Surah 22: Al-Hajj (19 – 22)

Keadaan Orang Kafir di dalam Neraka

Surah 22: Al-Hajj (19 – 22)


Ayat 19

هَـٰذَانِ خَصْمَانِ ٱخْتَصَمُوا۟ فِى رَبِّهِمْ ۖ فَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ قُطِّعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِّن نَّارٍ يُصَبُّ مِن فَوْقِ رُءُوسِهِمُ ٱلْحَمِيمُ

Inilah dua golongan (iaitu golongan mukmin dan golongan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar tentang Rabb mereka. Maka orang-orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian daripada api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka.

Allah Ta’ala menerangkan terdapat dua golongan manusia iaitu orang-orang beriman dan orang-orang kafir bertengkar tentang agama Allah Ta’ala. Masing-masing merasakan agama yang mereka pertahankan itu adalah agama yang paling benar.

Disebutkan dalam sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim, Abu Zar ra bersumpah bahawa sebab turunnya ayat, “Inilah dua golongan (golongan mukmin dan golongan kafir) yang saling bertengkar tentang Rabb mereka,” adalah berkaitan dengan Hamzah dan dua orang sahabatnya (daripada kalangan muslim) serta ‘Utbah dan dua orang sahabatnya (daripada kalangan kafir) pada peristiwa Perang Badar. Mereka bertanding satu lawan satu.

Mujahid dan ‘Atha’ mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah berkaitan dengan orang-orang kafir dan orang-orang beriman yang bertengkar tentang agama Allah. Ini termasuk pendapat yang mengatakan kisah ini berkenaan dengan Perang Badar dan perang-perang yang lain. Hal ini kerana orang-orang beriman menolong agama Allah Swt, sedangkan orang-orang kafir hendak memadamkan cahaya iman, mengalahkan kebenaran dan memenangkan kebatilan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir dan ini merupakan pilihan yang baik.

Setelah itu Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang kafir akan dipakaikan dengan pakaian daripada api neraka. Sa’id bin Jubair mentafsirkan bahawa pakaian orang-orang kafir adalah dibuat daripada tembaga kerana tembaga adalah suatu benda yang menjadi sangat panas bila dibakar.

Ketika dituangkan air yang mendidih, iaitu air yang berada pada tahap kepanasan yang paling tinggi ke atas kepala mereka, maka terbakarlah kulit mereka dan hancurlah segala isi perut mereka.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw telah bersabda:

“Sesungguhnya air mendidih itu benar-benar akan disiramkan ke atas kepala mereka yang kemudian menjadikan tengkorak mengelupas hingga meleleh ke perutnya, lalu hancur luluhlah apa yang ada di dalam perutnya, hingga sampai kepada kedua-dua tapak kakinya. Itulah makna الصَّهْر “As-Sahr” (dihancur luluhkan dalam ayat ke 20). Kemudian dia dikembalikan lagi kepada keadaan asal.”

(HR. At-Tabari)

Ayat 20

يُصْهَرُ بِهِۦ مَا فِى بُطُونِهِمْ وَٱلْجُلُودُ

Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit (mereka).

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin As-Sariyy, dia mengatakan, “Orang kafir itu didatangi malaikat yang membawa bejana (bekas air) dengan air mendidih dua kali ganda panasnya. Ketika bejana itu didekatkan ke wajahnya, dia membencinya.” Dia mengatakan, “Malaikat itu pun mengangkat cemeti yang dibawanya, lalu dengannya ia memukul kepala orang kafir itu, sehingga otaknya terburai dan mengalir ke dalam bekas air, bahkan hingga sampai ke perutnya.”

Ayat 21

وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنْ حَدِيدٍ

Dan untuk mereka cemeti-cemeti daripada besi.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, mereka dipukul dengannya sehingga semua anggota badannya berguguran di hadapannya lalu mereka mengharapkan kebinasaan.

Ayat 22

كُلَّمَآ أَرَادُوٓا۟ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنْهَا مِنْ غَمٍّ أُعِيدُوا۟ فِيهَا وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya. (Kepada mereka dikatakan), “Rasakanlah azab yang membakar ini.”

Setiap kali penghuni neraka cuba melepaskan diri daripada kesengsaraan seksaan tersebut, mereka akan dipaksa oleh malaikat penjaga neraka untuk kembali semula ke dalamnya. Hal ini menyebabkan mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri daripada azab neraka.

Al-A’masy telah meriwayatkan daripada Abu Zhabyan, daripada Salman, dia mengatakan, api itu hitam pekat. Nyala apinya tidak memancarkan sinarnya dan tidak juga baranya. Kemudian beliau membaca ayat di atas. Mereka dihinakan dengan diazab dalam neraka, baik dengan perkataan mahupun seksaan fizikal sebagaimana firman Allah Swt:

“Dan dikatakan kepada mereka, ‘Rasakanlah azab neraka yang dahulu kamu mendustakan-nya.”

As-Sajdah 32:20