peristiwa Rasulullah saw dan para sahabat yang diusir dari Mekah ke Madinah. Mereka diusir hanya kerana mereka mengungkapkan, “Rabb kami hanyalah Allah.” Mereka tidak pernah melakukan dosa kepada kaum mereka, sebaliknya hanya mengesakan Allah dan hanya menyembah-Nya. Sedangkan menurut orang-orang musyrik, ungkapan ini merupakan dosa yang sangat besar, sebagaimana firman-Nya:
“………Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan kamu sendiri, kerana kamu beriman kepada Allah, Rabbmu………”
Al-Mumtahanah 60:1
Allah Ta’ala menyatakan sekiranya Dia tidak menahan kejahatan sesuatu kumpulan manusia terhadap yang lain nescaya bumi telah rosak. Ini kerana apabila yang kuat membinasakan yang lemah semua akan hancur termasuk rumah-rumah ibadah disebabkan perbalahan sesama mereka. Sesungguhnya Dia pasti menolong orang-orang yang menolong agama-Nya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Muhammad 47:7
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memiliki sifat Maha Kuat dan Maha Perkasa. Dengan kekuatan-Nya itu Dia menciptakan segala sesuatu lalu menetapkan kadarnya, manakala dengan keperkasaan-Nya pula, tiada siapa yang dapat memaksa dan mengalahkan-Nya, bahkan segala sesuatu tunduk dan memerlukan-Nya. Oleh itu, sesiapa yang ditolong oleh Yang Maha Kuat dan Yang Maha Perkasa pasti akan menang dan musuhnya pasti kalah. Firman-Nya:
“Allah menetapkan, ‘Aku dan Rasul-rasul-Ku pasti menang.’ Sesungguhnya, Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Al-Mujadalah 58:21