Keadaan Orang Beriman di dalam Syurga
Surah 22: Al-Hajj (23 – 24)
Ayat 23
إِنَّ ٱللَّهَ يُدْخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera.
Allah Ta’ala menyatakan balasan bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, antaranya:
▪️ Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir dari pelbagai arah membelah taman-taman syurga dan di sekelilingnya, serta di bawah pohon-pohon di dalam taman dan di istana-istana tempat tinggal mereka. Sungai-sungai tersebut dapat dialirkan ke arah mana pun yang mereka sukai.
▪️ Mereka akan dipakaikan beberapa perhiasan berupa gelang-gelang emas dan mutiara di tangan-tangan mereka, sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadis yang telah disepakati kesahihannya oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
“Perhiasan pada orang yang beriman itu mencapai batas yang terkena air wuduk.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
▪️ Pakaian ahli syurga pula adalah daripada kain sutera, sama ada sutera halus mahupun yang tebal sebagaimana dalam firman-Nya:
“Mereka berpakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal, dan dipakaikan kepada mereka gelang dibuat daripada perak, dan Rabb memberikan kepada mereka minuman yang bersih. Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu, dan usahamu adalah disyukuri (diberi balasan).”
Al-Insan 76:21-22
Dalam hadis sahih disebutkan larangan memakai sutera bagi kaum lelaki:
“Janganlah (kamu wahai kaum lelaki) memakai sutera, dan dibaj (pakaian sutera bercorak) di dunia. Ini kerana sesiapa yang memakainya di dunia maka tidak akan memakainya di akhirat.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 24
وَهُدُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّيِّبِ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَهُدُوٓا۟ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْحَمِيدِ
Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan diberi petunjuk (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka dibimbing kepada pertuturan yang baik iaitu ketika mereka masuk ke dalam syurga mereka akan mengucapkan sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Dan mereka mengucapkan, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah (memberi) kepada kami tempat ini sedang kami (diperkenankan) menempati tempat dalam syurga di mana sahaja yang kami kehendaki, maka syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.’”
Az-Zumar 39:74
“Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dengan izin Rabb mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam (syurga) itu ialah ‘Salam.’”
Ibrahim 14:23
Penghuni syurga juga akan ditunjukkan ke tempat yang di dalamnya mereka hanya mendengar perkataan yang baik-baik sahaja dan mereka memuji Rabb mereka atas pelbagai kebaikan dan nikmat yang dianugerahkan kepada mereka. Sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“……….sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan), ‘Salam sejahtera atasmu kerana kesabaranmu.’ Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.’”
Ar-Ra’d 13:23-24
“Di sana mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa, tetapi mereka mendengar ucapan salam.”
Al-Waqi’ah 56:25-26
“Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.”
Al-Furqan 25:75